Isnin, 28 Mac 2016

BERSAMA SELAMANYA - Gayour



Siri kartun Bersama Selamanya yang mula tersiar di majalah Ujang lebih 20 tahun yang lalu mungkin dianggap sebagai legenda oleh para peminatnya. Tersiar melebihi 5 tahun menjadikan ia antara siri kartun yang paling panjang ceritanya. Kisahnya cukup mudah, mengenai persahabatan 5 orang pemuda yang kesemuanya cenderung kepada muzik heavy metal.

Walaupun mengambil masa yang begitu panjang siarannya, bagi hamba ceritanya hanya biasa sahaja. Mungkin sewaktu ianya mula disiarkan dahulu hamba rasa kisah Bersama selamanya ini agak ok, namun dengan peranjakan usia membacanya kembali tidak memberikan satu impak yang tinggi. Mungkin kerana waktu dahulu hamba membacanya mengikut siaran isu majalah, isu demi isu, minggu demi minggu, sehingga tidak berapa terasa akan kebosanannya. Namun apabila membaca edisi lengkapnya secara terus menerus perasaan 'biasa' itu dapat dirasai.  Bahasa yang digunakan sememangnya bahasa harian atau 'pasar' disertai dengan frasa-frasa bahasa Inggeris yang turut mengandungi kesalahan tatabahasa serta kadang-kadang terasa janggal pengucapannya, terutama pengucapan frasa yang panjang ketika sedang bergaduh. Walaupun begitu karya Gayour hamba gemari kerana mutu lukisannya yang kemas dan teliti dalam banyak perkara.


    

Walaupun siri ini dicetak semula dalam sebuah kompilasi khas, hamba sedikit kecewa kerana penerbit tidak mengambil kesempatan untuk membetulkan beberapa typing error contohnya perkataan cab dimana dalam konteks ini bermaksud teksi tetapi dieja sebagai cap yang ternyata memberikan maksud yang jauh berbeza. Siri ini menjadi panjang kerana terlalu banyak adegan pergaduhan yang memberikan ruang untuk pelukis melakukannya dalam jumlah mukasurat yang banyak. Adegan perlawanan ala street fighter walaupun dilukis dengan baik, tetapi hamba lebih suka sekiranya ia mempunyai pergerakan yang menarik serta berturutan seperti yang biasa kita lihat dalam karya kartunis Zoy. Kadang-kadang rasa bosan juga hati melihat betapa banyaknya adegan bergaduh, adegan berlatih muzik dengan memaparkan lirik-lirik heavy metal dan sebagainya. Lokasi peristiwa dalam Bersama Selamanya juga tidak banyak dan kerap berulang seperti di gerai burger, rumah Amar dan Big One Plaza.

Hamba mengucapkan terima kasih kepada pihak Bekazon kerana mengambil inisiatif untuk mengumpulkan karya ini di dalam sebuah kompilasi. Kompilasi seperti gamba yang dipaparkan ini merupakan edisi untuk pengumpul (collector's item) yang dijual mengikut pakej yang tertentu. Ia dijual dalam kulit keras bersama kotak khas. Kini telah terbit Bersama Selamanya dalam edisi soft cover yang harganya lebih murah. Bagi pengumpul ia karya yang tidak boleh dilepaskan, tambahan pula apabila ia boleh dijual semula pada masa akan datang dengan harga yang lebih tinggi lagi.




***Semua gambar diambil daripada Bekazon.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...