Selasa, 30 Januari 2018

KARTUN DAN KARTUNIS DI MALAYSIA - Muliyadi Mahamood



Rasanya tidak ada penulis atau ahli akademik yang begitu serius, menulis dan mengkaji tentang kartun selain beliau. Malah rasanya beliau juga merupakan rakyat pertama yang meraih PhD dalam 'ilmu kartun'. Dan andaikata tiada insan yang membuat kajian sebegini pastinya sejarah kartun tanahair tidak akan ramai yang mengetahuinya secara berfakta dan ilmiah. Justeru pendokumentasian oleh individu seperti penulis ini secara tidak lansung memelihara satu lagi khazanah dan warisan negara. Biarpun penulis pernah juga melukis kartun dan karyanya pernah tersiar di beberapa buah penerbitan namun pencapaian beliau tidaklah seperti lain-lain kartunis. Stroke beliau hamba lihat biasa sahaja. Bahkan dalam kartun beliau yang pertama kali disiarkan di majalah URTV, 15 Disember 1977 dilihat mempunyai beberapa kelemahan terutamanya struktur anatomi. Namun kelebihan beliau ialah menulis dan mengkaji tentang kartun, dan perana ini tidak boleh dipandang sebelah mata.

Buku ini sebenarnya memuatkan 10 buah esei karangan penulis yang pernah tersiar dalam majalah atau jurnal terbitan dalam dan luar negara. Bermakna ada antaranya yang asalnya ditulis dalam bahasa Inggeris dan telah diMelayukan untuk tujuan penerbitan buku ini. Dan memandangkan ia adalah gabungan esei-esei terpilih, pembaca akan membaca beberapa fakta yang diulang berkali-kali. Bahkan fakta yang berulang juga boleh pembaca temui dalam buku beliau yang pernah hamba ulas sebelum ini iaitu GILA-GILA, GAYA DAN TEMA KARTUN.

Walaupun mengandungi 10 esei, hanya tiga esei pertama sahaja yang ditulis dengan panjang, manakala yang lain-lainnya pendek-pendek belaka. Setiap esei digandingkan dengan beberapa ilustrasi kartun berkaitan sebagai rujukan dan pemahaman. Tentunya kartun yang menjadi tumpuan adalah kartun-kartun lama terutamanya yang dihasilkan dalam zaman sebelum merdeka ataupun sebelum zaman Gila-Gila.

Dalam bab 2 yang bertajuk Kesarjanaan Kartun Dan Komik Di Malaysia: Suatu Catatan Pengalaman, penulis bercerita tentang diri beliau sendiri dan pengalaman beliau dengan dunia kartun. Ini adalah suatu yang ekslusif bagi pembaca yang belum mengenali peribadi penulis. Bagi hamba penulis amat bertuah kerana diberi kepercayaan oleh pusat pengajian beliau bagi menyambung pengajian tentang dunia kartun di waktu masyarakat masih lagi skeptikal tentang bidang ini. Dan hamba lihat selepas penulis ini telah lahir beberapa lagi kartunis yang menyambung pengajian mereka sehingga ke peringkat tertinggi - Leen Mafia sebagai contoh yang telahpun meraih PhD.

Selain itu ada juga bab-bab yang penulis mengkhusus tentang beberapa orang kartunis iaitu Raja Hamzah, Rejabhad, Lat dan Zunar. Pelbagai isu yang dibincangkan di dalam buku ini seperti kartun sebagai medium dakwah, alat propaganda politik juga isu kebebasan seorang kartunis untuk berkartun. Dalam hal ini bab terakhir mengenai Zunar adalah lebih hampir dengan isu-isu terkini.


Jumaat, 26 Januari 2018

PERMATA DI PINTU KAABAH - Munir Ramli



Kisah-kisah yang penulis paparkan di dalam bukunya ini bukanlah kisah perjalanan atau pengalaman yang baru sahaja berlaku. Tetapi adalah pengalaman beliau sekitar akhir 70an sehingga 80an di mana ketika itu seistem pengurusan haji masih lagi menggunakan sistem sheikh-sheikh haji sebelum beralih kepada sistem muassasah. Tetapi menarik juga untuk mengetahui tentang konflik jiwa yang melanda para sheikh haji kerana dengan perlaksanaan sistem tersebut menandakan berakhirnya 'penguasaan' mereka terhadap para jamaah yang mana turut menjejaskan pendapatan mereka dengan teruk sekali.

Ini kali pertama hamba membaca tulisan daripada penulis Munir Ramli. Apa yang boleh hamba katakan beliau mempunyai kemampuan untuk menulis dengan baik, tidak tergesa-gesa dan teratur penulisannya. Paparan kisah lampau beliau menarik untuk dibaca serta dijadikan teladan.

Menyifatkan dirinya sebagai seorang pengembara, seorang yang asalnya mahu berkelana ke Eropah akhirnya terdampar di bumi Syria di mana beliau mula mendapat permata-permata yang berharga. Di situlah beliau menyifatkan hidayah itu menjadi miliknya apabila dapat mendalami ilmu agama dan bahasa Arab. Rentetan dari situ kemudiannya membawa kelana beliau ke Mesir dan Arab Saudi dan kisah di dua tempat terakhir itulah yang banyak menghiasi ruang buku ini. kita maklum bahawa ketika itu era teknologi maklumat masih belum ada. Lantaran itu berbekalkan maklumat yang ala kadar, penulis mara ke Mesir bagi meneruskan misi menuntut ilmu. Di sini keyakinan penulis amat mengagumkan. Beliau tidak merasa takut dengan cabaran apatah lagi soal kekurangan wang belanja. Perlu disebutkan di sini bahawa penulis lansung tidak membayangkan bahawa beliau menerima sebarang pembiayaan sama ada daripada pemerintah mahupun keluarga sendiri. Penulis menggunakan wang titik peluhnya secara berdikit-dikit terutamanya wang upah beliau bertugas dengan sheikh haji di Makkah.

Hamba kagum dengan penulis kerana dalam usahanya menuntut ilmu beliau tidak ghairah untuk pergi ke peringkat yang tinggi tapi bermula dengan kelas yang bawah. Begitu juga di Makkah beliau pergi berguru dengan para sheikh dan menjadi pelajar pendengar (mustami') di universiti walaupun hamba rasa beliau boleh sahaja mendaftar. Niat beliau memang untuk mendapatkan ilmu sahaja dan bukannya sebarang sijil atau ijazah.

Part paling menarik rasanya adalah kehidupan beliau di Makkah itu sendiri. selain kisah beliau pergi belajar, kisah survival beliau dan keluarga amat menarik untuk dibaca. Pelbagai kerja yang beliau buat untuk mencari kehidupan. Dan hamba boleh katakan ada kerja-kerja itu amat berat untuk dilakukan dan bukan semua orang boleh melakukannya. Bahkan mendapat kepercayaan orang Arab secara penuh untuk menguruskan sesuatu amatlah berharga kerana apabila mereka telah mula mempercayai bermakna mereka lihat kita sebagai amanah dan mampu untuk bertugas. Bayangkanlah penulis yang tidak mempunyai pengalaman dalam projek pembinaan pernah menjadi pengurus projek pembinaan sebuah bangunan. Inilah kepercayaan yang tidak disia-siakan oleh penulis bahkan beliau gembira kerana dapat memperkayakan lagi perbendaharaan kata bahasa Arab khususnya istilah yang melibatkan pembinaan. Satu lagi kisah menarik ialah apabila penulis diminta untuk mencari sebuah rumah penginapan di Mina. Sejumlah wang telahpun dibayar sevagai cengkeram namun pihak yang menempah akhirnya tidak dapat memberikan komitmen. Penulis boleh sahaja membatalkan tempahan tersebut dengan cengkeram menjadi hangus, tetapi beliau tetap bertekad untuk membayar penuh walaupun tahu orang yang asalnya menempah memang tidak akan dapat menggunakannya. Menggunakan kebijaksanaan, beliau bukan sahaja dapat membayar harga penuh bahkan dapat menjana keuntungan berpuluh riyal Saudi lagi. Bagaimana beliau melakukannya - sila baca sendiri!!!


Rabu, 17 Januari 2018

LEGASI TOMBIRUO - Ramlee Awang Murshid



Walaupun dalam novelnya sebelum ini RAM membayangkan bahawa novel yang bakal muncul menggunakan rantau Balkan sebagai lokasinya, namun ianya tidak terjadi. Selepas Anding Ayangan, Tobiruo edisi khas diterbitkan dan diikuti dengan novel ini. Hamba percaya keterujaan RAM untuk menyiapkan filem Tombiruo memberikan beliau limpahan idea baru untuk menghasilkan novel ini. Apatah lagi apabila menghayati novel ini dapat dikaitkan dengan versi filem khususnya perhubungan Ejim dan Pondolou sewaktu Ejim masih kecil.

Boleh hamba katakan, novel ini seolah membawa kembali RAM ke 'akar umbi' dengan gaya penceritaan yang sama seperti novel-novel awal beliau. Entahlah hamba rasakan lebih menyukai novel-novel yang ditulis sewaktu beliau masih berkhidmat dengan RTM berbanding setelah beliau menjadi penulis sepenuh masa. Mungkin semasa masih bertugas RAM dikelilingi pelbagai maklumat yang turut membantu dalam penghasilan novel beliau. Biasanya dapat kita lihat sumber rujukan RAM yang akan diselitkan pada bahagian akhir novel-novel beliau yang terdiri daripada pelbagai sumber. Cuma untuk novel kali ini hamba melihat sumber beliau cuma datang dari satu akhbar sahaja - Sinar Harian!!

Novel ini terlalu banyak adegan imbas balik (flashback) terutamanya yang melibatkan Ejim dan Pondolou. sekiranya diimbas dalam novel yang pertama perkara Ejim semasa kecil tidak banyak disentuh. Namun kali ini ia disendtuh dengan banyaknya oleh RAM walaupun ia sekali-kali tidak mencacatkan cerita. Ini kerana tumpuan novel ini adalah misteri Tombiruo yang baru muncul semula. Bahkan watak Amaruddin sebenarnya tidaklah kelihatan dominan sangat. Lagipun ketika ini beliau telah berusia dengan kudrat yang semakin berkurangan walaupun masih mempunyai kelebihan lamanya.

Ejim ataupun Amaruddin telahpun lama 'pencen' sebagai Tombiruo Hutan Keningau. Hidup bahagia bersama isterinya Siti Nurhaliz (tak susah diteka daripada mana datangnya nama ini) dan anak perempuanbeliau, Suriani. Hendak dijadikan cerita, terjadi pembunuhan di ibu kota Kuala Lumpur yang melibatkan seorang pembunuh yang memakai topeng seperti Tombiruo namun dengan gaya yang lebih moden. Pembunuh baru ini turut menggunakan pedang dalam gerak kerjanya.

Amaruddin seolah mempunyai naluri yang bersambung dengan pembunuh ini apabila dapat 'melihat' atau merasai apa yang akan dilakukan pembunuh itu. Dalam bab bab awal berkemungkinan pembaca akan meneka bahawa Tombiruo baru ini didalangi oleh watak Diana, seorang peguam muda. Namun hamba tidak merasakan begitu kerana Tombiruo si pembunuh dibayangkan mempunyai batang tubuh yang kekar. Ini tidak ada pada Diana walaupun beliau menggunakan topeng muka yang sama. Diana juga tidak membunuh ketika menjalankan modus operandi beliau. Beliau umpama seorang vigilante yang menumpaskan penjenayah yang sukar diuruskan oleh undang-undang. Lagipun ini bukan cara RAM menulis. Beliau suka pembacanya berteka teki terlebih dahulu.

Watak Sarah seorang pemberita Sinar Harian umpama bayangan kepada Wan Suraya, pemberita asal zaman Tombiruo pertama. Beliau digambarkan sebagai berani, lasak dan mempunyai kemahiran beladiri. Tulisan beliau dan penyiasatan beliau tentang Tombiruo yang bakal menjadi penghubung dengan lain-lain watak seperti Amaruddin, Diana, WanSuraya, Dr. Haslia serta ibu kandungnya sendiri Mui Lee aka Linda.

Bagaimanakah orang lain boleh mempunyai sifat Tombiruo sedangkan Amaruddin hanya bernikah dengan Siti Nurhaliz? RAM membawa kita ke belakang sewaktu Amaruddin menjalani pembedahan bagi memulihkan wajahnya. Ketika itu Dr. Wenchu telah mencuri DNA beliau, melakukan cryopreservation ke atas benih sendiri yang dicampur dengan DNA Tombiruo dan kemudiannya melakukan In Vitro Vertilization ke atas isterinya tanpa disedari isterinya sendiri. Hasilnya adalah kelahiran 3 orang anak kembar. Pencurian DNA oleh Dr Wen menjadikan beliau individu yang dikehendaki, bukan sahaja oleh polis tetapi juga oleh beberapa individu tertentu. beliau menjadi pelarian bersama isterinya. Isteri beliau yang memjtuskan untuk lari akhirnya hanya berjaya membawa seorang anak perempuan sahaja. Dua lagi kekal dengan Dr Wen. Dr Wen kemudiannya menyerahkan seorang anak perempuannya untuk dipelihara oleh Janice Tang, rakan beliau sejak di rumah anak yatim dan beliau kekal memelihara yang lelaki. Anak lelaki ini yang telah dilatih dengan sebaiknya untuk menjadi sebuah mesin pembunuh bagi membalas dendam ke atas musuh beliau. Ternyata DNA Tombiruo bukan sahaja memberikan kekuatan dan kebijaksanaan kepada ketiga anak ini bahkan mempunyai naluri yang bersambung dengan diri Amaruddin. Ya, kadang-kadang kisah RAM ini dah macam Hindustan jadinya. Cerita Hindustan dulu-dulu memang biasa terjumpa adegan anak-anak terpisah sejak kecil dan akan bersatu semula apabila dewasa.

Ternyata Diana, Sarah dan Tombiruo 'baru' (anak lelaki Dr Wen) adalah anak-anak itu. Namun identiti Tombiruo baru ini kekal misteri sehingga ke akhir cerita. Walaupun pada awalnya pembaca mungkin sealiran dengan Diana yang menjangkakan watak Tombiruo itu dipikul oleh watak Tony, kemunculan watak Johan pada bab bab terakhir menjadikan kisah ini semakin rumit. Johan yang digambarkan selekeh duduk di sebelah Sarah semasa perbicaraan Tony adalah juga orang yang sama menjadi Sarjit Singh, seorang peguam berbangsa Punjabi yang buncit perutnya. Beliau bahkan menyusup masuk ke hospital Bahagia sebagai doktor. Namun identiti beliau kekal misteri sehingga ke akhir cerita. Tiada yang pernah nampak wajahnya, di mana beliau bersekolah, diamana beliau bersarapan yada yada yada yada.....Bahkan diakhir cerita RAM membangkitkan perasaan teruja pembaca pula apabila menampilkan watak Suriani dan Amirul (anak Amiruddin) yang seolah mempunyai kebolehan seperti Tombiruo. Apakah akan ada lanjutan lagi?


Jumaat, 12 Januari 2018

MYDIN: DI SEBALIK TABIR (EDISI SEMAKAN) - Datin Wira Dr. Hajah Siti Hawa Mohd



Rasanya tidak ada rakyat Malaysia yang tidak kenal dengan jenama Pasaraya Mydin, melainkan mereka yang tinggal begitu lama di dalam busut atau di celah batu yang berada di lautan yang dalam. Pasaraya yang sinonim dengan tagline 'mengapa bayar lebih, belilah dengan harga borong! ini selalu dikaitkan dengan barangan yang murah.

Buku ini menceritakan jatuh bangun jenama pasaraya ini dengan menumpukan kepada dua tokoh utama iaitu pengasasnya Mydin Mohamed dan anak beliau Datuk Wira Haji Ameer Ali Mydin. Walau bagaimanapun ini tidak bermakna ahli keluarga Mydin yang lain tidak dikisahkan cuma tidak sekerap dua tokoh ini.

Sebenarnya kisah tentang Mydin ini telah banyak disiarkan di dalam akhbar melalui wawancara dengan Datuk Wira sendiri. Bermula dengan sebuah kedai kecil di Kota Bharu yang hanya menjual barang permainan dan keperluan harian, ia kini muncul antara gedung perniagaan yang besar di negara kita. Walaupun begitu dikatakan bahawa pengasas jenama ini tidak mempunyai harta seperti kereta ataupun rumah. Beliau selalu menganggap bahawa harta beliau yang paling berharga adalah anak-anaknya.

Secara keseluruhan, kisah belakang tabir tentang Encik Mydin dan anak-anaj\knya tidaklah terlalu banyak berbanding tentang cerita perkembangan pasaraya ini sendiri sehingga mengembangkan kepada kedai serbaneka 24 jam (MyMart), pasaraya besar, pasar mini, pasar mini premium dan restoran premium juga termasuk perhubungan dengan kakitangan, usaha Mydin untuk mendidik masyarakat serta kerja-kerja sosial yang berkait. Walaupun penulisnya yang juga merupakan isteri Datuk Wira adalah sebahagian daripada keluarga ini, beliau tidak menggunakan kesempatan yang ada untuk mengorek dengan lebih dalam lagi akan sejarah keluarga ini. Kadangkala hamba rasa kisah suami beliau lebih banyak berbanding dengan kisah pengasasnya.

Buku ini boleh menjadi pembakar semangat buat mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan. Kalau tak jumpa di kedai buku, pergi sahaja ke pasaraya Mydin, mungkin boleh jumpa apabila anda nak membayar harga barangan anda nanti di kaunter juruwang..

DARI ANDALUSIA KE AMERIKA - Aidil Adha Sulaiman



Perkara yang berkaitan dengan sejarah umat Islam di Andalusia sememangnya menjadi minat hamba sejak dahulu lagi. Namun buku sebegini tidak banyak dihasilkan oleh penulis tempatan. Terjumpa dengan buku ini beberapa bulan yang lalu pada awalnya hamba menjangkakan ianya merupakan sebuah travelog, cuma kisah pengembaraan seseorang yang berjalan di antara kedua destinasi tersebut. Lagipun ianya ada tercatat di atas kulit buku yang menyatakan ianya bersifat demikian.

Ternyata tindakan penerbit yang meletakkan travelog sebagai tema buku ini adalah kuarng tepat. Buku ini lebih bersifat satu kajian ilmu. Walaupun penulis ada membuat catatan lawatannya ke beberapa tempat, ia sama sekali tidak menjadikan buku ini sebagai sebuah travelog per se. Seperkara lagi ternyata penulis buku ini rupanya senior hamba sewaktu di sekolah menengah dahulu. Cuma hamba tidak pernah rapat dengan beliau. Tak sangka sampai ke Amareka ekau belajar yo!!

Secara keseluruhan buku ini dipecahkan kepada empat bab besar iaitu;-

i.       Menjejak Kilauan Andalus.

        Bab ini penulis membawa kita kepada era kegemilangan Andalus. Di mana setelah era Rom, Eropah mengalami zaman kegelapan manakala bumi Andalus pula semakin cemerlang, baik dari segi ekonomi, perdagangan bahkan keilmuan. Ia menjadi tempat tumpuan dunia untuk mencari ilmu pengetahuan. Kehebatan Andalus dahulukala bukan hanya berada dalam catatan para ilmuan Muslim bahkan turut berada dalam helaian catatan para orientalis. Salah satu petikan yang dibawa oleh penulis amat menarik perhatian hamba. Ia merupakan catatan Victor Robinson di dalam bukunya The Story Of Medicine (1932) yang berbunyi; Europe was darkened at sunset, Cordova shone with public lamps; Europe was dirty, Cordova built a thousand baths; Europe was covered with vermine, Cordova changed its undergarments daily; Europe lay in mud, Cordovas streets were paved; Europes palaces had smoke-holes in the ceiling, Cordovas arabesques were exquisite; Europes nobility could not sign its name, Cordovas children went to school; Europes monks could not read the baptismal service, Cordovas teachers created a library of Alexandrian dimensions.

        Kehebatan umat Islam dalam ilmu pelayaran ketika itu berada di kemuncaknya. Pelbagai ekspedisi pelayaran telah dijalankan. Mereka berjaya menghasilkan teknologi hebat bagi membantu dalam pelayaran seperti penciptaan astorlab. Bahkan mereka berjaya menghasilkan peta dunia yang hampir tepat walaupun ketika itu belum wujud teknologi aeroangkasa yang membolehkan manusia melihat bumi ini secara keseluruhan. Terbukti juga bahawa pelayar Muslim telah mendahului Colombus di dalam menemui dunia baru, bahkan Colombus hanya mengikuti sahaja peta-peta yang telah dihasilkan terlebih dahulu oleh umat Islam.

Dalam hal menuntut ilmu, Raja England, King George II telah emnghantar surat ekpada Khalifah Hisham III di andalus bagi menyatakan hasratnya untuk menghantar seorang puteri saudara baginda bernama Dobant untuk menuntut di Universiti Kordoba. Khalifah bukan sahaja menerima permohonan tersebut bahkan membiayai sepenuhnya pengajian puteri berkenaan. Surat tersebut berbunyi;

"From George II, the King of England, Sweden and Norway to

The Caliph of the Muslim Kingdom of Spain, His Majesty Hisham III:

With due respect, we heard of the great knowledge that inundated your educational institutions and industries in your prestigious country.

"We wish for our children to copy your modalities so that it would be a good start of following your footsteps of science enlightenment in our countries that are besieged by darkness of ignorance in all of their four corners. We put my niece Princess Dobant in charge of a mission of noble English girls to be honored to your crown in seeking your kind attention to learn under your great patronage and under the protection of your esteemed court for those are to be in charge of their education. With the young princess, we sent a small modest gift to your majesty hoping that you kindly accept it.

With respect and true affection,

Your obedient servant, George"

Manakala jawapan daripada khalifah pula adalah seperti berikut;

"In the name of God, the Most Gracious the Most Merciful,

Grace be upon God,

May He bestow mercy upon his Prophet,

To the King of England, Sweden and Norway:

We read your request and we agreed after consultation with those concerned,

We wish to inform you that the expenditures of your mission will be at the expense of the Muslim treasury as a proof of our relationship with your Royal Self.

As to your gift, we over gladly accepted it.

In return, we are sending precious Andalusia handicrafts from the making of our people as a gift to you carrying with them the meaning of our attention and cordiality.

Salam.

Caliph of God's Messenger in the lands of Andalusia." 


ii.      Pengembaraan Umat Islam Merentasi Atlantik

         Bab ini amat istimewa. Ia memaparkan tentang misi-misi pelayaran seperti yang disebutkan di atas tadi. Sama ada ia merupakan misi dari tanah Andalusia sendiri atau dari lain-lain benua Islam khususnya Afrika Barat. Ternyata kesan-kesan kehadiran umat Islam di sebelah Amerika telah ditemui oleh para pengkaji hari ini. Mereka dikatakan telah berasimilasi dengan masyarakat tempatan terutamanya kaum Indian. Ini boleh dilihat daripada segi corak pemakaian, bahasa serta gaya hidup mereka. bahkan turut ditemui beberapa ukiran di batuan serta wang-wang syiling yang memaparkan akan keberadaan Islam di Amerika, lama sebelum Colombus.

Tidak hanya tinggalan seperti yang disebutkan tadi bahkan beberapa nama yang kekal pada hari ini adalah berasal daripada bahasa Arab seperti Carribean (qarib), Hawaii (hawa), Honalulu (huna lu' lu') dan banyak lagii. 


iii.        Berakhirnya Pemerintahan Islam Di Andalus

       Bab ini merupakan satu kisah kedukaan dalam sejarah Islam. Namun hidup ini umpama mendaki sebuah gunung yang tinggi. Setelah sampai ke kemuncaknya ke mana lagi yang boleh kita pergi melainkan perlu turun semula. Dan begitu jugalah dengan kegemilangan Andalus yang akhirnya berakhir di Granada.


iv.        Selepas Andalus

           Boleh dikatakan selepas kejatuhan Andalus merupakan episod duka bagi seluruh dunia. Portugal dan Sepanyol semakin gilakan kuasa dan meluaskan jajahan takluk mereka hingga ke timur jauh di mana kerajaan Melaka juga turut menerima bahananya. Umat Islam Andalus semakin tersiksa. Mereka dihalau dan dibunuh dari tanah air sendiri. Mana-mana yang tinggal dipaksa bertukar agama. Walaupun telah bertukar agama hidup mereka tidak juga aman kerana masih dipantau umpama tawanan. Mereka telah dirampas hak mereka sebagai manusia apabila tidak dibenarkan beramal dengan agama mereka, meninggalkan bahasa, budaya bahkan pakaian tradisi. Ada yang meninggalkan Andalus dan ada yang meneruskan perjuangan di banjaran pergunungan. Kerajaan Uthmaniyyah Turki juga turut menghulurkan bantuan. Dalam hal ini yang tertindas bukan sahaja umat Islam bahkan orang-orang yahudi. Mereka juga turut terkesan dengan kekejaman orang Sepanyol. Kerajaan Uthmaniyyah juga membantu golongan ini untuk berhijrah. Justeru keturunan Yahudi Turki hari ini rata-ratanya adalah daripada yahudi Andalus yang berhijrah keluar. 


Pada tahun 1997, hamba dan dua lagi sahabat berpeluang melakukan kembara secara Backpacker ke Andalusia. Hamba sempat mengunjungi Algeciras, Granada, Cordoba, Barcelona dan Madrid. Melihat sendiri tinggalan Islam di kesemua tempat ini khususnya istana Alhambra dan Masjid Qurtubah yang merupakan saksi bisu bahawa betapa gemilangnya kerajaan andalus masa lalu. Teknologi mereka amat mengagumkan dan melampaui zaman. Hamba percaya andainya Andalus kekal tanpa sebarang gangguan tentunya teknologi yang ada pada sekarang adalah melebihi daripada apa yang kita lihat pada hari ini.

Azan telah mula berkumandang semula di bumi Andalusia. Warga Sepanyol yang menyedari bahawa mereka adalah daripada keturunan Moriscos telah ada yang mula kembali ke agama nenek moyang mereka. Tidak mustahil sejarah kan berulang semula!!


NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...