Isnin, 7 Mac 2016

KLTA-KL TOWER AMAZING HUNT 2016




Hamba tak pernah menyertai sebarang pertandingan mencari harta karun sebelum ini. Justeru pelawaan seorang teman untuk turut sama menyertai tidak mengambil masa yang lama untuk hamba memberikan keputusan. Dalam fikiran membayangkan tentu seronok menghadapi cabaran yang akan diberikan serta berpeluang ke tempat-tempat yang menarik di sekitar KL dan Putrajaya.




Mereka ini sebenarnya sahabat lama hamba dari sekolah menengah yang sama. Ada lapan orang kesemuanya dengan empat orang dalam satu kumpulan. Cuma sayang sahabat yang duduk sebelah meja di dalam kelas tidak dapat hadir kerana anaknya yang sakit. Jadi cabaran diteruskan oleh 7 orang pemuda hensem sahaja. Setiap peserta sebenarnya dikenakan bayaran sebanyak RM100. Jumlah itu sebenarnya agak tinggi bagi hamba, Menurut kawan-kawan biasanya jikalau dengan jumlah berkenaan di pertandingan lain akan mendapat pelbagai cenderamata di dalam goodies bag. Tetapi di dalam beg kertas kami cuma ada sehelai t'shirt yang perlu dipakai sepanjang pertandingan ini, beberapa brosur pelancongan serta baucer-baucer diskaun ke tempat-tempat yang hamba yakin tidak akan pergi. Baucer berkenaan pun bukanlah menawarkan potongan yang mutlak, sebaliknya kita perlu berbelanja terlebih dahulu untuk menikmatinya. Nampaknya tak berapa menguntungkan juga...




Tempat berkumpul serta bermula adalah di Muzium Negara di mana peserta turut dibekalkan dengan sebungkus nasi lemak ala kadar sebagai sarapan. Semua yang berucap pada pagi itu, kecuali pengacara, menggunakan bahasa penjajah, seolah-olah pertandingan ini dijalankan di Newcastle atau di Brooklyn dengan penyertaan oleh orang bukan dari Malaysia. 

Peserta perlu pergi ke 8 destinasi serta menyelesaikan semua tugasan yang diberikan. Senarai 8 destinasi itu juga diberikan dalam bentuk teka teki membuatkan sedikit masa perlu diambil untuk meneka akan lokasinya. Oh ya semua arahan tugasan diberikan dalam bahasa Inggeris, mungkin hamba mendapat kit pertandingan untuk peserta dari Pulau Maldives agaknya..




Sepatutnya lokasi pengembaraan adalah tempat-tempat menarik untuk pelancongan. Tetapi ada 2 lokasi yang merupakan restoran yang keduanya menghidangkan arak haram kepada pengunjungnya. Salah satu daripadanya pula adalah sebuah bar yang bukan sahaja turut menghidangkan makanan haram juga pelayan yang camaram jugak rupa pakaiannya. Hamba tidak tahu kenapa dua restoran ini boleh dimasukkan dalam tempat kembara, mungkinkah kerana mereka ini memberikan penajaan? Maka pada hari itu anak-anak kita yang bertudung dan lelaki-lelaki berjanggut ini berbondong-bondong masuk ke dalam bagi menyelesaikan tugasan. Menjadikan tempat haram ini sebagai destinasi permainan amat hamba bantah dan penganjur tidak sewajarnya mengulangnya pada masa yang akan datang.




Tugasan yang diberikan tidaklah semudah yang disangka. Tidak berbaloi lansung jika dibandingkan dengan hadiah yang ditawarkan. Semasa sesi akhir pemakluman jawapan, hamba dan raka-rakan merumuskan bahawa soalan yang dikemukakan adalah hasil syok sendiri penganjur dengan jawapan yang ntahapahapantah!! Rata-rata peserta menghabiskan masa di sesuatu tempat lebih daripada sepatutnya memandangkan soalan syok sendiri itu. Memang kami amat kepenatan pada hari tersebut. Sudahlah penat, makan tengahari juga tidak disediakan. Apa  guna membayar RM100 kalau makan pun tiada, sudahlah bayaran petrol dan tol juga sendirian berhad. Sememangnya penganjur lansung tidak menitikberatkan kebajikan peserta.


Sesi terakhir di Menara Kuala Lumpur berlansung dengan berjela-jela. Sehinggakan sudah tiba waktu Maghrib pun masih lagi belum habis acaranya. Tetapi hamba dan rakan-rakan pakat angkat kaki. Lagipun kami tak mendapat apa-apa tempat. kalau ada lagi penganjuran acara sama daripada pihak ini di masa yang akan datang, mintak maaplah, tak berbaloi lansung untuk kami menyertainya.....


* Semua gambar, kredit buat saudara Bond.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...