Wednesday, August 16, 2017

NUJUM PAK BELUKANG - Wan Azlan

Walaupun menjadikan filem Nujum Pak Belalang sebagai asas novel parodi ini, Wan Azlan dilihat tidak terlalu terikat dengan kisah asalnya. Bahkan beliau membawakan sesuatu yang sesuai dengan apa yang berlaku pada hari ini. Kadang-kadang Wan Azlan cuba membawakan plot yang lebih rumit permasalahannya berbanding dengan apa yang dihadapi oleh Pak Belalang sendiri.

Sepertimana filem, Pak Belukang ekkal sebagai seorang yang pemalas, anaknya Belukang seorang yang rajin, tinggal di kampung dengan pertanian berasaskan sungai. Jikalau Pak Belalang masyhur dengan kopi daripada arang hitam, Pak Belukang pula minta dibuatkan Milo dengan Belukang merendamkan bajunya yang penuh diselaputi lumpur bercampur serbuk sabun. Belukang memanggilnya Milo  shake!!

Watak dua orang pencuri yang ditampilkan dalam novel nampaknya lebih bodoh berbanding yang asal. Apabila mereka mencuri sebuah motosikal dan sebuah basikal, mereka tidak menjualnya terus tetapi dileraikan kesemuanya sebelum dibahagi-bahagikan kesemua komponen dan barulah dijual.

Memandangkan kisah dalam novel menggunakan latar masa kini maka tiadalah perseteruan antara dua kerajaan. Sebaliknya perseteruan berlaku antara dua musuh politik iaitu Datuk Kontot dan YB Sumbing. Walaupun Datuk Kontot merupakan ketua bahagian Parti Parang, namun kawasan parlimennya diwakili oleh YB Sumbing yang juga merupakan timbalan beliau. Keadaan ini menjadikan keduanya tidak sebulu hingga mengakibatkan terbahaginya penyokong mereka kepada dua puak. Kumpulan Datuk Kontot digelar Geng Parang Kontot manakala kumpulan YB Sumbing digelar Geng Parang Sumbing. 

Melalui kisah politik ini Wan Azlan mengambil peluang memasukkan beberapa unsur yang sebenarnya pernah berlaku dalam dunia politik tanah air seperti perbalahan antara orang kampung, penyokong satu pihak tidak pergi berziarah kenduri atau kematian pihak yang lain, solat di dua tempat berbeza dan sebagainya. Parti Parang juga diharamkan sehingga membawa kepada penubuhan parti baru, di mana semua ini hamba percaya para pembaca dapat meneka situasi yang sebenarnya. Dan hamba percaya apabila watak seorang peguam bernama Shyful Baukari, para pembaca dengan mudahnya boleh relate watak ini kepada siapa.

Walaupun pada awal novel kelihatan watak Pak Belukang seperti watak utama novel ini, namun apabila tiba di pertengahan khususnya pada cerita perbalahan antara dua seteru politik tadi nampaknya Pak Belukang agak tenggelam sedikit. Walaupun kisah beradu teka teki tetap ada namun Pak Belukang tetap tidak kelihatan berapa menonjol. Malah teka teki Wan Azlan juga tidak berapa menarik berbanding filem asal. Hamba percaya Wan Azlan mungkin pecah kepala untuk memikirkan teka teki baru ini.

Di akhir cerita, kedua musuh politik ini umpama menang jadi arang kalah jadi abu, tiada pihak yang untung. Pak Belukang pula mendapat Seri Ayu sebagai isteri, yang akhirnya diketahui bahawa Seri Ayu bukanlah anak dara YB Sumbing tetapi hanyalah orang gaji dari Lombok!!


Wednesday, August 9, 2017

NASI DAGANG PAK MALAU



Jarang amatlah blog hamba ini menampilkan tempat makan yang menarik pada tempat yang pernah hamba kunjungi. Ini kerana tulisan seperti ini mudah ditemui pada blog-blog yang lain. Adapun tulisan ini bukanlah bertujuan untuk mempromosi kesedapan menu masakan yang terdapat di gerai nasi dagang Pak Malau ini. Sedap atau tidak, terpulanglah pada tekak masing-masing. Hamba pasti banyak blog yang pernah mengulas mengenai nasi dagang beliau.

Adapun hamba lebih tertarik pada tempat gerai ini didirikan. Ia terletak ditepi jalan menghala ke kompleks makam Mahsuri. Menghadap sawah padi yang luas terbentang dengan pemandangan gunung ganang yang menghijau. Ya, melepak di sini lebih best bagi hamba. Tempat yang best akan menjadikan suasana makan lebih menyelerakan.





Nasi dagang Pak Malau ini sama sahaja dengan nasi dagang di tempat yang lain. Hamba dimaklumkan bahawa Pak Malau bukanlah orang pantai timur, tempat asalnya makanan ini. Tapi beliau berasal dari Meru, Klang, sama dengan kawasan hamba tinggal di sana. Maknanya Pak Malau ada darah Jawalah (mohon betulkan andai pernyataan ini salah). Satu kelebihan Pak Malau ialah beliau pandai membuat silap mata. Tapi anda kena minta sendirilah beliau untuk melakukannya kerana beliau bukannya ada membuat persembahan khas untuk semua pelanggannya. Sebelum memulakan silap mata, Pak Malau melihat ke langit dan memaklumkan hamba, dia nak datang dah (hari nak hujan). Dan kebetulan, tamat sahaja persembahan silap mata beliau, hujan pun mulai turun. Hebat ilmu orang lama ni kan....




#nasidagangpakmalau

Monday, August 7, 2017

FADZIL NOOR DIA GURU DIA KAWAN - Subky Abdul Latif


Hamba rasa tidak banyak buku yang ditulis mengenai salah seorang pemimpin Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang hebat ini. Apatah lagi beliau sendiri tidak meninggalkan sebarang buku (harap betulkan jika hamba tersilap). Buku yang ditulis oleh Subky Latif ini merupakan satu catatan pengalaman beliau sepanjang berdamping dengan Ustaz Fadzil Noor yang telahpun meninggal dunia pada 23 Jun 2002 akibat penyakit jantung. Walaupun penulis menyifatkan buku ini bukanlah satu biografi Ustaz Fadzil, bukan sejarahnya, ajaran atau pemikirannya, namun hamba percaya mahu atau tidak, buku seperti ini pastinya memberikan banyak maklumat perihal yang disebutkan tadi.

Walaupun buku ini merupakan edisi kemaskini daripada terbitan awal di tahun 2003, namun hamba agak sedikit kesal kerana ada banyak kesalahan menaip yang boleh dijumpai termasuk kesalahan menaip bagi tahun. Jika kesalahan menaip pada perkataan sekurang-kurangnya pembaca masih boleh mengagak apa perkataan yang sebenarnya. Tetapi apabila melibatkan tahun tentunya menyukarkan pembaca untuk mengetahui akan tarikh kejadian yang sebenar.

Hamba rasa ini kali pertama hamba membaca kisah almarhum sewaktu kanak-kanak, pendidikan awal serta kisah remaja beliau. Walaupun disentuh secara ringkas namun disusun dengan menarik. Agak teruja membaca bahawa isteri almarhum adalah sepupunya sendiri di mana almarhum sendiri pernah mengasuh beliau. Hajat untuk memperisterikan beliau juga agak memeranjatkan keluarga memandangkan tiada sebarang tanda yang menunjukkan mereka berdua ke arah itu. Mungkin ini hasil didikan orang dahulu yang mementingkan adab sopan di dalam perhubungan keluarga. Hamba percaya almarhum Ustaz dapat melihat kelebihan yang ada di dalam diri bakal isteri beliau, tambahan pula mereka tinggal bersama sejak sekian lama. 

Pembaca turut dibawa menelusuri sejarah pembabitan awal almarhum di dalam politik serta beberapa peristiwa besar yang turut melibatkan almarhum seperti peristiwa Memali, penubuhan GERAK yang menyatukan parti politik pembangkang selepas Anwar Ibrahim ditangkap, penubuhan Muassasah Darul Ulum dan sebagainya. Dalam membicarakan peristiwa-peristiwa ini juga penulis memasukkan pemikiran almarhum seperti calon wanita dalam pilihanraya, pendirian tentang Anwar Ibrahim, pendirian beliau tentang kerjasama dengan parti lain, kepimpinan ulama' dan sebagainya. Walau bagaimanapun seringkali juga penulis mengulang ulang beberapa perkara yang pernah ditulisnya sebelum itu beberapa kali seperti Dato' Abu Bakar Omar yang meminta almarhum pulang ke Kedah bagi membantunya memimpin PAS Kedah.

Buku ini hamba baca bukanlah semata-mata kerana tujuan politik, tetapi ia adalah satu rakaman sejarah buat seorang pemimpin yang mempunyai banyak buah fikiran yang hebat tetapi tidak dicatat. Sepertimana harapan penulis, hamba turut berharap akan ada penulis lain yang akan menulis lagi tentang beliau sekaligus membincangkan mengenai pemikirannya.

MISI IMPOSSIBLE - Ain Lutfi, Nurul Asma, Ana Rohani, Hassan Hasaa'ree Ali, Mazaitu Hidayah, Zamri Shahri & Sakinah Said



Semasa sambutan Hari Jururawat peringkat kolej beberapa bulan yang lalu, ada sekumpulan anak muda membuka meja menjual beberapa tajuk buku. Ketua Program Jururawat yang mengiringi lawatan hamba ketika itu memperkenalkan hamba kepada salah seorang daripada mereka yang bernama Zamri. Zamri merupakan seorang jururawat dan bekas pelatih kolej hamba. Mereka giat mempromosikan beberapa buah buku yang ditulis sendiri oleh para jururawat serta pegawai perubatan. Hamba telah diahadiahkan dengan dua buah buku termasuk buku Misi Impossible ini, dimana saudara Zamri turut menyumbangkan tulisan beliau.

Buku ini merupakan catatan pengalaman, isi hati, panduan, tips, nasihat, semangat dan pelbagai lagi hasil tulisan beberapa orang jururawat. Kesemua mereka ini berkhidmat di hospital kerajaan kecuali seorang yang telahpun berhenti dan berkhidmat di hospital di luar negara. Mereka mencatatkan perasaan dan isi hati mereka lewat buku ini. Semuanya disampaikan dalam irama yang santai tanpa istilah perubatan yang terlalu kompleks sehingga menyusahkan pembaca.

Kita maklum bahawa perkhidmatan kesihatan di negara kita ini sering menjadi perhatian pihak awam. Kadang kala apabila berlaku sesuatu yang tidak kena di pandangan mata awam, mereka ini lebih cenderung untuk menulis secara semberono di media sosial.Sedangkan apa yang mereka tulis itu berlawanan daripada perkara yang sebenarnya. Tulisan awam ini pula kebanyakannya lebih kepada untuk memperlekehkan serta mencemuh perkhidmatan yang sedia diterima sama ada oleh mereka ataupun para waris.

Hamba pernah membaca satu tulisan yang memperlekehkan hasil jahitan luka oleh pegawai perubatan kepada pesakit. Sambil menyiarkan gambar jahitan tersebut, pengadu mendakwa mutu jahitan berkenaan amat teruk serta dibuat secara sambil lewa. Mentaliti orang seperti ini apabila disebut jahitan, mereka membayangkan satu jahitan yang kemas seperti orang menjahir langsir di rumah. Komen tersebut telah mendapat maklumbalas yang meluas terutamanya daripada golongan perubatan itu sendiri di mana mereka menyifatkan jahitan berkenaan sudah cukup cantik. Pengadu yang asalnya inginkan perhatian akhirnya telah dihentam dengan teruk oleh para netizen.

Dalam buku ini juga para jururawat menyampaikan isi hati tentang layanan pesakit serta waris terhadap mereka, ada yang baik dan ada yang sebaliknya. Banyak juga peristiwa yang memberikan kesan terhadap mereka sehingga meninggalkan kenangan. Ada yang pada asalnya tidak minat lansung untuk menjadi seorang jururawat tapi akhirnya menyedari akan kelebihan profesyen tersebut.

Buku ini turut menyelitkan beberapa info serta tips kesihatan yang perlu diketahui oleh umum seperti jumlah air yang boleh diambil oleh pesakit buah pinggang yang kronik, apa itu kemurungan, kenapa perlu berpuasa sebelum menjalani pembedahan, penjelasan mengenai antibiotik dan sebagainya. Ia banyak membetulkan salah faham masyarakat atau saya lebih suka gunakan istilah kepercayaan masyarakat yang sebenarnya merupakan satu mitos. Mitos sebeginilah yang sebenarnya banyak memudaratkan pesakit. Contohnya kepercayaan kepada supplemen yang boleh menyembuhkan pelbagai penyakit sedangkan dalam banyak hal, supplemen inilah yang menambahkan lagi tenatnya pesakit.

Buku ini hamba syorkan untuk bacaan bakal jururawat agar bukan sahaja dapat mengambil pengalaman tetapi juga sebagai satu semangat dalam menjalankan tugas. Masyarakat umum juga perlu membaca buku ini agar tahu akan isi hati seorang jururawat agar anda lebih memahami tugas mereka di wad hospital dan klinik supaya tidak timbul rungutan di atas perkara yang anda tidak ketahui. Sewajarnya buku ini diletakkan di tepi katil setiap pesakit untuk bacaan mereka dan juga waris.

Terima kasih para jururawat.

Tuesday, July 4, 2017

Transformers - The Last Ketupat



Transformers - The Last Ketupat mengisahkan perjuangan Optimus Prime dan Bumblebee belajar membuat ketupat. Anak gadis presiden United States of Negeri Sembilan ditimpa gering.Hanya satu sahaja ubat yang dapat menyembuhkan beliau iaitu ketupat. Malangnya dunia ketika itu tidak ada lagi sesiapa yang mahir membuat ketupat. Ini akibat penangan ketupat segera dalam plastik pada kurun ke-21 yang menyebabkan manusia mula malas membuat ketupat secara tradisional. Optimus Prime dan Bumblebee terpaksa mengembara ke serata alam menaiki bas Utam Singh bagi mencari pakar ketupat terakhir dunia - Tok Ulong Kenitra. Akhirnya mereka berjaya menemui Tok Ulong. Malangnya pihak musuh telah berlaku kejam apabila memusnahkan seluruh pokok kelapa yang ada di dunia sehingga tiada sehelai daun kelapapun yang tersisa. Akhirnya Optimus Prime dan Bumblebee terpaksa mengorbankan diri mereka dengan menukar diri mereka (transform) kepada daun kelapa. Berjayakah misi ini....?

Trivia

1. Hanya watak Optimus Prime dan Bumblebee sahaja yang dapat ditonjolkan akibat arahan penjimatan oleh kerajaan Kongostan.

2. Lokasi penggambaran adalah di sekitar Kampung Seri Jemapoh, Kuala Pilah dan Kampung Petaseh, Jelebu.

3. Tiada binatang yang teraniaya sepanjang pembikinan filem ini. Hanya seekor mentadak mentadu yang rentung apabila secara tidak sengaja melompat ke dalam api bakar lemang.

4. Songkok dan baju Melayu Tok Ulong dibeli sendiri kerana tiada pihak yang berminat untuk menaja. Kata mereka filem robot tiada pasaran di Malaysia. Namun mereka sedia untuk menaja sekiranya filem ini penuh dengan tangisan dan air mata dan ditukar tajuknya kepada Abang Transformers I Love You......

ANDING AYANGAN - Ramlee Awang Murshid



Membaca sinopsis novel terbaru RAM ini mungkin agak mengujakan, tetapi membacanya hingga ke penghujung serasa hendak melontarkannya ke dinding. Bukanlah kerana isinya tidak menarik lansung tetapi gara-gara novel ini belum menemui noktahnya di sini. Ya, novel ini bersambung!! Satu perasaan yang sama apabila membaca SUNAN, NANGGROE SANG KEMBARA yang turut tidak berakhir kisahnya dalam novel yang sama. Yang pastinya para pembaca harus menunggu lebih lama memandangkan novel yang bakal keluar selepas ini bukanlah sambungan kepada Anding Ayangan. Dan apabila novel sambungannya keluar nanti pastilah kita sudah lupa kebanyakan kisah dalam novel ini, atau ini mungkin strategi RAM bagi memastikan peminatnya membaca semula novel ini sebelum beralih ke sambungannya....

Novel ini adalah sebuah novel fantasi. Kisah seseorang yang tidak diketahui asal usulnya, ditemui terdampar tanpa mempunyai ingatan yang jelas lebih 20 tahun yang lalu, berupaya melagukan sebuah hikayat yang tanpa disedari menjadikan hikayat tersebut sebuah realiti pada zaman 200 tahun di belakang. Novel pengembaraan ala time tunnel ini lebih kurang sama sahaja dengan kisah Laksamana Sunan yang pernah kita baca sebelum ini. Lelaki berkenaan - Nyian - berkisah mengenai Kerajaan Ayangan yang berusaha menawan Anding sejak sekian lama. Anding merupakan sebuah daerah yang penduduknya patuh kepada ajaran Islam. Ayangan pula sebaliknya walaupun digambarkan beberapa amalan agama mereka mirip seperti islam itu sendiri. Dalam hal ini RAM mungkin menempelak amalan sebuah mazhab yang mengaku Islam, mendakwa menyembah Tuhan yang satu tetapi mempunyai beberapa penyelewengan serta menidakkan amalan beragama yang sebenarnya. Adakan syiah yang RAM maksudkan? WalLahuaalam.

Banyak bahasa daerah yang digunakan di dalam novel ini sehinggakan naik letih hamba menyelak mukasurat belakang yang mengandungi glosarinya. Walau bagaimanapun ada juga perkataan yang tidak diberikan maknanya terutamanya apabila novel semakin beransur ke penghujung. Pada hamba sekali dua bertemu perkataan asing, baik juga untuk mempelajarinya. Namun apabila terlalu banyak, ia mengganggu rentak bacaan hamba.

Di penghujung novel digambarkan ada watak dari masa lalu yang hanyut ke zaman ini dan ada watak zaman ini yang hanyut pula ke zaman Anding Ayangan. Semakin banyak persoalan mula timbul pada bab- bab terakhir ini dan sewaktu pembaca hauskan jawapan itulah RAM menamatkan novelnya. 

Hamba rasa tidak perlu mengulas panjang tentang novel ini seperti yang biasa hamba buat pada novel RAM yang lain. Moleklah anda sendiri yang membacanya serta merasai frustasi itu sendiri!!

Monday, May 29, 2017

BUMI HARAPAN -Ali Jusoh

Novel ini merupakan pemenang Anugerah sastera Darul Iman IV. Ia berkisarkan sejarah lampau negeri Terengganu yang digambarkan telah mempunyai hubungan dagang dengan negara China. Walaupun tarikhnya tidak diberikan tetapi boleh diagak melalui kenyataan imam Abdullah bahawa apabila perpustakaan Baghdad di bakar dan buku-bukunya dibuang ke sungai Tigris, beliau masih remaja lagi. Baghdad ditawan pada tahun 1258. Penulis juga seolah menggambarkan bahawa Imam Abdullah merupakan individu yang membuat suratan kanun pada batu bersurat Terengganu. Kajian menyatakan batu tersebut diperbuat pada tahun 702H iaitu 1303M.

Keluarga Imam Abdullah dan Saudagar Cheng merupakan keturunan Arab-Cina yang beragama Islam, meninggalkan tempat tinggal mereka di tanah besar dan berkelana ke Terengganu bagi mencari 'negeri yang rakyatnya tidak menderhaka kepada raja'.Mereka meninggalkan tempat tinggal apabila berlakunya kekacauan di dalam negeri. Beliau dan Keluarga Saudagar Cheng meninggalkan tanah besar dengan belayar menaiki kapal Nakhoda Getang, manakala anaknya DanDze diminta untuk mengikuti Panglima Jenderis bagi memastikan Patung Hidung Besar tidak diganggu. Imam Abdullah berfikiran panjang apabila meminta anaknya mengikuti Panglima Jenderis. Ini kerana beliau seolah mahu anaknya itu mencari banyak ilmu bersama panglima apatah lagi perjalanan pulang mereka nanti banyak menggunakan jalan darat.

Keluarga Imam Abdullah diterima di Terengganu dengan Sultan membenarkan mereka tinggal di rumah baginda yang berdekatan dengan masjid. Tidak lama selepas itu berlakulah konflik selepas ketibaan sebuah kapal dari China dikepalai Shih Kai. Tewasnya Panglima Samir kepada jagoan mereka, Sinhua menguatkan sangkaan bahawa golongan ini bukannya mahu berdagang sebaliknya mahukan sesuatu. Ketika ini penulis turut menggambarkan akan adanya unsur rasuah serta aktiviti perjudian dan hiburan yang dibawa oleh rombongan ini. Imam Abdullah yang menyedari akan ancaman ini berusaha bersama-sama dengan Saudagar Cheng dan Nakhoda Getang bagi membanteras perkara ini dan meneguhkan kembali ajaran Islam di kalangan penduduk.

Perarakan Maulidur Rasul yang diadakan untuk menyatukan kembali penduduk akhirnya membuka pekung Shih Kai apabila mereka meminta Sultan untuk menunjukkan kepada mereka patung emas berdarah bertangan enam yang mereka sangka diletakkan di dalam masjid. Ini jelas menunjukkan kejahilan mereka kepada Islam memandnagkan tidak ada unsur patung yang diletakkan di dalam masjid, surau atau musolla. Bahkan umat Islam tidak menjadikan patung sebagai alat sembahan.

Peristiwa selepas itu menunjukkan bagaimana ia diselesaikan sehingga membawa kepada pertarungan yang membuatkan Shih Kai dimalukan lantas dititah untuk meninggalkan bumi Terengganu.

Novel ini merupakan sebuah novel yang baik tetapi hamba percaya tidak ramai yang tahu mengenainya. Tambahan pula selera segelintir pembaca hari ini yang memilih bahan bacaan yang mengkhayalkan minda berbanding dengan yang membuat kita berfikir serta menambahkan pengetahuan.

Friday, May 12, 2017

SEMBANG-SEMBANG - Nud's

Hari ini hamba tidak tahu sama ada anak muda hari ini mengenali nama Nud's ataupun tidak. Lebih-lebih lagi apabila arena komik tempatan dilanda suasana muram sejak sekian lama. Tetapi ini adalah satu nama besar lebih 20 tahun yang lalu. 

Hamba temui pelukis ini sewaktu beliau membuka gerai melukis karikatur di kolej hamba pada tahun lalu. Buku koleksi ini pula hamba beli daripada anak kartunis Jaafar Taib yang turut mengadakan pameran di tempat yang sama. Jadi mudah untuk hamba dapatkan tandatangan beliau di atas buku ini. Beliau ketika itu turut ditemani kartunis Ramzahurin dan seorang lagi yang hamba lupa namanya. Kini mencari rezeki dengan menjadi pelukis bebas sepenuh masa dengan menjadikan lukisan karikatur sebagai perolehan utama.

Sembang-sembang adalah cara Nud's menterjemahkan isu-isu semasa yang berlaku di sekeling masyarakat pada masa itu. Ia disampaikan secara sinis dengan cara yang santai dan humor. Lukisannya kemas dan tidak cacamerba. Tetapi ada juga segemen kartun dalam kompilasi ini yang seolah-olah di ulang tayang atau kitar semula. Contohnya pada satu keadaan ada adegan guru menyuruh murid melukis keadaan atau gambaran di jalan raya, maka murid berkenaan melukis tentang suasana kemalangan. Dalam satu lagi keadaan guru menyuruh murid melukis keadaan di dalam hutan dan murid melukis keadaan hutan yang ditebang pembalak haram. Situasinya sama dengan gambaran yang berbeza. Sama seperti yang berlaku pada kompilasi Jungle Jokes yang pernah hamba tuliskan tahun dahulu.

Kompilasi ini mungkin tidak lagi ditemui di mana-mana kedai buku dan mungkin satu yang amat berharga kepada para pengumpul. Sesiapa yang ada boleh pakat simpan sama ada buat tatapan sendiri atau jual semula bila harganya dah sama macam satu gram emas!!


MENCARI JALAN PULANG - Kassim Ahmad

Buku ini telah terbit pada tahun 2008, iaitu lebih kurang 9 tahun yang lalu. Ketika ia terbit, dengan membaca tajuk kulitnya hamba mengagak bahawa penulis benar-benar kembali kepada Islam setelah dilanda pelbagai kontroversi antara yang terbesarnya seperti penulisan buku Hadis - Satu Penilaian Semula, isu kod 19 dan terjemahan Al-Quran yang diberikan nama - 'Bacaan'. Namun ketika ia diterbitkan hamba belum berpeluang lagi membaca buku ini.

Tetapi apabila melihat berita di akhbar dan televisyen tentang penangkapan beliau atas tuduhan menghina agama, timbul pula persoalan apa lagi yang tak kena dengan penulis ini. Masakan orang yang sudah kembali kepada Islam boleh pula menghina agamanya. Lantas buku ini dapat hamba temui, dibaca dan cuba mencari jawapannya.

Penulis adalah seorang anak Melayu yang bijak. Hobinya membaca telah membuatkan beliau membaca begitu banyak bahan bacaan, terutamanya apabila beliau menjadi seorang pustakawan di sekolahnya yang dipenuhi dengan buku-buku berbahasa Inggeris. Dari sinilah hamba rasa keintelektualan beliau mula dibina.

Sekiranya anda menganggap bahawa 'kembalinya beliau kepada Islam' itu adalah setelah beliau mendapat pengajaran serta kebenaran setelah apa jua kontroversi yang melanda beliau itu, mungkin anda tersilap. Melalui buku ini dapat kita simpulkan bahawa penulisan buku hadis, kod 19, Bacaan, Jamaah Quran Malaysia adalah sebahagian daripada apa yang penulis anggap sebagai jalannya pulang kepada agama.

Pada mukasurat 65 penulis menyebut, ".........Nabi Muhammad tidak membawa Hadis. Beliau membawa Quran. Ayat "Taatlah kamu kepada Allah, dan taatlah kamu kepada rasul" (Quran, 4:59) merujuk kepada Quran, bukan Hadis". Membaca ayat ini sahaja dapat hamba rumuskan bahawa beliau lansung tidak pernah duduk bersila mengadap mana-mana guru hadith. Ilmu beliau hanya daripada beberapa bahan bacaan yang etrhad sahaja. Hadith dan Quran itu sering kerana hadith ini adalah penjelasan, pencerahan kepada Al-Quran. Firman Allah dalam surah An-Najm; 
A004A003

Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.

Firman Allah ini adalah penguat bahawa apa yang disampaikan oleh Nabi itu adalah berpandukan kepada petunjuk Ilahi. apa yang baginda ucapkan itu adalah mustahil menyimpang daripada ajaran yang suci. Bagaimanakah kita dapat beramal dengan Al-Quran tanpa petunjuk dari hadith itu sendiri. Paling mudah adalah tentang ibadah solat. Dalam Al-Quran memang ada suruhan mengerjakan solat, tetapi cara mengerjakannya tidak ada disebutkan. Maka disinilah peranan hadith itu timbul. Sabda Nabi;

(عَنْ مَالِكٌ (قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ): وَصَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي   (رواه البخاري)

Dari Malik (telah bersabda Rasulullah saw): “Dan solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat.” [H.R. Bukhari]

Sekiranya kita menolak hadith ini (hadith itu bukan sahaja perkataan, bahkan merangkumi juga perbuatan serta taqrir (perakuan) baginda), bagaimanakah atau apakah panduan yang akan kita gunakan dalam mendirikan solat. Mungkin kerana menolak hadithlah maka timbul sesetengah ajaran sesat yang membolehkan solat secara batin!

Pada mukasurat 134 pula dinukilkan; "....Sebab itu saya katakan kumpulan ini melambangkan kedatangan Nabi Isa kali kedua, seperti yang dipercayai umat kristian dan umat Islam. Tetapi saya kira ini hanya mitos, kerana setiap penindasan akan ada lawannya. Mitos kedatangan Nabi Isa kali kedua ini hanya satu metafora untuk kebangkitan manusia sejagat melawan penindasan sejagat untuk mencapai kebebasan sejagat." Penulis menganggap kisah dajjal, Imam Mahdi, ya'juj dan maajuj, turunnya Nabi Isa itu tidak lebih daripada sekadar mitos sahaja. Perkara-perkara ini banyak dinyatakan di dalam hadith. Jadi adakah penulis memang menolak hadith lantas mengambil pandangan bahawa kisah-kisah berkenaan adalah mitos. Jadi adakah Nabi berdusta ketika mengungkapkan hadith berkenaan semua ini? Hamba tidak berani meneka apa yang ada di hati penulis kerana silap meneka berdosa pula hamba.

Jalan itu masih panjang, destinasinya masih belum ditemui, moga tidak sesat mencari!!


Tuesday, April 4, 2017

GAUN BERDARAH ; ANTOLOGI JIWA KACAU

Seorang pembeli buku biasanya akan membaca sinopsis buku berkenaan sebelum melakukan pembelian. Sinopsis buku adalah umpama satu iklan yang memberikan bayangan akan isi kandungan buku tersebut. Dari situ pembaca akan mebuat penilaian sama ada isi kandungannya sesuai dengan selera mereka ataupun tidak. Sinopsis amat penting terutamanya apabila buku berkenaan hadir dalam keadaan yang berbalut yang tidak memungkinkan pembaca untuk menyelak-nyelak mukasurat.

Membaca sinopsis buku ini mungkin akan membuatkan pembaca yang meminati genre seram dan thriller akan tertarik. Apatah lagi apabila ia menampilkan sebanyak 27 buah cerpen daripada penulis yang pelbagai. Tambah menerujakan apabila penerbit mencatatkan dua nama besar iaitu Ramlee Awang Murshid serta Maria Kajiwa sebagai antara yang mengisi antologi ini.

Namun apa yang berlaku sebenarnya adalah tulisan Ramlee itu tidak lebih hanya beberapa buah bab yang diambil daripada novel beliau yang bertajuk Raudhah. Ia sama sekali bukan sebuah cerpen. Membacanya akan membuatkan pembaca bagai ditinggalkan terkapai-kapai tanpa mengetahui penyudahnya. Menggunakan nama Ramlee sebagai salah seorang penyumbang 'cerpen' untuk melariskan buku ini adalah umpama perbuatan yang keji. Peminat tegar Ramlee tentunya kecewa kerana mereka semestinya membayangkan sebuah tulisan baru yang segar dan bukannya ulang tayang sebuah novel yang telahpun diterbitkan.

Mujurlah tulisan Maria kekal dengan standardnya yang tinggi. Melalui No! Papa No!, Maria tampil dengan kisah penganiayaan kanak-kanak, berbeza dengan unsur thriller atau seram yang sering beliau bawakan dalam karya-karyanya. Dan hamba merasakan inilah satu-satunya tulisan terbaik di dalam novel ini. 

Beberapa karya lain boleh hamba masukkan dalam kategori yang sederhana dan kebanyakannya agak membosankan apabila membawakan tema yang hampir serupa. walaupun ada di antara penulis antologi ini pernah melahirkan beberapa buku, namun masih melakukan beberapa kesalahan kecil yang sepatutnya boleh dielakkan. Contohnya cuba perhatikan ayat ini; 'Angin kuat. Guruh di langit sambar menyambar...' Guruh adalah bunyi kuat di udara yang biasanya didahului oleh kilat (Kamus Dewan online). Yang sambar menyambar adalah kilat dan bukannya guruh. Kesalahan kecil ini sekiranya dibaca oleh orang yang tidak mempunyai pengetahuan, akan digunakan pula oleh orang lain di dalam penulisan mereka. seterusnya kesalahan ini akan berkembang biak pula kemudian. Timbul juga persoalan akan peranan editor di sini. Mungkin editornya seperti hamba yang membaca sambil berbaring, sekejap menelentang sekejap mengiring!!


Monday, April 3, 2017

RUNCING - Zharulnizam Z.A

Novel runcing menggunakan latar masa sekitar 1920an dan 1960an. Ia membawakan persoalan yang juga biasa berlaku ketika itu - pembalasan dendam dengan menggunakan ilmu hitam. Walaupun kisah ilmu hitam ini penceritaannya berlaku di era 70an, namun penulis membawa kita agak lama juga ke era 1920an untuk memberikan gambaran tentang beberapa watak penting seperti Shamsuddin dan Ariffin sehinggakan hamba ketika itu membayangkan mungkin Shamsuddin yang diangkat menjadi hero.

Namun itu tidak berlaku. Kisah era 20an berakhir selepas peristiwa rapat umum menzahirkan penentangan terhadap Belanda. Ketika itu Shamsuddin digambarkan telahpun menjadi anak murid terbaik Kiai Mahadi. Memasuki era 20an, penceritaan beralih ke kampung Longkai (Longkai ni bukan budak muda hari ini istilahkan untuk penarik kereta ka....). Ketika itu Ariffin akan Haji Ipin telahpun berusia dan mempimpin madrasahnya di kampung tersebut. memasuki era ini kisah Shamsuddin agak kurang diceritakan. Penumpuan lebih kepada Ariffin membuatkan beliau menjadi hero novel ini seketika. Namun kematian beliau menyebabkan watak 'hero' seolah beralh pula kepada Hambali, anak murid terbaik Haji Shamsuddin. Mungkin ketiga-tiga watak ini adalah hero bagi Runcing ataupun novel ini tidak begitu mengambil berat tentang siapakah heronya. Yang penting mesej itu dapat disampaikan.

Ketika itu ilmu hitam digambarkan didapati melalui batin orang asli. Digunakan untuk mencari sesuatu bagi kepentingan diri sendiri seperti wanita dan nama. Ia juga digunakan untuk melunaskan dendam terhadap musuh. Pengamalan agama juga tidak begitu meluas di dalam masyarakat. Namun tetap ada insan-insan yang berjuang untuk menegakkan agama serta melakukan kerja-kerja dakwah dalam masyarakat.

Ketua kampung digambarkan sebagai insan yang paling berkuasa. Atas dasar hubungannya dengan orang putih maka tanah-tanah dikampung seolah perlu mendapat persetujuan beliau sebelum diberikan pemilikan. Sikapnya juga mementingkan wang ringgit serta kedudukan menyebabkan anak daranya lambat mendapat jodoh kerana merasakan pemuda yang ada tidak mempunyai kedudukan yang serata. Lantas ilmu hitam digunakan untuk menundukkan keegoan beliau.

Dalam menentang ilmu hitam, watak-watak yang ada digambarkan oleh penulis menentang dengan penuh keyakinan walaupun sekadar membaca beberapa ayat sahaja seperti surat Al-Fatihah dan Ayat Kursi. Hamba lebih sukakan kesederhanaan begini berbanding beberapa penulis lain apabila menulis genre yang sama mencatatkan segala-galanya ayat ruqyah surah itu surah ini, gaya macam bersilat itu dan ini, seolah kalau orang ramai tidak tahu ayat-ayat yang panjang ini maka tak dapatlah mereka menentang kejahatan. 

Kesederhanaan itu juga penulis gambarkan pada watak-watak orang kuat agama iaitu Shamsuddin, Ariffin dan Hambali. Tidak seperti beberapa penulis yang apabila melukis watak sebegini, watak itu kelihatan amat sempurna seperti malaikat lagaknya. 

Thursday, March 9, 2017

MADU 3 SUKU - Wan Azlan

Novel ini digambarkan sebagai sebuah novel parodi, lebih kurang dengan filem-filem parodi yang mengubahsuai semula daripada filem asal dalam bentuk yang lebih lucu dan sinis. Melihat daripada judulnya hamba yakin para pembaca sudah dapat mengagak filem manakah yang dijadikan asas 'peniruan', tidak lain dan tidak bukan iaitu filem Madu 3 oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

Menggunakan premis yang sama, penulis menggunakan latar masa zaman hari ini dengan latar tempatnya di Terengganu. Nama watak utamanya masih Jamil cuma ditambah Khan menjadi Jamilkhan bin Bedroom. Jamilkhan bukannya seorang pegawai di syarikat milik bapa mertuanya tetapi adalah seorang pegawai agama, ketua unit penguatkuasaan undang-undang keluarga di sebuah pejabat agama daerah. Penulis telah berjaya mengembangkan watak serta penceritaan dalam novel ini tetapi tidak lari dari asas madu 3 iaitu seorang suami yang mengamalkan poligami dalam keadaan kesemua isterinya yang tidak sefahaman. Dan menariknya dalam novel ini Jamilkhan berpeluang untuk bernikah sehingga empat kali.

Beberapa peristiwa dalam Madu 3 juga turut diadaptasi di dalam novel ini seperti pergaduhan di kedai emas, pertemuan kesemua isteri di rumah madu ketiga, episod kejar mengejar termasuk watak seorang yang melompat masuk ke dalam motosikal roda tiga yang dibawa oleh jamilkhan sama seperti apek yang melompat masuk ke dalam sport car Jamil.

Mungkin cara pergaduhan antara madu yang ditampilkan dalam novel ini lebih ganas lagi. Ada adegan Hasnina, (isteri kedua) menyediakan papan berpaku bertujuan untuk membocorkan tayar kereta Liafara (isteri pertama) apabila beliau melaluinya. Namun apa yang terjadi beliau sendiri yang terpijak paku-paku tersebut apabila menyedari kereta Jamilkhan sendiri yang akan melaluinya. Liafara pula cuma menembak Hasnina dengan berdiri di atas sebuah lori hantu. Tembakannya tersasar bahkan impak tembakan itu menyebabkan beliau terlajak ke belakang sehingga terjatuh dan punggungnya ditusuki besi cermin sisi lori tersebut. Begitu juga adegan di spa apabila Liafara dengan sengaja menaikkan suhu hair steamer yang sedang digunakan Hasnina menyebabkan selepas itu Hasninan pula membalas dendam dengan mencampurkan masker Liafara dengan pencuci tandas!!

Watak isteri ketiga, Rudjini walaupun dilihat sebagai pendamai tidaklah kelihatan terlalu bijaksana sepertimana watak yang dibawakan oleh Sarimah bahkan hamba kira tidak terlalu menonjol berbanding dua watak isteri yang lain. Namun beliaulah yang memberikan cadangan agar Jamilkhan dikahwinkan dengan seorang wanita dengan tujuan membalas dendam. Jamilkhan hanya mengetahui rupa isteri keempatnya hanya pada hari perkahwinan apabila rupanya beliau berkahwin dengan seorang wanita tua berusia 62 tahun. Wanita itu digambarkan sebagai seorang yang ganas, bekas komando, mental yang tidak stabil, pernah berkahwin sebanyak lima kali di mana kesemua suaminya menjadi mangsa keganasan beliau. Inilah yang dimahukan ketiga-tiga madu tadi apabila mensyaratkan Jamilkhan tinggal di rumah isteri keempatnya, Kamiliar selama enam hari seminggu dan hanya pulang ke ruma isteri yang lain secara bergilir pada hari yang ketujuh. Kerana ganasnya Kamiliar, Jamilkhan putus telinga, patah tangan dan cedera parah sehingga dimasukkan ke hospital. Secara peribadi hamba memandang ini sebagai ciri isteri derhaka walaupun novel ini disampaikan dalam bentuk humor. Oh ya jikalau dalam filem P.Ramlee ada watak pembantu Jamil bernama Rafi dalam novel ini juga watak yang hampir sama bernama Razi yang banyak menjalankan perancangan bossnya.

Novel ini merupakan novel humor yang menarik untuk dibaca. Sudah tidak banyak penulis yang memilih novel jenaka sebagai genre pilihan dan seingat hamba sendiri, memang sudah lama hamba tidak bertemu novel sebegini. Hamba cadangkan agar penulis dapat menulis novel jenakanya sendiri dan bukannya bersandarkan kisah sedia ada atau parodi (Penulis mempunyai sebuah lagi novel parodi berjudul Ahmad Al-Kebab).

Moga sukses!!


Tuesday, March 7, 2017

BIOGRAFI A. SAMAD SAID, MEMBERI HATI NURANI - Rosnah Baharudin

Hamba membeli buku ini secara dalam talian, justeru tiada peluang untuk membelek sebagaimana kebiasaan sekiranya membeli di kedai buku. Awalnya saya menyangkakan Seniman Negara (SN) ini sendiri yang menulis kisah hidupnya. Rupanya ia disusun oleh orang lain. Walaupun dinamakan sebagai biografi, hamba melihat buku ini lebih kepada kajian tentang diri SN itu sendiri.

Dibahagikan kepada empat bab besar iaitu Riwayat Hidup, Pengalaman, Sikap dan Pemikiran, Perbincangan Karya dan Petikan Karya Popular, kisah riwayat hidup SN ini hanya 37 mukasurat sahaja. Ia tidak lansung memberikan kepuasan apatah lagi apabila ia bukan ditulis oleh SN sendiri maka kebanyakan kisahnya adalah secara mendatar, kurang elaborasi serta tidak memenuhi pengertian riwayat hidup itu sendiri. Bahkan dalam bab ini juga penulis umpama membaca pemikiran SN yang sepatutnya diberikan tumpuan di dalam bab 2.

Kerana itu apabila membaca keseluruhan buku ini kita akan membaca banyak perkara yang berulang terutamanya pengalaman hidup SN di Singapura sewaktu pendudukan Jepun yang banyak membina karyanya. Dan ia disentuh dalam kesemua bab kecuali bab akhir memandangkan ia adalah petikan bulat-bulat karya SN.

Bab akhir yang memaparkan petikan karya popular merupakan bab yang menjadikan buku ini tebal. Kerana ia hanya mengambil tulisan sebenar SN mengikut petikan yang dipilih oleh penyusun buku. Walaupun petikan ini bertujuan sebagai contoh berdasarkan apa yang telah dibincangkan sebelumnya, namun sebagai pembaca tentunya merasakan perasaan yang tidak puas hati atau mungkin kecewa kerana membaca karya yang tergantung atau tidak habis. Namun kita membacanya juga kerana buku ini sudah dibeli dan apa yang dibeli wajar dibaca sehingga habis :-D .

Cuma mungkin menjadi satu yang berharga apabila beberapa gambar SN yang dikira ekslusif menjadi sisipan terakhir buku ini. Cuma ia terlalu kurang sedangkan kita tahu bahawa picture speaks louder than words......


Tuesday, February 21, 2017

PROJEK SERAM ISTANA - Maria Kajiwa, Syasya Bellyna, Helmy Effendy, Naim Tamdjis



Menampilkan antologi empat orang penulis dengan 4 kisah yang tersendiri. Ada yang menarik dan ada yang boleh tahan.

GUNDIK UYANG - Maria Kajiwa               Seperti biasa tulisan Maria belum pernah lagi mengecewakan hamba setakat ini. Jalan ceritanya mengingatkan hamba kepada sebuah novel beliau iaitu Puja memandangkan misteri yang berlaku dalam Gundik Uyang mempunyai kaitan dengan sejarah yang terjadi di masa yang lampau sama juga seperti Puja

Gundik Uyang merupakan makhluk yang telah berjaya menggoda Tengku Mahkota sehingga menyebabkan baginda lalai dalam menjalankan tanggungjawabnya. Dengan bantuan Pawang Taib, Gundik Uyang berjaya ditewaskan dan telah dikunci dengan mantera yang berbunyi ' apabila keluar asap dari bumi,matahari pucat pasi, terlerailah janji, terbukalah kunci'. Ia seolah memberitahu bahawa penguncian itu tidak selamanya dan akan terlerai apabila berlaku fenomena seperti yang terlafaz dalam mantera berkenaan.

Di sini Maria menggunakan peristiwa jerebu yang pernah melanda negara kita. Walaupun kejadian jerebu mempunyai penjelasa dari sudut sains, namun dalam kisah ini kejadian jerebu berkait rapat dengan kemunculan Gundik Uyang. Justeru, keturunan Paang Taib memegang amanah untuk menjaga keturunan Sultan Sulaiman serta menghapuskan terus Gundik Uyang apabila ia muncul semula.

Wujud - Syasya Bellyna               Mengikuti kisah ini pada peringkat awal, pembacaan hamba lancar. Namun selepas sepertiga hamba mulai tidak dapat mengikuti kisahnya dengan baik. Sama juga dengan gaya Maria Kajiwa, kisah ini turut mempunyai kaitan dengan masa lampau. Bahkan wataknya boleh kembali ke masa lalu dan mengubah sejarah. Cuma kembalinya ke masa lalu tidaklah menggunakan sebarang peralatan saintifik, cuma menyentuh artifak lama yang telahpun disihir.

Purbakala  - Helmi Effendy               Mengikuti Purbakala seolah-olah membaca sambungan novel Dari Alam Lain, bahkan latar masa Purbakala juga adalah selepas Dari Alam Lain, memandangkan watak Jamalee menceritakan bahawa beliau telah kematian tiga orang anak dalam satu kejadian melibatkan makhluk alam lain. Kisah kematian anak Jamalee ada terkandung dalam novel Dari Alam Lain dalam kisah mereka cuba menyelamatkan anak perdana menteri yang diculik Mikhael. Bahkan dalam Purbakala juga turut disebut nama atau muncul watak yang pernah muncul dalam novel  berkenaan seperti Sang Persata Nala, Sang Penguasa dan Bad. Justeru hamba tidak merasakan sesuatu yang baru rentaknya.

Sekiranya dalam novel tadi Helmi memasukkan watak-watak dari zaman kegemilangan Melaka, dalam Purbakala beliau cuba memberikan gambaran kisah Raja Bersiung. Dalam hal ini Raja Bersiung telah 'ditidurkan' oleh Sang Persata nala dalam usahanya untuk mencari darah 1000 orang perawan beratus tahun yang lalu. Beliau berbuat demikian kerana mahu menghidupkan semula Cempakasari. Akhirnya kisah beliau bersama istananya hilang begitu sahaja sehinggalah terjadinya penemuan semula pada zaman ini.

Seperti novel yang disebutkan tadi, Purbakala juga melibatkan kematian beberapa wataknya. Hamba lihat Helmi tidak kisah mematikan watak-wataknya mengikut peristiwa yang menimpa setiap watak. Ini berbeza dengan kebanyakan penulis yang jarang mematikan banyak watak dalam sesuatu tragedi.

Purbakala, walaupun banyak amat mengarutnya namun untuk sekadar bacaan santai maka bolehlah dilayan juga.

KORBAN GANGREN - Naim Tamdjis               Agak lucu apabila penulis menamakan watak seekor raja jin dengan nama Gangren walaupun beliau sendiri mengetahui maksud nama berkenaan. Tetapi watak Gangren ini hanya sekadar nama tanpa ada lansung pengelibatannya dalam keseluruhan penceritaan.

Cerita ini sekiranya diteliti, pendek sahaja. Ia berkenaan gangguan yang dihadapi oleh seorang kontraktor yang sedang mengusahakan pemuliharaan Istana Lama Seri Menanti. Tetapi yang menjadikan ia panjang adalah 'cerita di dalam cerita'. Maksud hamba, ketika plot sedang berjalan maka ada kisah sampingan  seperti pengalaman Pak Jamali ketika membaik pulih Istana Maziah di Terengganu serta pengalaman mistik Pak Mat, pengawai di Istana Lama Seri Menanti. Kisah-kisah itu tidak ada kena mengena dengan raja Gangren, cuma menjadi penyedap sahaja dan sekaligus memanjangkan tulisan.

Penulis turut mengambil kesempatan mengkritik segelintir manusia yang menggunakan agama untuk mendapatkan keuntungan. Ini dapat dilihat daripada watak Ustaz VVIP Eshak Kalamongo yang menganggap dirinya ekslusif kerana banyak mengubat golongan ternama. Beliau bahkan mengenakan bayaran yang tinggi untuk kerja-kerjanya.

Gangren di katakan jin yang pernah memerintah kawasan Bukit Putus. Beliau yang telah ditamatkan riwayatnya lebih 100 tahun dahulu cuba untuk dihidupkan kembali oleh pengikutnya dengan mempersembahkan korban setiap bulan. Di sinilah watak utamanya Azhael dan Ismet terperangkap dan bakal menjadi calon untuk dikorbankan. Unsur suspen yang cuba diketengahkan tidak begitu mengejutkan hamba. Mungkin kerana kebanyakan kisah seram yang hamba baca menampilkan jalan cerita yang tidak begitu jauh berbeza.

Wednesday, February 8, 2017

AMAZING FANTASTIC INCREDIBLE, A MARVELOUS MEMOIR - Stan Lee



Nama Stan Lee tidak perlu diperkenalkan lagi terutamanya buat peminat komik adiwira dari barat. Beliau merupakan seorang penulis komik yang mencipta banyak watak adiwira yang terkenal hingga ke hari ini. Antaranya ialah Spiderman, Hulk, Thor, Fantastic 4, Iron Man dan banyak lagi. Buku ini merupakan sebuah memoir beliau yang dipersembahkan dalam bentuk komik. Ia datang dalam bentuk kulit keras bersampul dengan kertas yang berkualiti. 

Dipersembahkan dalam bentuk komik, ia memaparkan Stan Lee bercerita kepada khalayak tentang diri beliau sedari kecil hinggalah ke hari ini.Seperti kebanyak tokoh yang terkenal, beliau juga bukanlah datang daripada keluarga yang berada. namun sejak kecil beliau begitu minat dengan buku dan gemar membaca. Hobi inilah yang banyak membina imaginasi beliau dalam menghasilkan cerita-cerita komik yang menarik pada suatu hari nanti. 

Pengalaman beliau sejak awal 'terjebak' dalam dunia komik amat menarik sekali. Beliau sentiasa cuba untuk menghasilkan kisah superhero yang lain daripada syarikat komik pesaing. Contohnya watak Spiderman merupakan seorang anak muda (teenage), mempunyai banyak masalah peribadi, berpewatakan komedi, anak yatim yang tinggal dengan pakcik dan makciknya. Ia bertentangan dengan superhero ketika itu yang kesemuanya merupakan orang dewasa. Remaja tidak boleh menjadi hero. Mereka cuma boleh menjadi sidekick kepada superhero sahaja. Walaupun idea ini pada mulanya tidak begitu menarik minat syarikat, but the rest is history!!

Beliau turut menceritakan kisah perjalanan syarikat Marvel itu sendiri yang beberapa kali bertukar pengurusan, zaman kegemilangan sehinggalah ke zaman kemerosotan. Bagaimana Marvel yang satu ketika dulu menumpukan kepada hal ehwal komik akhirnya menceburi bidang perfileman kerana peredaran zaman. yang jelas filem superhero di bawah premis Marvel sememangnya mendapat sambutan.

Memandangkan memoir ini dipersembahkan dalam bentuk komik, rasanya banyak lagi perkara mengenai Stan yang tidak dapat dicatatkan di dalamnya. Walau bagaimanapun kisah yang diiringi oleh lukisan ini dapat menguatkan penyampaian kisah Stan. Buku ini harus dibaca oleh pencinta komik terutamanya dan meeka harus tahu bukanlah sesuatu yang mudah untuk membina nama dan kerjaya. 


BUASIR OTAK THE KOMIK - AWAKENING


Buasir Otak : The Komik - Awakening merupakan sebuah kompilasi komik-komik pendek hasil lukisan lebih kurang 56 orang kartunis. Ini bukanlah kompilasi yang pertama kerana telah terbit 3 kompilasi di bawah premis yang sama sebelum ini. Komik ini dihadiahkan kepada saya oleh Blee, salah seorang kartunis yang karyanya ada terkandung di dalam kompilasi ini yang juga merupakan salah seorang pelatih Pos Basik di kolej hamba.

Hamba berpandangan bahawa kesemua yang terlibat adalah kartunis amatur. Nama-nama atau karya mereka belum pernah hamba temui dalam mana-mana penerbitan sebelum ini. Besar kemungkinan juga mereka aktif secara underground. Hampir kesemua lukisan mengutarakan gaya Jepun atau manga bahkan gaya penceritaan juga hampir mengikut gaya yang sama. Kerana itu ada tajuk persembahan yang dirasakan kisahnya seolah tergantung dan ada juga yang kurang difahami. Apabila ditinjau, kebanyakan kisah datangnya daripada idea Prince Of Noob yang merupakan editor komik ini serta salah seorang penyumbang. Akibatnya hamba melihat kebanyakan kisah yang ideanya datang daripada beliau hampir mempunyai pengakhiran yang sama cuma digambarkan dalam perspektif yang berbeza.

Setiap pelukis mungkin dihadkan kepanjangan komik mereka sebanyak 5 mukasurat sahaja menyebabkan ada sesetengah persembahan itu dilihat seperti ada sesuatu yang hilang kerana terpaksa membuang beberapa elemen akibat pengehadan tersebut. Ada pelukis yang hamba lihat mempunyai gaya persembahan yang mantap dan ada yang biasa-biasa sahaja. Tetapi hamba percaya bahawa kompilasi ini adalah sebagai batu loncatan atau satu peluang yang diberikan mereka untuk lebih maju pada masa yang akan datang.


Arena komik tempatan agak suram sekarang ini, sokongan dari anda para pembacalah yang boleh menyemarakkannya semula!!

SAYANG USTAZAH SAYANG - Salmi Manja



Membaca sesebuah karya lama seperti karya era 50an dan 60an memberi peluang kepada pembaca untuk mengetahui tentang keadaan masyarakat pada zaman berkenaan, persekitaran serta pemikiran mereka. Tambahan pula gaya penulisan penulis pada era berkenaan amatlah berbeza dengan penulis hari ini. Paling jelas adalah tentang gaya Bahasa yang digunakan di mana pada era yang lalu penggunaan Bahasa Melayu mengikut tatabahasa yang betul masih dititikberatkan. Berbanding hari ini perkara tersebut dilihat agak longgar terutamanya kepada penulisan yang menggelarkan karya mereka sebagai karya alternative apabila dilihat memasukkan banyak slanga serta Bahasa carutan di dalam penulisan.

Buku ini berkisar kepada kehidupan sekumpulan pendidik di sebuah madrasah agama. Walaupun tajuk Sayang Ustazah sayang seolah menonjolkan Ustazah Zamilah sebagai watak utama, tetapi hamba melihat pembahagian kisah antara watak-watak hampir seimbang antara kesemuanya terutamanya watak-watak yang ada di madrasah. Watak di madrasah pun tidaklah ramai sekadar 4 orang ustazah (termasuk Zamilah), 2 orang ustaz serta seorang pekerja am. Tidaklah diketahui berapa ramai jumlah anak murid yang ada. Penampilan watak yang tidak banyak ini sebenarnya memudahkan penulis itu sendiri serta lebih memberikan kefahaman kepada pembaca. Tidak seperti sebilangan penulis baru hari ini yang kadangkala menampilkan begitu banyak watak sehingga mengelirukan pembaca dan menjadikan penceritaan tidak seimbang.

Madrasah berkenaan sedang merancang untuk mencari dana bagi membesarkan bangunan melalui penganjuran Malam Derma yang mengandungi beberapa persembahan. Tentunya sebilangan tertanya-tanya kenapa di sekolah agama boleh ada persembahan tarian, bahkan para ustazahnya juga ada yang tidak sempurna penutupan auratnya sehingga menampakkan rambut. Namun itulah gambaran masyarakat pada era berkenaan.
Setiap watak digambarkan mempunyai masalah yang tersendiri:- Zamilah, seorang ustazah muda yang baru nak mengenal cinta namun dipandang hebat oleh guru besar kerana idea dan pemikirannya; Ustazah Naemah, guru besar madrasah yang bercita-cita tinggi mahu menyambung perjuangan pengasas madrasah, mempunyai seorang suami yang lumpuh; Ustazah Zahirah, mempunyai masalah rumah tangga, sering bergaduh dengan suaminya seorang penjual ubat sehingga pernah dimasukkan ke hospital; Ustazah Naemah, walaupun bertugas di madrasah, mempunyai pekerjaan luar dengan menjual kain dan barangan keperluan – fenomena ini masih berterusan ke hari ini dalam kalangan pekerja di pejabat sehingga kadangkala kelihatan mereka lebih focus kepada pekerjaan sampingan berbanding yang hakiki. Hal sedemikian juga yang cuba ditampilkan melalui watak Naemah ini. Walaupun bergelar ustazah, anak dara beliau kelihatan bebas dengan suka keluar dan bertukar pasangan. Diburukkan lagi dengan suami beliau juga yang berperangai sedemikian; Ustaz Lazim mempunyai isteri yang amat cemburu hasil adu domba dua orang jirannya; dan Ustaz Jamil yang masih bujang walaupun telah berusia 35 tahun, pernah kecewa dengan percintaan lama, selalu berbincang dan berbahas dengan Ustaz Lazim dalam pelbagai perkara, namun tidaklah sampai ke peringkat bermusuhan walaupun perdebatan keduanya dilihat hangat. Selain itu ada juga watak-watak lain sebagai tempelan atau penguat cerita.

Tidak semua watak mempunyai ending mereka, ada yang mungkin ditinggalkan untuk pembaca menekanya. Namun bagi Ustazah Zamilah sendiri digambarkan bahawa kekasih hatinya akan masuk meminang dalam masa yang terdekat.


Terima kasih kepada ITBM kerana mencetak kembali karya-karya klasik ini. Ini kerana cetakan yang asal berkemungkinan telah tiada. Yang ada pun ‘gila’ dijual dengan harga tinggi atas nama buku langka!!

BUDAK BECA - Pak Sako




Hamba tidak berhasrat untuk membuat ulasan dalam erti kata yang sebenarnya terhadap buku ini. Ini kerana ia telahpun diberikan ulasan, dibahas, dibincangkan oleh ramai orang lain sebelum ini. Apatah lagi ia merupakan karya seorang penulis besar, seorang pejuang kemerdekaan yang namanya mungkin sudah mula dilupakan oleh generasi hari ini.

Budak beca mengambil latar tempat di negeri Terengganu sewaktu Malaya di ambang kemerdekaan. Melalui dua watak utama iaitu Mamat Merdeka dan Mustapha, Pak Sako cuba menyampaikan idea serta pemikirannya juga kritikannya yang tajam terhadap bangsanya. Membaca secara keseluruhan karya ini kita tentunya terperanjat kerana kebanyakan isu yang dibangkitkan masih lagi relevan dan berlaku dalam hidup kita hari ini.

Antara yang dapat hamba kutip sepanjang pembacaan novel ini secara ringkasnya adalah:-

i.                     Harga barangan yang semakin mahal atau naik harga; matawang yang semakin jatuh;

ii.                   Kebanyakan orang muda hanya tahu menghabiskan wang tanpa perancangan yang jelas untuk menghadapi masa depan. Watak Mamat berhenti kerja daripada menjadi mata-mata khas (SC) setelah 7 tahun dan pulang ke kampong dengan membawa wang sebanyak RM1000 (jumlah yang amat besar ketika itu). Beliau Cuma tahu berfikir untuk berehat sahaja sambal menghabiskan wang yang sedia ada. Baginya apabila wang sudah habis nanti barulah beliau akan berikhtiar untuk mencari yang lain pula. Walaupun ada nasihat daripada orang yang rapat dengannya agar mencari jalan menambah pendapatan dengan cara melaburkan duit tersebut melalui pembelian rumah, tanah untuk pertanian dan sebagainya, namun ia tidak sedikitpun dipedulikan. Beliau bahkan menghabiskan masanya dengan berjalan-jalan, berhibur serta perempuan;

iii.                 Pak sako secara sinis menyelar sikap manusia yang bersikap bodoh sombong tidak mahu mendengar cakap atau nasihat orang lain. Golongan ini merasakan pengalaman dirinya sendiri sudah cukup untuk melayari kehidupan;

iv.                 Pak Sako secara sambal lalu menyentuh tentang sikap segelintir kakitangan kerajaan yang melakukan penyelewengan serta rasuah. Watak Mustapha yang melakukan tugas khas yang ditugaskan oleh persatuannya untuk membuat penyelidikan tentang kehidupan masyarakat di pandang dingin apabila cuba untuk menjalankan penyelidikannya di pejabat-pejabat kerajaan. Dia dianggap ‘spy’ yang cuba mendapatkan maklumat serta mendedahkan penyelewengan mereka.

v.                   Ahli-ahli politik dianggap tidak berapa menyumbang terhadap penyatuan bangsa. Kebanyakannya hanya tahu bercakap dan bercita-cita tinggi untuk mendapatkan jawatan serta pangkat yang tinggi. Ada yang hanya berfikir dengan mendapat jawatan sedemikian maka ia akan membawa kepada pendapatan yang tinggi membolehkan mereka memiliki kereta yang besar.

Membaca novel ini serta dua novel beliau yang lain iaitu Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila dapat dilihat satu isu yang dibawa Pak sako iaitu segelintir masyarakat yang kaki perempuan serta segelintir perempuan yang begitu mudah menggadaikan tubuhnya khususnya mereka yang mempunyai masalah kewangan. Minuman keras juga kadang-kadang umpama air kosong. Watak Mamat dan Mustapha walaupun kelihatan patriotik dan selalu berbincang tentang masa depan bangsa tidak terlepas daripada menikmati air kencing syaitan ini apabila memesan bir cap pokok kelapa walaupun awalnya telah menolak brandy dan whisky. Berkemungkinan Pak sako cuba menyampaikan bahawa manusia ini ada yang bersifat talam dua muka, pepat di luar rencong di dalam.


Justeru apabila isu yang dibangkitkan oleh Pak sako puluhan tahun dahulu masih relevan hingga ke hari ini, ia seolah menunjukkan bahawa kelemahan lalu itu masih belum lagi dapat dipulihkan sepenuhnya.  Adalah amat mengecewakan sekiranya kita lansung tidak mengambil sabarang iktibar!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...