Rabu, 17 Januari 2018

LEGASI TOMBIRUO - Ramlee Awang Murshid



Walaupun dalam novelnya sebelum ini RAM membayangkan bahawa novel yang bakal muncul menggunakan rantau Balkan sebagai lokasinya, namun ianya tidak terjadi. Selepas Anding Ayangan, Tobiruo edisi khas diterbitkan dan diikuti dengan novel ini. Hamba percaya keterujaan RAM untuk menyiapkan filem Tombiruo memberikan beliau limpahan idea baru untuk menghasilkan novel ini. Apatah lagi apabila menghayati novel ini dapat dikaitkan dengan versi filem khususnya perhubungan Ejim dan Pondolou sewaktu Ejim masih kecil.

Boleh hamba katakan, novel ini seolah membawa kembali RAM ke 'akar umbi' dengan gaya penceritaan yang sama seperti novel-novel awal beliau. Entahlah hamba rasakan lebih menyukai novel-novel yang ditulis sewaktu beliau masih berkhidmat dengan RTM berbanding setelah beliau menjadi penulis sepenuh masa. Mungkin semasa masih bertugas RAM dikelilingi pelbagai maklumat yang turut membantu dalam penghasilan novel beliau. Biasanya dapat kita lihat sumber rujukan RAM yang akan diselitkan pada bahagian akhir novel-novel beliau yang terdiri daripada pelbagai sumber. Cuma untuk novel kali ini hamba melihat sumber beliau cuma datang dari satu akhbar sahaja - Sinar Harian!!

Novel ini terlalu banyak adegan imbas balik (flashback) terutamanya yang melibatkan Ejim dan Pondolou. sekiranya diimbas dalam novel yang pertama perkara Ejim semasa kecil tidak banyak disentuh. Namun kali ini ia disendtuh dengan banyaknya oleh RAM walaupun ia sekali-kali tidak mencacatkan cerita. Ini kerana tumpuan novel ini adalah misteri Tombiruo yang baru muncul semula. Bahkan watak Amaruddin sebenarnya tidaklah kelihatan dominan sangat. Lagipun ketika ini beliau telah berusia dengan kudrat yang semakin berkurangan walaupun masih mempunyai kelebihan lamanya.

Ejim ataupun Amaruddin telahpun lama 'pencen' sebagai Tombiruo Hutan Keningau. Hidup bahagia bersama isterinya Siti Nurhaliz (tak susah diteka daripada mana datangnya nama ini) dan anak perempuanbeliau, Suriani. Hendak dijadikan cerita, terjadi pembunuhan di ibu kota Kuala Lumpur yang melibatkan seorang pembunuh yang memakai topeng seperti Tombiruo namun dengan gaya yang lebih moden. Pembunuh baru ini turut menggunakan pedang dalam gerak kerjanya.

Amaruddin seolah mempunyai naluri yang bersambung dengan pembunuh ini apabila dapat 'melihat' atau merasai apa yang akan dilakukan pembunuh itu. Dalam bab bab awal berkemungkinan pembaca akan meneka bahawa Tombiruo baru ini didalangi oleh watak Diana, seorang peguam muda. Namun hamba tidak merasakan begitu kerana Tombiruo si pembunuh dibayangkan mempunyai batang tubuh yang kekar. Ini tidak ada pada Diana walaupun beliau menggunakan topeng muka yang sama. Diana juga tidak membunuh ketika menjalankan modus operandi beliau. Beliau umpama seorang vigilante yang menumpaskan penjenayah yang sukar diuruskan oleh undang-undang. Lagipun ini bukan cara RAM menulis. Beliau suka pembacanya berteka teki terlebih dahulu.

Watak Sarah seorang pemberita Sinar Harian umpama bayangan kepada Wan Suraya, pemberita asal zaman Tombiruo pertama. Beliau digambarkan sebagai berani, lasak dan mempunyai kemahiran beladiri. Tulisan beliau dan penyiasatan beliau tentang Tombiruo yang bakal menjadi penghubung dengan lain-lain watak seperti Amaruddin, Diana, WanSuraya, Dr. Haslia serta ibu kandungnya sendiri Mui Lee aka Linda.

Bagaimanakah orang lain boleh mempunyai sifat Tombiruo sedangkan Amaruddin hanya bernikah dengan Siti Nurhaliz? RAM membawa kita ke belakang sewaktu Amaruddin menjalani pembedahan bagi memulihkan wajahnya. Ketika itu Dr. Wenchu telah mencuri DNA beliau, melakukan cryopreservation ke atas benih sendiri yang dicampur dengan DNA Tombiruo dan kemudiannya melakukan In Vitro Vertilization ke atas isterinya tanpa disedari isterinya sendiri. Hasilnya adalah kelahiran 3 orang anak kembar. Pencurian DNA oleh Dr Wen menjadikan beliau individu yang dikehendaki, bukan sahaja oleh polis tetapi juga oleh beberapa individu tertentu. beliau menjadi pelarian bersama isterinya. Isteri beliau yang memjtuskan untuk lari akhirnya hanya berjaya membawa seorang anak perempuan sahaja. Dua lagi kekal dengan Dr Wen. Dr Wen kemudiannya menyerahkan seorang anak perempuannya untuk dipelihara oleh Janice Tang, rakan beliau sejak di rumah anak yatim dan beliau kekal memelihara yang lelaki. Anak lelaki ini yang telah dilatih dengan sebaiknya untuk menjadi sebuah mesin pembunuh bagi membalas dendam ke atas musuh beliau. Ternyata DNA Tombiruo bukan sahaja memberikan kekuatan dan kebijaksanaan kepada ketiga anak ini bahkan mempunyai naluri yang bersambung dengan diri Amaruddin. Ya, kadang-kadang kisah RAM ini dah macam Hindustan jadinya. Cerita Hindustan dulu-dulu memang biasa terjumpa adegan anak-anak terpisah sejak kecil dan akan bersatu semula apabila dewasa.

Ternyata Diana, Sarah dan Tombiruo 'baru' (anak lelaki Dr Wen) adalah anak-anak itu. Namun identiti Tombiruo baru ini kekal misteri sehingga ke akhir cerita. Walaupun pada awalnya pembaca mungkin sealiran dengan Diana yang menjangkakan watak Tombiruo itu dipikul oleh watak Tony, kemunculan watak Johan pada bab bab terakhir menjadikan kisah ini semakin rumit. Johan yang digambarkan selekeh duduk di sebelah Sarah semasa perbicaraan Tony adalah juga orang yang sama menjadi Sarjit Singh, seorang peguam berbangsa Punjabi yang buncit perutnya. Beliau bahkan menyusup masuk ke hospital Bahagia sebagai doktor. Namun identiti beliau kekal misteri sehingga ke akhir cerita. Tiada yang pernah nampak wajahnya, di mana beliau bersekolah, diamana beliau bersarapan yada yada yada yada.....Bahkan diakhir cerita RAM membangkitkan perasaan teruja pembaca pula apabila menampilkan watak Suriani dan Amirul (anak Amiruddin) yang seolah mempunyai kebolehan seperti Tombiruo. Apakah akan ada lanjutan lagi?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...