Sabtu, 15 Disember 2018

KONFESI PREBET ADAM - Syahril A. Kadir



Semasa peristiwa amok Prebet Adam berlaku, umur hamba baru 12 tahun. Namun hamba ketahui peristiwa itu melalui akhbar dan siaran berita televisyen. Ada laporan yang menyifatkan amokan itu sebagai amokan Rambo. Peristiwa itu telah menimbulkan pelbagai teka-teki di kalangan masyarakat sehingga ada yang mengaitkan sebab tercetusnya peristiwa tersebut sebagai pembalasan dendam di atas kematian adik Prebet Adam yang dipukul seorang sultan sehingga mati.

Buku ini telah merungkai segala-galanya. Ia adalah satu buku pengakuan yang akan merungkai segala kekusutan orang ramai. Ini memandangkan penulis mendapat bahannya daripada sumber nombor satu - orang yang mengamuk itu sendiri! Tentunya ia lebih berharga daripada maklumat ketiga sama ada daripada laporan akhbar, polis, mahkamah apatah lagi daripada mulut orang ramai. Penulis ada menyebut tentang kesukarannya untuk mendapat penerbit bagi buku ini sehinggalah pihak DuBook bersedia untuk menerbitkannya. Hamba percaya mungkin penerbit berkenaan takut atau merasakan kisah ini tiada nilai ataupun tidak mempunyai pasaran. Amatlah rugi bagi penerbit-penerbit berkenaan memandangkan maklumat yang ada di dalam buku ini adalah amat bernilai. Apatah lagi ia ditulis oleh seorang wartawan ternama yang tidak perlu diragui tahap penulisannya serta kebolehdapatan sumbernya. Yang penting buku ini laku keras!!

Hamba percaya buku ini akan mendatangkan simpati pembaca kepada insan yang bernama Adam ini. Hidup beliau seumpama tidak pernah memperolehi kebahagiaan. daripada zaman hidup susah semasa kecil, penderitaan yang dihadapi di dalam kem tentera, penjara, hospital mental dan terus menderita walaupun telah lepas bebas daripada penjara. Tekanan yang dihadapi oleh Adam semasa di kem tentera telah menjadi asbab besar peristiwa amok ini. Ragging yang berlaku di mana-mana kem tentera bukanlah satu perkara baru. Dan yang berlaku kepada Adam dan rakan-rakannya bukan sahaja penderaan jiwa bahkan hingga ke tahap yang memalukan dan menjatuhkan maruah diri sebagai seorang manusia dan Muslim. Tidak perlu hamba catatkan di sini apa penderaan yang beliau hadapi kerana hamba sendiri merasa jijik dengan apa yang telah berlaku. Orang-orang yang mendera Adam pada hari ini telahpun memasuki usia tua mereka. Hamba tidak tahu apakah mereka merasa sesal dengan apa yang telah mereka lakukan. Apakah ragging keterlaluan seperti itu masih lagi berlaku sehingga hari ini di kem-kem tentera. Apakah berbaloi mendera orang untuk melahirkan seorang perwira negara. Tidak cukupkah dengan latihan keras yang dijalani sehingga perlu ditambah dengan deraan yang menjatuhkan maruah.

Apa yang dihadapi Adam semasa di Hospital Bahagia juga bagi hamba tidak jauh bezanya dengan apa yang dihadapi semasa di kem tentera. Hamba ingatkan 'hukuman' berkenaan hanya biasa ditemui di dalam filem barat, tetapi rupanya turut berlaku di negara kita. Tapi itu adalah 'hukuman' lebih 20 tahun yang lalu. Tidak pasti apakah pesakit yang membuat hal masih lagi di dera sepertimana yang diceritakan oleh Adam. Yalah, kalau seminggu anda diikat di atas katil; dengan berak, kencing dan makan di atasnya selama itu, tidakkah ia mendera mental. Bukankah hospital berkenaan bertujuan untuk memulihkan mental? Kalau anda rasakan itu teruk, sila baca 'solitary confinement' yang beliau lalui!!

Walaupun telah bebas setelah 3 tahun di Penjara Pudu dan 10 di hospital ia bukanlah menjanjikan kehidupan yang bahagia buat Adam. Kekecewaan pertama sebaik bebas adalah mengetahui bahawa tunang beliau telahpun berkahwin dan mempunyai anak. Masyarakat pula tidak dapat menerima beliau. Segala perli, umpat dan keji membuatkan beliau berasa terasing. Tiada yang mahu memberikan pekerjaan kepada bekas pesakit mental yang juga bekas banduan. Kerana itu beliau berjinak kembali dengan dadah (bahkan sehingga buku ini ditulis beliau masih lagi menjadi seorang penagih tegar). Kerana itu beliau pernah juga dimasukkan kembali ke penjara serta disebat. Namun begitu di hati kecilnya tetap mempunyai naluri kebaikan, mahu meninggalkan perkara berkenaan serta menemui Tuhan dalam keadaan yang diredhai-Nya.

Buku ini bukan sahaja memuatkan pengakuan first hand daripada Prebet Adam bahkan juga temubual daripada beberapa individu yang terlibat seperti Datuk Abdul Ghani Abdullah, yang ketika itu memegang jawatan Asisten Panglima Operasi Tentera Darat dengan pangkat Brigadier Jeneral - individu yang berjaya memujuk Adam untuk menyerah, Tan Sri Zaman Khan, yang ketika itu merupakan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam - individu yang turut berada semasa kejadian, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah - individu yang mewakili Adam secara percuma. Terdapat juga laporan pakar psikiatri, penghakiman mahkamah (Ada sedikit kesilapan pada mukasurat 142, ayat yang berbunyi 'Tertuduh menyerahkan sepucuk senapang M16 dan dua buah majalah kepada Jeneral tersebut'. Ini terjemahan bulat-bulat daripada bahasa Inggeris. Magazine di sini bukanlah majalah sebaliknya kelopak peluru. - ini buku cetakan kedua September 2017), keratan akhbar kejadian serta beberapa gambar terkini Adam. Satu yang hamba puji ketika itu adalah tolak ansur polis yang membenarkan tentera terlibat sama untuk memujuk Adam. Ini kerana ketika itu terdapat pegawai polis yang tidak gemar pihak tentera campur tangan, maklumlah dah umpama tradisi dahulu kedua perkhidmatan ini tidak sebulu. Buat apalah tak sebulu, kau orang bukannya berkhidmat dengan kerajaan yang berbeza. Namun hikmah pengelibatan tentera inilah yang membuatkan Adam mahu menyerah.

Walaupun mempunyai sifat yang keras dan suka memberontak, Adam cukup berminat dengan kerjayanya sebagai seorang tentera. Dalam tentera beliau cukup berdisiplin serta bersungguh-sungguh dalam latihan. Beliau merupakan antara penembak handalan di kem. Namun manusia juga yang menjahanamkan orang sebegini. Orang yang menjahanamkan beliau mungkin hidup bahagia hari ini. Tetapi Adam masih lagi menderita. Hamba rasa anda yang mendera Adam perlu melutut memohon maaf kepada beliau, anda perlu pulihkan beliau daripada dadah dan anda perlu sara kehidupan beliau sehingga nafas yang terakhir!!

Jumaat, 14 Disember 2018

JEJON DI JEPUN 3 - Jon Suraya



Ini merupakan siri Jejon paling terkini yang dikeluarkan pada bulan April 2018 yang lalu. Berdasarkan carta pada awal komik ini bermakna 2018 merupakan tahun terakhir beliau berada di Jepun. Siri ke 3 ini pula mencatatkan pengalaman beliau setelah satu tahun berada di sana.

Tidak banyak beza perjalanan siri ini dengan kedua siri yang sebelum ini. Namun dapat dilihat bahawa Suraya semakin dapat menyesuaikan diri dan hidup berdikari. Beliau banyak explore kawasan sekeliling dan telahpun mendapat pengalaman menarik apabila berpeluang untuk berbasikal di sekitar Tasik Biwa, tasik terbesar di Jepun. Hamba pernah melihat sendiri tasik berkenaan serta merasai perjalanan dengan bot di atasnya. Ia sememangnya merupakan sebuah tasik yang cantik, bersih dengan pemandangan alam semulajadi yang menakjubkan.

Episod mendebarkan bagi Suraya adalah apabila melalui entrance exam untuk PhD yang dijalankan di dalam bahasa Jepun. Walaupun mengakui bahasa Jepunnya agak teruk tetapi beliau telah melaluinya dengan baik dan lulus. Bagi hamba yang tidak mengikuti perkembangan Suraya melalui blog, pastinya telah banyak perkara lain yang dilalui sementelahan ini merupakan tahun beliau yang terakhir. Hamba berharap siri yang akan keluar selepas ini akan terus mencakupi pengalaman beliau hingga tahun terakhir dan keluar terus dalam bentuk kandungan yang tebal. Tak syok la beli runcit-runcit ni, makan tahun pula tu!!

DARI MTV KE MAKKAH, ISLAM MENGILHAMKAN HIDUPKU - Kristiane Backer


Hidayah adalah satu perkara yang mahal dan tidak ternilai harganya. Ini kerana hidayat bukanlah satu barang dagangan buatan manusia yang boleh diperdagangkan. Hidayah adalah milik Allah. Dia memberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, maka sesungguhnya amat beruntunglah mereka yang dilimpahi akan nikmat tersebut. Justeru sesiapa yang diketuk pintu hatinya untuk menerima anugerah hebat ini maka bukakanlah ia seluas-luasnya dan biarkanlah ia masuk lepas bebas dan terus menghuni taman hati.

Tiada siapa yang menyangka bahawa seorang gadis yang pernah terlibat secara lansung dalam hiburan penuh glamour ini dibukakan pintu hatinya untuk kembali kepada fitrah. Apatah lagi beliau adalah seorang gadis berbangsa Jerman, satu bangsa yang sering memandang serong akan Islam. Perkenalan beliau dengan Imran Khan (bekas pemain kriket antarabangsa dan sekarang perdana menteri pakistan) membawa kepada perkenalan beliau dengan Islam. Agak menarik walaupun mereka ini ber'couple' tetapi ia dijalankan dengan penuh sopan, tidak terlalu exposed terutamanya kepada masyarakat dan media. Hebatnya Imran mengambil kesempatan hubungan ini untuk berbicara tentang Islam dan memberikan penerangan dengan sebaiknya. Kerana itu walaupun pasangan ini tidak 'berjaya' untuk ke peringkat seterusnya, namun benih Islam yang telah disemaikan Imran mulai tumbuh subur dan merendang.

Liku-liku perjalanan menuju Islam Kristiane amat menarik untuk dibaca. Pencarian beliau tentang Islam dibuat secara ilmiah dengan membaca atau bertemu dengan cerdik pandai serta ilmuan Islam. Beliau juga turut menyertai beberapa kumpulan sufi dalam pencarian ini. Hamba agak teruja apabila mendapat maklumat seperti beberapa ilmuan barat yang sebenarnya seorang Muslim dan mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam agama ini seperti Gai Eaton (Sidi Hassan) dan Martin Lings (Sheikh Abu Bakr Sirajuddin). 

Tidak mudah apabila orang yang berasal dari dunia glamour untuk menjadi seorang Muslim. Terlalu banyak cabaran yang beliau hadapi terutamanya daripada keluarga dan masyarakat. Tekanan semakin terasa apabila sewaktu tragedi 911 berlaku, beliau secara kebetulan berada di Amerika menyebabkan beliau terus dipandang serong di khalayak hanya semata-mata kerana beliau seorang Muslim.

Hamba melihat buku ini sebagai sebuah buku ilmiah. Ia lebih banyak membincangkan tentang Islam itu sendiri berbanding kisah glamour beliau sebagai hos MTV yang lebih banyak dibincangkan pada awal buku sahaja. Buku ini bukan sahaja baik untuk bacaan orang Islam tetapi juga kepada bukan Muslim yang mahu memahami agama ini dengan lebih baik. Tambahan pula ia ditulis oleh seorang barat yang bukan Muslim asal justeru akan membincangkan tentang segala persepsi awal, kenyataan yang sebenar serta lain-lain perkara lagi. Membaca buku ini kadangkala membuatkan diri hamba malu sendiri kerana Kristiane kelihatan begitu bersungguh-sungguh dalam mempelajari serta mengamalkan Islam itu. Hamba berdoa agar termasuk golongan yang dipilih Allah untuk menerima hidayah-Nya dan terus berada di dalam pemeliharaan-Nya. Amin.

Rabu, 12 Disember 2018

JEJON DI JEPUN 2 - Jon Suraya



Persembahan siri kedua ini adalah lebih baik daripada yang pertama. Selain daripada penceritaan, Jon Suraya turut memasukkan catatan asal jurnal beliau, sepucuk surat daripada bapanya, beberapa gambar serta proses penyediaan komik ini.

Bagi siri kedua ini Suraya menampilkan beberapa kisah seperti gempa bumi, basikal, perjalanan ke universiti, komuniti Malaysia di Kyoto, sambutan hari raya pertama serta pembentangan beliau yang dijalankan dalam bahasa Jepun. Namun hamba rasa kisah basikal beliau lebih mendominasi siri kedua ini.

Kisah Suraya ini tidak jauh bezanya dengan hamba ketika menuntut di luar negara lebih 20 tahun lalu. Bezanya ketika ini Suraya mempunyai kelebihan penggunaan teknologi maklumat yang banyak membantu beliau di Jepun khususnya tentang ramalan cuaca/gempa bumi/tsunami, penggunaan jalan, lokasi restoran halal dan banyak lagi. Kegembiraan yang beliau rasai ketika menerima kiriman kuih raya dari Malaysia itulah juga kegembiraan yang hamba rasai dahulu. Bezanya kuih yang hamba terima banyak yang hancur dek perjalanan yang jauh. Amat rugi hamba tidak mempunyai kebolehan melukis seperti Suraya, kalau tidak 20 tahun yang lalu dah ada satu karya yang mendahului karya Jejon Di Jepun ini!! :-D


Selasa, 11 Disember 2018

KLIMAKS - Helmi Effendy

Walaupun masa dua tahun yang diperlukan oleh penulis untuk menyiapkan karya ini, hamba merasakan ia masih tidak dapat menandingi beberapa karya beliau yang pernah hamba baca seperti The Lost WorldDari Alam Lain dan Menggunung. Helmi seperti mempunyai terlalu banyak idea untuk diceritakan di dalam naskhah ini menyebabkan hamba perlu membacanya dengan perlahan bagi membolehkan hamba memahaminya dengan baik.

Kisah-kisah tamadun manusia yang berada di penghujung, serangan wabak penyakit, zombie dan sebagainya merupakan satu topik biasa yang selalu ditemui dalam filem khususnya dalam filem barat. Itu adalah apa yang Helmi cuba bawa di dalam novel ini dengan memfokuskan Malaysia (Helmi tidak menyatakan apakah perkara yang serupa turut berlaku di negara-negara lain). Zombie versi Helmi tidak sama dengan zombie yang biasa kita lihat, pergerakannya agak lambat. Zombie versi Helmi ada yang boleh bergerak pantas, boleh mengejar, boleh memanjat dinding seperti Spiderman, boleh menjelir lidah yang panjang serta ada yang mempunyai otak dan boleh berfikir seperti manusia. Itu menjadikan spesis zombie dalam novel ini adalah lebih susah untuk dihapuskan. Namun hamba melihat itu semua hanyalah masalah sampingan sahaja. Isu utama naskhah ini adalah persengketaan sesama manusia yang tidak berkesudahan walaupun berada di zaman konflik yang lebih memerlukan kepada penyatuan. Ia adalah kisah perjuangan seorang bapa yang mahu membesarkan dua anak gadisnya, perjuangan seorang suami yang mahu merebut kembali cinta bekas isterinya, perjuangan untuk menghapuskan rejim yang zalim dan tidak terkecuali siapa yang kuat dialah yang berkuasa/menang!!

Kematian Mia Hanez, isteri kepada Saiful Hawiz telah memaksa beliau untuk membesarkan dua anak gadisnya secara bersendirian. Sudahlah begitu, keluarga ini juga tidak tinggal di dalam koloni manusia yang lain bahkan tinggal secara berasingan di luar. Beliau mengajar anaknya untuk survive di dunia yang mencabar ini. Kerana itu walaupun usia mereka masih belasan tahun, mereka amat berani dan mempunyai kemahiran untuk mengendalikan senjata.

Namun apa yang berlaku kepada anak Saiful lah yang menjadikan plot novel ini semakin berkembang. Secara spesifiknya Zurialis - telah digigit oleh zombie, tetapi selamat hasil vaksin ciptaan Ahmad Naim. Penculikan beliau oleh regim Shafrizal Azmi dan disumbatkan ke penjara Kamunting  mencetuskan usaha-usaha untuk menyelamatkan beliau. Namun usaha untuk menyelamatkan itu kelihatan terlalu panjang. Banyak benar peristiwa yang terjadi. Boleh hamba katakan terlalu banyak adegan suspen yang diadakan. Belumpun hilang rasa suspen pada satu kejadian, datang pula masalah yang baru yang turut mencengkam dada pembaca.

Andaikata Klimaks ialah sebuah filem, mungkin ia tidak sesuai untuk ditonton oleh banyak khalayak. Terlalu banyak adegan pembunuhan yang mengerikan berlaku sama ada oleh manusia ataupun makhluk lain. Bahkan pembunuhan yang tidak berperi kemanusiaan turut dipaparkan seperti pembunuhan tiga orang kanak-kanak oleh Saiful Hawiz.

Dalam novel ini seekor zombie Alpha yang mempunyai otak yang boleh berfikir seperti manusia beserta pengikutnya daripada golongan zombie yang handal digambarkan sebagai satu kelompok ganas yang sukar ditewaskan. Bahkan hero novel inipun 'terduduk' dengan keganasan beliau. Namun secara tiba-tiba koloni mereka ini telah dimusnahkan oleh Shafrizal tanpa dihuraikan cara mereka ditumpaskan. Ini kadang-kadang yang buat hamba tak puas hati sebab selepas itu apabila berperang dengan kumpulan Ice, nampaknya tidaklah susah sangat nak menumpaskan Shafrizal walaupun beliau telah dibantu dengan pengkhianatan Ahmad Naim.

Dan novel ini sebenarnya umpama tidak berpenghujung. Ia hanya ditamatkan dengan sepucuk surat oleh Amir Wijaya kepada Saiful Hawiz yang menyeru beliau untuk sama berjuang. Barang diingat bahawa Shafrizal masih lagi hidup walaupun kumpulannya tewas dalam pertempuran di penghujung novel. Akan ada lagikah sambungan novel ini?


JEJON DI JEPUN - Jon Suraya







Lama dah nak beli novel grafik Jejon Di Jepun ni. Walaupun ada dijual melalui atas talian, hamba lebih suka membeli sendiri di kedai buku. Namun terus terang hamba katakan nak mencari buku ini bahkan mana-mana komik terbitan Maple Comics! di kedai buku, setakat ini hamba belum ada terjumpa lagi. Sehinggalah pada pameran Big Bad Wolf 2018 yang sedang berlansung sekarang barulah dapat hamba ketemu. Yang chanteknya kesemua 3 siri komik Jejon ini ada dijual di sana dan ia murah RM4 berbanding harga asal.

Hamba memang meminati gaya lukisan Jon Suraya semenjak beliau melukis di Ujang/Apo? lagi kerana ringkas dan kemas serta tidak serabut mata memandang. Kerana itu memiliki karya beliau bukanlah satu kerugian bagi hamba bahkan bagi mereka yang mahu berjinak-jinak melukis kartun boleh manejadikan gaya Suraya sebagai panduan.

Buku pertama dari tiga siri ini mudah sahaja kisahnya. Ia memaparkan peralihan baru hidup sang pelukis apabila memilih untuk menyambung pengajian di Jepun. Secara peribadi hamba amat menyokong usaha mana-mana kartunis untuk belajar hingga ke peringkat tertinggi. Sekurang-kurangnya kata-kata orang kebanyakan bahawa bidang lukisan kartun ini tidak membawa pelukisnya ke mana-mana boleh dinafikan. Setakat ini, mengikut apa yang hamba tahu, telah ada dua kartunis yang memiliki PhD iaitu Prof. Muliyadi Mahmood dan kartunis Leen Mafia. Dan kita tunggu Jon Suraya pula untuk meletakkan title Dr di hadapan namanya.

Di samping konflik jiwa yang melanda beliau turut dipaparkan adalah detik-detik awal serta penyesuaian diri beliau di tempat baru atau lebih tepat lagi. Kyoto. Justeru dalam siri pertama ini belum banyak lagi kisah mengenai kehidupan di Jepun, di mana perlu ditelusuri sendiri oleh pembaca melalui siri 2 dan 3.


Jumaat, 30 November 2018

SINDIKET - Arman Jazee

Pada bab pertama ini lagi Arman Jazee telah membuat kejutan kepada hamba apabila memaparkan isu murtad. Ia apabila seorang isteri yang tidak lagi mahu hidup susah bersama suaminya, menuntut sebuah perpisahan serta mahu berkahwin dengan seorang lelaki asing. Beliau bahkan tega untuk meninggalkan kedua orang anaknya. Bab seterusnya banyak memaparkan penderitaan kedua beradik tadi yang tidak lagi dipedulikan bapa mereka. Sepak, pukul, terajang bagaikan menjadi makanan harian mereka. Arman Jazee bijak memainkan emosi pembaca dalam bab-bab awal ini. Penderitaan, kepayahan dan kesusahan kedua beradik ini memang dapat dirasai. Bahkan penderaan yang dilakukan terhadap mereka telah dilukis dengan baik oleh penulis. Ia turut memaparkan kasih sayang seorang abang terhadap adiknya yang kurang upaya sehingga sanggup meletakkan nyawanya demi mempertahankan beliau. Kisah kedua beradik ini terhenti dengan episod kematian mereka di tangan samseng jalanan.

Seterusnya pembaca dibawa kepada pokok penceritaan, kisah pemerdagangan manusia/organ manusia yang dimulakan dengan penculikan Zera dan Zeri, dua beradik yang pulang dari sekolah. Penulis memasukkan elemen 'penculikan van putih' yang pernah tular satu ketika dahulu. Pembaca seterusnya akan dipaparkan dengan kegigihan seorang ibu bernama Munira yang berusaha keras untuk mengesan kehilangan anak-anaknya. Kegagalan pihak polis menyelesaikan kes tersebut memaksa beliau bertindak sendiri. Melalui bantuan fail penyiasatan daripada seorang anggota polis beliau memulakan siasatannya dengan meneliti pattern penculikan tersebut. Usaha beliau akhirnya menemukan dengan markas para penculik tersebut. Namun kerana tindakan yang tidak bijak menyebabkan beliau terjebak ke dalam permasalahan yang lebih besar lagi.

Episod seterusnya terasa lebih mencengkam.apabila Munira menjadi buruan sindiket tersebut bersama seorang lelaki bernama Somchai yang dikatakan mengkhianati kumpulan tersebut. Adegan-adegan pertempuran tangan kosong mahupun bersenjata, penuh dengan darah dan tulang temulang yang patah akan menghiasi banyak bab berikutnya. Di mana kalau ia difilemkan sedemikian pastinya banyak memaparkan adegan ganas yang tidak sesuai untuk tontonan sesetengah pihak. Munira daripada seorang wanita yang naif beransur-ansur menjadi seorang yang berani dan tidak gentar berhadapan dengan musuh.

Episod-episod akhir menjadi lebih hebat lagi apabila penulis mula memaparkan kaitan antara Munira dan Somchai dengan pemimpin kumpulan The Ogra. Ternyata pengakhirannya bukanlah umpama kata-kata ....and they happily lived ever after, tetapi ia tetap mempunyai makna yang tersendiri.

Karya Arman Jazee seperti biasa mempunyai ramuan yang mantap untuk peminat novel berunsur thriller. Hamba melihat beliau semakin meningkat dan tulisannya sudah boleh mengatasi Ramlee Awang Murshid!!


Khamis, 22 November 2018

KISAH HIDUP SENIMAN AGUNG P.RAMLEE - Abdullah Hussain



Satu perkara yang boleh dianggap istimewa tentang buku ini adalah ia ditulis oleh seorang sasterawan negara dan yang kedua beliau adalah antara orang yang rapat dengan P.Ramlee semenjak muda sehinggalah ke akhir hayatnya. Menguatkan lagi kisah-kisah yang ada di dalam buku ini adalah kenyataan penulis bahawa beliau adalah antara orang yang dipercayai oleh P.Ramlee serta edisi awal Kisah Hidup P.Ramlee yang bertulisan Jawi dan kemudiannya Rumi, yang berdarkan siri tulisan penulis di dalam majalah Gelanggang Filem telahpun dibaca oleh seniman agung tersebut. Justeru sebagai pembaca kita akan dapat meyakini tentang fakta atau kenyataan yang tertulis di dalam buku ini. 

Seperti tulis penulis di awal buku, P.Ramlee tidak banyak berkisah tentang dirinya. Dengan para wartawan beliau lebih suka bercerita tentang kariernya. Justeru kisah beliau hanya 'terkeluar' kadang-kadang semasa beliau berbicara. Begitu juga dengan kehidupan silam bapanya yang berasal dari Aceh juga tidak diketahui dengan mendalam. Walaupun penulis menganggap ia antara kesusahan bagi mendapatkan kisah tentang P.Ramlee, namun hamba melihat beliau telah berjaya menyusun buku ini dengan baik sekali. Terus terang hamba nyatakan bahawa kebanyakan kisah yang hamba baca di dalam buku ini tidak pernah hamba baca atau dengar ditempat lain. Membaca buku ini ternyata menimbulkan keterujaan kepada hamba disebabkan fakta-fakta baru ini.

Boleh hamba katakan bahawa buku ini adalah kisah suka duka P.Ramlee, bahkan mungkin lebih banyak dukanya berbanding suka. Namun kedukaan seniman agung ini tidak diperlihatkan kepada khalayak. Beliau lebih banyak menyimpannya sendiri. Belioau sendiri walaupun berada di dalam kesukaran tetap mahu membahagiakan orang yang berada di sekelilingnya.

Kisah-kisah awal P.Ramlee sebelum berhijrah ke Singapura juga sudah cukup menimbulkan keterujaan. Kenakalan, kesungguhan dalam bidang muzik, penciptaan lagu Azizah dan misteri di sebalik nama tersebut sehinggalah pertemuan dengan BS Rajhans yang merupakan satu turning point buat P.Ramlee untuk mula mencipta nama di persada seni tanah air.

Hamba ingatkan sikap sombong artis ini hanya terjadi sekitar20-30 tahun lalu sahaja. Rupanya sebelum merdeka lagi segelintir yang bergelar anak seni ini juga ada yang bersikap sombong. Ini boleh dilihat pada minggu-minggu awal P.Ramlee berada di Singapura apabila beliau dan sahabat yang datang bersama beliau berasa umpama disisihkan. Kadang-kadang apabila beliau cuba duduk dengan satu kelompok di warung makan, mereka satu persatu akan bangun meninggalkan beliau. Maklumlah beliau ketika itu masih bukan lagi siapa siapa.

Kita mungkin merasakan sebaik sahaja P.Ramlee telah mula berlakon daripada satu filem ke satu filem kehidupan beliau agak baik. Tetapi sebaik sahaja tamat kontrak kali pertama beliau dengan Malay Film Productions, iaitu selepas filem Takdir Ilahi, P.Ramlee berada dalam kesusahan buat seketika. Penulis telah memaparkan akan kesusahan tersebut serta dengan sahabat mana yang beliau susah bersama-sama. Ketika kesusahan itu kadang-kadang beliau dapat peluang bekerja di Bangsawan dengan upah 60 sen sehari. Upah itupun dibahagi dua dengan sahabatnya, Hamdi menjadikan hanya 30 sen seorang.

Seperti yang hamba nyatakan di awal tadi, melalui buku ini kita lebih merasai kedukaan dan penderitaan yang dihadapi oleh seniman agung ini. Buku-buku lain mungkin banyak memaparkan tentang filem dan kegemilangan hidup beliau, tetapi membaca buku ini membuatkan hamba merasa simpati dengan apa yang telah berlaku kepada P.Ramlee. Tidak kiralah kedukaan itu disebabkan kemiskinan, masalah rumah tangga, sengketa dengan kawan-kawan, ditipu, masalah dalam perjalanan karier dan bermacam lagi, hamba lihat personaliti ini cukup tabah. Walaupun beliau susah tetapi beliau masih tetap mahu mengutamakan orang lain. Jarang yang meminta pertolongan dengan P.Ramlee pulang dengan tangan kosong.

Buku ini merupakan satu dokumen berharga tentang seniman negara. Ia harus dibaca oleh semua masyarakat khususnya para peminat almarhum.


Rabu, 7 November 2018

MUSIBAT - Naim Tamdjis




Penulis ini ada semalam mempromosikan buku-bukunya di Jualan Gudang Karangkraf 2018 (jualan akan diadakan sehingga 11 November 2018). Tetapi hamba tidak membeli sebarang buku beliau kerana mahu mencuba tulisan penulis yang lain pula.

Kisah di dalam Musibat dikaitkan dengan Kesultanan Melayu Melaka. Penulis awal-awal lagi telah menyatakan di awal novelnya bahawa Kesultanan Melayu Melaka yang dikisahkan di dalam novel ini hanyalah imaginasi beliau semata-mata memandangkan kesultanan tersebut telah berakhir dengan pendudukan Portugis pada 1511. Ini kerana dalam Musibat, Kesultanan Melayu Melaka masih lagi mempunyai legasi dan daulatnya. Cuma apabila disebut sultan Melaka mempunyai sida-sida hati hamba tertanya-tanya juga apakah pada hari ini akan ada manusia yang mahu menjadi sida-sida memandangkan sida-sida adalah lelaki yang telahpun dikasi. Lagipun di lain-lain negeri yang  bersultan tidak ada yang menjadi sida-sida. Begitu juga dengan jawatan (imaginasi) Bendahara yang tentunya akan bertindih dengan fungsi Ketua Menteri atau Menteri Besar memandangkan dalam pemerintahan moden hari ini jawatan tersebut adalah umpama bendahara pada masa lalu. Ya benar, ini cuma imaginasi cuma hamba lebih suka andainya ia seiring dengan realiti  kesultanan yang ada di negeri lain hari ini.

Cerita Musibat amat mudah difahami. Berkisar mengenai sebuah gendang nengkara yang diperbuat daripada kulit perut wanita mengandung pada zaman srivijaya. Semangat gendang itu terus menghantui selagi sumpahannya tidak ditamatkan. Penamat sumpahannya hanya boleh dilakukan apabila pewaris pemain gendang yang merupakan rakyat biasa berkahwin dengan puteri raja dan seterusnya menguburkan gendang tersebut di kawah Siguntang Mahameru. Beratus tahun juga nak menamatkan sumpahan ini. Maknanya selama beratus tahun ini puteri raja memang tak berkenan lansung dengan pemain gendang. Kurang hensem barangkali, ha ha ha.

Menggunakan latar masa zaman Srivijaya dan Majapahit serta hari ini, plot-plot disusun dengan baik. Latar masa silam lebih banyak dipaparkan melalui mimpi oleh watak utamanya, Zin yang merupakan satu pemberitahuan atau pemakluman sejarah gendang tersebut oleh watak Seroja, 'semangat' yang bersemadi bersama gendang nengkara tersebut. Anda akan dapat menikmati babak umpama Pirates Of The Carribean apabila membaca bab yang melibatkan Lanun Langka. Cuma penggunaan bahasa Indonesia yang nampak agak moden apabila melibatkan latar masa ini seperti contohnya di mukasurat 79, "Brengsek. Berani Raja Srivijaya membunuh utusan gue! Karno... utusan gue yang paling gue percayai! Berani dia membunuhnya!" Jelas ayat ini menggunakan perkataan moden yang tidak mungkin digunakan beratus tahun yang lalu. Penulis sewajarnya merujuk kepda orang Indonesia sendiri ataupun filem Melayu lama. Dalam filem Melayu lama contohnya (hamba terlupa tajuknya) watak orang Majapahit menggunakan kata ganti 'kulo'. Kata ganti gue ini hanya bahasa pasar yang digunakan orang moden hari ini.

Begitu juga dengan beberapa penggunaan bahasa seperti pada mukasurat 176, "Ampun Tuanku. Jemputlah duduk" Zin berbahasa-basi. Tidak ada berbahasa-basi Encik Naim. Yang ada ialah berbasa basi. Berbahasa basi memang busuk mulutnya tak gosok gigi. (Berbasa basi menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia - ungkapan yang digunakan hanya untuk sopan santun dan tidak untuk menyampaikan informasi).

Selain itu terdapat juga kata nama atau ganti diri yang bercampur aduk. Contohnya di muka surat 445, "Ajar adinda mengucap......"katanya lemah. "Tidak! Kakanda hanya luka. Kakanda sudah tekap luka adinda! Kakanda sayang adinda! Jangan cakap begitu" jerit Zin. Ayat Kakanda hanya luka sepatutnya ditulis 'adinda' hanya luka. Terdapat juga di beberapa tempat lagi misalnya, tempat yang sepatutnya nama Dollah ditulis nama Zin dan begitulah sebaliknya. Dalam hal ini memang penulis tidak wajar dipersalahkan seratus peratus (namun tetap bersalah kerana bukan sahaja boleh mengelirukan pembaca tetapi boleh juga mengubah penceritaan) namun disinilah sebenarnya terletak peranan editor. Setiap buku pasti ada editor untuk melakukan tugas penyemakan. Tambahan pula penerbitan besar seperti  Karangkraf, tidak mungkin sesebuah manuskrip terus dicetak tanpa sebarang penyemakan.

Penulis turut menamakan beberapa watak tambahan dengan nama yang hamba percayai merupakan nama sahabat-sahabat penulis beliau yang lain (yang karya mereka turut bersama Karangkraf). Bahkan nama penulis pun ada juga pada satu watak. Penulis juga ambil kesempatan mempromosikan buku beliau yang lain melalui watak Puteri Dayang yang suka membaca novel seram. Perlakuan ini sama seperti penulis sebuah novel yang hamba pernah ulas sebelum ini. Hamba kurang minat promosi diri cara begini. Kerana itu hamba tak beli buku penulis ini semalam.

Musibat turut menanamkan sifat berjiwa murni. Watak seperti Sultan Melaka walaupun mempunyai kedudukan yang tinggi tetapi merupakan seorang lelaki yang pemurah, tidak memandang hina kepada kedudukan mereka yang bukan berdarah raja dan sebagainya. Baginda bahkan memberikan keampunan kepada Tengku Bendahara Sitam yang menikam baginda dari belakang, khianat dan derhaka. Tidak cukup dengan itu baginda membayar kesemua hutang si Sitam ini. Pak Dir dan kumpulan gendangnya juga tidak memandang rendah akan Zin yang baru menyertai mereka serta tidak lokek dengan ilmu, tunjuk akar dan nasihat. Pak Dir umpama watak Alfred dalam cerita Batman. Penulis turut memasukkan kritikan-kritikan terhadap ahli politik/pemerintah secara tidak lansung yang boleh difahami banyak ditujukan kepada kerajaan lama (memandangkan karya ini dihasilkan ketika itu). Tapi percayalah walaupun sudah berkerajaan baru, perkara yang dikritik melalui watak-watak tersebut masih lagi berlaku. Penulis turut menempelak mereka yang hanya melakukan ibadat dengan tidak ikhlas serta hanya menunjuk sahaja melalui penceritaan watak Dollah dan Zin yang hanya kadang kala menunaikan solat, lebih-lebih lagi di tempat kerja kerana malu dengan rakan lain yang bersolat.

Walaupun laman belakang kulit bukunya memberikan rating 70% seram, tetapi hamba secara peribadi tidak merasa seram sehingga ke peratus yang dinyatakan. Untuk diri hamba mungkin sekitar 20% sahaja. Watak Seroja apabila hampir setiap kali muncul dengan gaya yang sama, menyanyikan lagu Sriwijayanya, ia tidak lagi seram sehingga hamba akan melompat bacaan lirik lagu itu terus ke perenggan lain. Musibat sesuai dibaca pada waktu lapang dan tak perlu takut kalau membacanya berseorangan!!

Isnin, 5 November 2018

IBU MELAYU MENGELILINGI DUNIA : DARI RUMAH KE LONDON - Tan Sri Aishah Ghani



Buku ini merupakan catatan perjalanan Almarhumah Tan Sri (Dr.) Hajah Aishah Ghani sewaktu beliau berpeluang menyambung pengajian di London dalam bidang kewartawanan. Buku ini bukanlah tulisan baru melainkan cetakan semula oleh ITBM. Saya menyanjung tinggi akan inisiatif ITBM yang banyak menerbitkan semula buku-buku lama daripada penulis tempatan yang tersohor kerana dapat memebrikan peluang kepada generasi hari ini untuk menikmati semula bahan bacaan yang mungkin terbit semasa kebanyakan kita masih lagi belum lahir ke dunia ini. Tan Sri Aishah pergi sebelum merdeka dan pulang selepas kemerdekaan. Penulis Nisah Haron menobatkan buku ini sebagai sebuah travelog wanita Melayu secara solo yang pertama di dunia.

Secara keseluruhannya pengalaman beliau tidaklah ditulis dengan begitu terperinci. Pengalaman perjalanan banyak diceritakan dalam perjalanan pergi yang menggunakan kapal yang mengambil masa lebih kurang sebulan lamanya. Di mana dalam perjalanan menuju ke destinasi, kapal akan singgah di beberapa negara yang penulis sempat turun seketika bagi melihat-lihat apa yang ada. Pada bab-bab ini memang terasa seperti penulisan berbentuk travelog.

Namun pengalaman di London kebanyakannya tidaklah dicatat mengikut latar masa yang berturutan melainkan diberikan bab-bab yang tertentu. Di sini Tan Sri lebih banyak mengungkapkan pandangan beliau, membuat perbandingan antara masyarakat di sana dengan yang di tanah air serta harapan beliau untuk melihat tanah Melayu yang lebih baik.Sepertimana harapan beliau ketika itu yang berharap akan ada anak Melayu yang belajar di beberapa tempat sepert Royal College London dan Royal Academy of Music, hari ini telah terlalu ramai anak tempatan ke sana. Namun hamba amat tertarik dengan kerisauan beliau ketika itu tentang wanita tempatan apabila arus kemodenan mula melanda apatah lagi apabila melihat anak tempatan yang berada di sana ada diantaranya seperti telah hilang jatidiri. Kerisauan beliau pada pertengahan 50an itu sebenarnya telahpun banyak terjadi. Kita boleh lihat kesan daripada kemerdekaan serta konsep dunia tanpa sempadan telah menyebabkan segelintir anak muda (bahkan orang tua juga) yang hilang jatidiri keMelayuannya.

Tan Sri turut berkisah tentang kolej Kirkby, sebuah pusat latihan perguruan untuk melatih anak tempatan di UK. Ia dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Tanah Melayu dan bukannya ditaja oleh kerajaan British. Walaupun berada di luar negara, hakikatnya pelatih koleh berkenaan hanya terdiri daripada anak tempatan. Hanya tenaga pengajarnya sahaja dari sana. Justeru Tan Sri melihat hal ini seperti satu kekurangan kerana anak Malaya di situ tidak dapat bergaul dengan orang tempatan bahkan lokasi kolej tersebut didirikan juga adalah di pinggir bandar.

Walaupun buku ini adalah rangkuman pengalaman serta pandangan pada tahun 50an, namun hamba merasakan segala pandangan beliau dalam buku ini masih relevan sehingga kini. Buku ini nampaknya seperti tergantung dan seperti ada mahu disambung. Tetapi usah dicari, memang tidak ada buku sambungannya. Justeru masih banyak lagi pengalaman Almarhumah yang tidak dapat kita gali dan telah pergi seiring pemergiannya pada 19 April 2013 ketika berusia 89 tahun.

LAT. MY LIFE AND CARTOONS - Mohammad Nor Khalid



Buku ini diterbitkan pada tahun 2016, kira-kita dua tahun yang lalu. Baru tahun ini hamba dapat membelinya kerana menunggu pengurangan harga. Beberapa bulan sebelum itu hamba ada terjumpa di FB ada manusia yang mahu menjual buku ini (kondisi terpakai) dengan harga RM120. Lantas hamba bertanya penjual berkenaan mengapa jual dengan harga yang mahal sedangkan buku ini masih lagi berada di pasaran dan dijual dengan harga RM99. Jawab beliau dahulu beliau membeli buku ini dengan harga yang mahal dan menyambung andainya hamba tidak berminat dengan buku beliau, sila boikot. Jawapan ini bersifat kurang ajar sebenarnya dan hamba percaya umur penjual berkenaan jauh mudanya berbanding hamba. Kemudian ada pula pengunjung lain yang menambahkan kehangatan dengan mengatakan hamba cuba menutup rezeki orang (penjual). Hamba nyatakan bahawa hamba sedang menjalankan aktiviti muamalat dan pertanyaan adalah sebahagian daripadanya. Hamba tidak nampak kalau sekadar bertanya boleh menutup rezeki orang. Lagipun rezeki manusia itu memang telah tertulis sejak azali (itupun kalau orang ini ada belajar ilmu tauhid). Orang tidak menjual barang terpakai dengan harga mahal selagi barang yang baru masih terjual di pasaran. Ia boleh meningkat harganya apabila ia tidak lagi ada di pasaran dan telah masuk dalam kategori bahan langka. Jika tidak penjual kategori ini adalah tergolong dalam kalangan manusia yang tamak dan nak cepat pakai Ferrari. Buku ini semenjak dijual memang berharga RM99, jadi kalau penjual tersebut mendakwa beliau membeli dengan harga yang lebih daripada harga tersebut bagi hamba ini memang satu pembohong besar. Buku ini dapat hamba perolehi dengan harga lebih murah apabila sebuah portal beli belah online menjual dengan harga diskaun. Bukan sahaja dapat diskaun malah dapat pula percuma pananda buku yang istimewa.



Hamba antara jutaan peminat kartunis Lat. Namun hamba mungkin bukan daripada kategori hardcore kerana tidak semua koleksinya hamba miliki. Tetapi dahulu hamba sedaya upaya mengikuti kartunnya di dalam New Straits Time yang disiarkan setiap Isnin, Selasa dan Sabtu. Hamba bukanlah peminat akhbar ini. Tetapi hamba beli akhbar berkenaan semata-mata kerana kartun beliau yang akan hamba gunting dan simpan di dalam scrap book. Ia hamba lakukan sekitar tahun 2001 sehinggalah Lat tidak lagi melukis untuk akhbar berkenaan. Baru-baru ini apabila keluar edisi khas Lat bersama satu jenama coklat, hamba turut membelinya secara atas talian. Ia lebih menguntungkan kerana disertakan dengan sebuah kole khas Lat secara percuma. Cuma bekas makanan Lat keluaran sebuah syarikat pengeluar bekas plastik tidak hamba beli. Hamba rasa mahal dan tidak berbaloi untuk hamba sekadar menyimpannya sahaja (sebenarnya berbaloi jika anda seorang pengumpul tegar dan akan menjualnya semula pada masa akan datang).

Membaca buku ini perasaannya samalah seperti menatap kartun Kampung Boy dan Town Boy. Bezanya kisah Lat ditampilkan dalam bentuk penulisan diiringi beberapa gambar berkaitan. Namun Lat turut menyatakan terdapat beberapa perbezaan antara kartun Kampung Boy dan realiti sebenar contohnya seperti adegan beliau dihantar bapanya ke sekolah berasrama. Dalam edisi kartun beliau dihantar dengan menaiki bas sedangkan sebenarnya beliau pergi dengan kereta bapanya.

Lat memulakan memoirnya dengan menceritakan kegembiraan beliau menerima bayaran pertama lukisan komiknya. Menerima bayaran RM25 pada tahun 1964 sesungguhnya adalah merupakan satu amaun yang amat besar. Apatah lagi Lat pada ketika itu masih lagi kanak-kanak. Hamba dapat menghayati kegembiraan tersebut kerana hamba juga amat gembira apabila menerima honorarium tulisan/kartun pertama hamba di majalah atau akhbar. 

Lat menggunakan bahasa Inggeris yang mudah di dalam penuilisan buku ini. Beliau berkisah tentang dirinya sejak kecil sehinggalah sekitar 2009/2010. Namun tentunya ikisah zaman kecil beliau dan ketika beliau berkhidmat sebagai wartawan di Kuala Lumpurlah yang amat menarik untuk dibaca. Melalui buku ini banyak perkara baharu yang hamba ketahui tentang diri personaliti ini walaupun banyak yang telah diceritakan di dalam Kampung Boy, Town Boy dan Lat, The Early Series. (Lat, The Early Series merupakan sebuah lagi koleksi Lat yang harus ada pada tangan pengumpul). Hebatnya Lat adalah beliau telah mula berkarya semenjak kanak-kanak dan berani mencuba nasib menghantar karyanya kepada penerbitan. Walaupun karya-karya awal beliau banyak dipengaruhi gaya kartun luar negara, tetapi perlahan-lahan beliau mencipta identitinya yang tersendiri.

Dan berjayanya beliau berbanding kartunis lain ketika itu adalah kerana beliau mengambil pendekatan yang lain iaitu beliau mula cuba untuk berkarya di dalam bahasa Inggeris. Justeru walaupun hanya mempunyai kelulusan SPM tetapi persekolahan di sekolah yang menggunakan medium english telah memberikan beliau kelebihan apabila dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Selain itu peluasan karya beliau dengan melukis mengenai kehidupan kaum lain telah memeberikan kelebihan (rata-rata kartunis ketika itu hanya melukis senario kaum mereka sendiri). Lukisan itu pula diadakan setelah membuat kajian terlebih dahulu mengenai adat, cara hidup dan pantang larang mereka. Kerana itu tidak ada pihak yang marah apabila beliau melukis tentang perkahwinan kaum sikh contohnya kerana beliau sendiri hadir untuk merasai pengalaman tersebut.

Keberadaan beliau di dalam organisasi NST bagi hamba telah membuka ruang yang luas untuk beliau berkarya sehingga ke peringkat antarabangsa. Apabila beliau berpeluang ke luar negara, beliau akan explore dengan sebaik mungkin dan kadangkala mengambil cuti tambahan dan menggunakan duit sendiri untuk menyambung kembara. Kisah-kisah Lat di luar negara antara perkara baharu yang dapat pembaca ketahui melalui pembacaan buku ini.

Sedar atau tidak, Malaysia masih belum lagi menghasilkan Lat yang kedua. Walaupun telah ada pelukis komik Malaysia yang melukis untuk penerbitan besar seperti Marvel, mereka tidak dikenali sepertimana Lat. Bahkan belum mempunyai identiti serta platform yang kukus seperti Lat. Lebih-lebih lagi apabila kini dunia kartun tanahair yang semakin muram mungkin menyebabkan ramai yang tidak berminat ataupun percaya bahawa kartun boleh membawa mereka untuk pergi jauh.


Rabu, 26 September 2018

AMIN #1 - Muhammad Abdullah



Hamba tidak tahu kisah dalam komik ini menggunakan latar masa bila. Suasananya adalah kawasan perkampungan. Rumah yang dilukis rata-ratanya kayu termasuklah bangunan sekolahnya. Sekolah kayu pada hari ini mungkin hanya boleh ditemui di kawasan pedalaman yang jauh daripada akses jalan raya seperti yang pernah hamba lihat di pedalaman Sarawak. Itupun di beberapa kawasan pedalaman yang tiada akses jalanraya, bangunan sekolahnya amat moden seperti di bandar seperti SK Orang Kaya Muda Pakeri Paloh di Kuala Paloh, Sarawak.

Lukisan Muhammad Abdullah adalah baik dan kemas. Lukisan pemandangan beliau khususnya kawasan hutan amat menarik perhatian hamba. Gaya pemakaian sekumpulan kanak-kanak yang bermain perang-perang memberikan keseronokan pembaca menikmati bab berkenaan, cuma penceritaan bab peperangan mereka adalah pendek benar.

Amin adalah kisah berkait dengan dunia kanak-kanak dengan watak utamanya adalah Amin. Banyak belum dihuraikan dalam komik siri pertama ini tentang watak Amin. Personalitinya belum banyak dicungkil. Hanya dapat diketahui beliau tinggal dengan seorang lelaki tua yang bernama Ibrahim tanpa dijelaskan secara terang tentang keberadaan ibu dan bapanya. Bercita-cita tinggi mahu menjadi seorang pendakwah, beliau digambarkan mempunyai sifat-sifat kepimpinan dan seolah menjadi ketua kepada kawan-kawan yang lain.

Namun perjalanan cerita ini ada yang agak kabur. Contohnya pada ketika Amin ke surau bagi menghadiri majlis ceramah. Digambarkan tentang seorang tua yang berada di dalam surau berkenaan seolah berasa tidak kena atau serba salah dengan kehadiran Amin. Dialog Amin pula menunjukkan beliau ada bertemu dengan pakcik berkenaan pada siang itu dan seolah telah berlaku sesuatu antara mereka. Namun episod berkenaan sebenarnya tiada dalam penceritaan komik ini menjadikannya tergantung dan membuatkan pembaca tertanya-tanya. 

Begitu juga dengan kehilangan Kudin sewaktu memancing dengan rakan-rakannya. Kehilangan itu menyebabkan beliau terpaksa bermalam di hutan. Pelukis tidak memberikan sebab kehilangan Kudin, pengalaman beliau bermalam di hutan dan segala yang berkait dengan perkara tersebut. Hamba percaya bab tersebut boleh dikembangkan dengan lebijh baik lagi. Episod kehilangan dan penemuan Kudin semula itu juga menamatkan komik ini. Hamba tidak tahu sekiranya komik ini ada sambungannya ataupun tidak.

Terdapat satu komik bonus berjudul Tanggang yang dilukis mengikut versi Muhammad Abdullah sendiri. Gaya lukisannya agak berbeza dengan Amin dan penuh dengan humor. Hamba percaya Muhammad Abdullah boleh menjadi kartunis yang baik cuma hamba tidak pernah bertemu karya beliau di mana-mana bahkan inilah kali pertama hamba mengenali buah tangan pelukis ini. 

Selasa, 25 September 2018

BOBOIBOY GALAXY X LAWAK KAMPUS SUPERIOR - Keith & Skuad



Ini merupakan tahun ke -15 penerbitan kartun Lawak Kampus. Dan tahun ini Lawak Kampus melalui Kadokawa Gempak Starz menjadi lebih menarik apabila bergandingan dengan artis Animonsta Studios untuk menghasilkan projek crossover Boboiboy Galaxy X Lawak Kampus Superior. Rasanya inilah julung kali diadakan sebuah projek crossover yang tampil dalam satu majalah khas. Biasanya kartun crossover  tempatan muncul dalam penerbitan mana-mana majalah sedia ada. Paling istimewa kandungan keseluruhannya adalah dalam warna.

Dalam projek ini artis dari kedua studio bergabung untuk menghasilkan sebuah cerita yang difahamkan skripnya datang daripada Animonsta Studios. Kisah dalam komik ini pula dibahagikan kepada 10 bab yang menampilkan pelukis yang berbeza. Di sinilah cabarannya apabila para pelukis terpaksa melukis watak yang bukan milik mereka. Kelebihan setiap karya adalah setiap pelukis tidak terikat dengan rupabentuk asal watak-watak kartun berkenaan. Mereka melukis watak-watak daripada Boboiboy dan Lawak kampus mengikut cara dan kreativiti mereka sendiri.

Kisah bermula apabila pasukan Boboiboy dan Lawak Kampus sedang berada dalam perlawanan bolasepak. Perlawanan tersebut diganggu oleh Gigabot yang seterusnya menculik Cikgu Noodle dan Komander Kokoci. Selepas itu muncul 8 heksagon yang merupakan pintu ke dimensi yang lain. Watak-watak ini telah bergabung untuk menyelamatkan kedua individu tadi. Memandangkan tiada satu pun watak Lawak kampus yang mempunyai kuasa luar biasa, setiap watak mereka dipasangkan dengan watak daripada Boboiboy yang telah sedia mempunyai kuasa. Walau bagaimanapun watak-watak Lawak kampus telah dibekalkan dengan sebuah beg khas oleh Froggy yang memperolehinya daripada Tony Stuck (Tony Stak - Iron Man?). Justeru dalam setiap episod perlawanan nanti tidaklah nampak hanya watak daripada kumpulan Boboiboy sahaja yang mampu bertarung, tetapi watak daripada Lawak Kampus juga mempunya peranan mereka yang tersendiri. Para pasangan serta dunia cabaran yang ditempuhi adalah seperti berikut:-

§  BoBoiBoy, Ochobot dan Vanness - Dunia Raksasa
§  Gopal dan Aditas - Pagar Sesat Perpustakaan
§  Fang dan Xena - Perangkap Manisan
§  Yaya dan Froggy - Alam Impian Awang-Awangan
§  Ying dan Anthony - Kerajaan Ais
§  Sai, Shielda, Ami dan Yumi - Kembara Karnival
§  Papa Zola, Cattus dan Bebop - Dunia Mainan Prasejarah
§  Adu Du, Probe dan Si Kosong - Dimensi Ngeri

Akan datang kalau Lawak Kampus buat crossover  dengan Upin & Ipin pun best juga kan....



Isnin, 24 September 2018

THE DEFINITIVE BOOK OF BODY LANGUAGE - Allan & Barbara Pease



Harus hamba akui bahawa ilmu atau pengetahuan hamba dalam perkara yang dibincangkan di dalam buku ini adalah amat minima sekali. Justeru membaca buku ini memberikan banyak pengetahuan baru yang amat berguna dalam kehidupan seharian. Pengetahuan tentang maksud tersirat di sebalik ekspresi wajah dan bahasa badan sebenarnya amat berguna dalam banyak perkara seperti rundingan, perniagaan, temujanji, penyiasatan, perkenalan dan banyak lagi perkara yang melibatkan hubungan antara manusia.

Pengetahuan mendalam terhadap ilmu ini memberikan kita kelebihan serta memungkinkan kita memperolehi kejayaan dalam sesuatu rundingan. Melalui gerak badan dan ekspresi wajah kita boleh menjangkakan perwatakan serta mood orang yang kita temui. Kita juga boleh mengagak penerimaan seseorang terhadap diri atau pandangan kita walaupun mulut mereka berkata tidak. Mungkin kita pernah mengalaminya dengan jurujual barangan, Walaupun kita pada mulanya tidak mahu membeli sesuatu tetapi kerana kepintaran mereka membaca bahasa badan kita ditambah dengan skill memikat pelanggan mereka maka kita akhirnya tunduk dengan pujukan si jurujual.

Buku ini dibahagikan kepada bab dan tajuk tertentu. Kadangkala ia disertakan dengan ilustrasi bagi memudahkan pemahaman. Walaupun disusun mengikut tajuk, kita boleh sahaja membaca daripada mana-mana bab yang kita suka kerana ia tidak menjejaskan pembacaan bab-bab yang lain walaupun tidak menurut urutan. Antara yang dibincangkan di dalam buku ini adalah asas bahasa badan, isyarat senyuman, perbezaan budaya, gaya tangan dan ibu jari, isyarat mata, susunan tempat duduk yang boleh mempengaruhi perbincangan dan banyak lagi perkara.

Membaca buku ini sekali sahaja adalah tidak mencukupi. Kita perlu membacanya beberapa kali lagi sehingga boleh menguasai dengan baik ilmu pembacaan tubuh ini. Jadi selepas ini anda akan tahu mengapa rakan anda yang boleh dikategorikan dalam muka pecah pintu berjaya memikat wanita yang cantik!!


Ahad, 23 September 2018

JAMPI - Murni Aqila



Sewaktu mencapai buku ini yang sedia berada di pejabat minggu lepas, hamba bertanya diri sendiri, kenapa hamba memilih untuk membeli buku ini dahulu. Ini kerana hamba biasanya lebih suka memilih bacaan daripada penulis yang telah jiwa hamba mesra membaca tulisannya ataupun tulisan yang membawakan sesuatu topik yang kuat dan menarik minat hamba. Perlahan-lahan hamba teringat bahawa buku ini hamba beli sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 yang lalu di mana penulisnya sendiri yang mempromosikan novel tersebut.

Ketika hamba tanyakan adakah ini novel beliau yang pertama, beliau menyatakan bahawa ini adalah merupakan karya seram beliau yang pertama. Sebelum itu beliau pernah menghasilkan beberpa novel. Mungkin genre yang beliau pilih sebelum ini bukan dalam radar minat hamba maka hamba tidak mengenali satu pun hasil tulisan beliau. Memandangkan beliau adalah seorang novelis berpengalaman maka hamba 'memberanikan' diri untuk membeli karya ini.

Membaca Jampi, hamba sebenarnya tidak begitu merasakan keseramannya. Bahkan hamba merasakan isu rumah tangga lebih kuat melatari novel ini. Ini mungkin kerana penulis sendiri sebelum ini lebih berpengalaman menulis tentang perkara yang berkaitan jiwa-jiwa ini. Tetapi itu bukan bermakna novel ini teruk. Ia adalah baik, cuma jika peminat cerita seram inginkan sesuatu yang boleh membuatkan bulu roma mereka terus menerus berdiri, maka ini bukanlah novelnya. Tetapi jikalau anda memang jenis penakut, tetapi mahu juga membaca sesuatu yang seram, maka naskhah ini mungkin sesuai buat anda.

Tidak sukar untuk mengikuti noivel ini. Penumpuan kisah lebih bayak tertumpu kepada watak Dahlia, seorang isteri muda yang masih tidak mempunyai anak walaupun telah lebih 6 tahun berumah tangga. Beliau sering berada dalam ketakutan kerana merarasakan diganggu sesuatu. Gangguan ini berlaku setelah mereka suami isteri berhijrah dari Kleantan ke ibu negara. Gangguan tersebut hanya dirasakan oleh beliau tetapi tidak pada suaminya - Zairi. Kemunculan watak Ana, seorang jiran yang nampak misteri, membancuh kepala otak Dahlia sehingga merasakan bahawa beliau sebenarnya disihir seseorang.

Kadang-kadang letih juga mengikuti watah Dahlia. Asyik pengsan dan tertidur akibat gangguan ini. Cara penulis mengolah gangguan yang berlaku kepada Dahlia tidak begitu menimbulkan keseraman. Gangguannya lebih kurang sama dan cara Dahlia cuba melarikan diri daripada masalah ini juga hampir sama.

Keseronokan dan kerancakan hamba membaca hanya tiba pada bab-bab yang terakhir apabila penulis mula membongkar satu persatu misteri yang menyelubungi wanita ini. Frust juga kerana telah lebih 300 mukasurat seolah memaksa diri, maka pada muka-muka terakhir narulah nampak kehebatan penulis merungkaikan setiap persoalan dengan jayanya. Kesemua persoalan telah dapat diberikan jawapan lewat bab-bab terakhir tersebut.

Tika itu barulah anda tahu betapa tertipunya anda dengan watak Dahlia yang kelihatan amat naif sepanjang penceritaan!!


Isnin, 17 September 2018

COKE JALUR GEMILANG



Membelek-belek peti ais sebuah kedai serbaneka sebelum masuk ke panggung wayang, hamba terlihat deretan tin berwarna merah ini yang agak lain daripada kebiasaan. Yaa, kali ini ia dihiasi dengan Jalur Gemilang. Berkemungkinan sempena sambutan Merdeka ataupun Hari Malaysia. Apapun ia baik untuk simpanan para pengumpul.

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...