Selasa, 5 Januari 2016

SANTET - Saat Omar


Melihat kepada tajuknya pada mulanya hamba merasakan ini merupakan sebuah novel horror seperti seperti novel seram yang lain, ada orang kena rasuk, setan muncul, muka hodoh, darah mengalir, busuk, mayat hidup, tok dukun dengan baju hitam lusuh dan sebagainya. Tetapi Santet amat berbeza. Santet lari daripada unsur kebanyakan novel horror. 

Ceritanya mudah - tentang seorang dukun bernama Hitam (yang ini memang nama tradisional) yang telahpun bersara tetapi didatangi seorang wanita yang mahu menggunakan perkhidmatannya. Episod selepas itu yang menariknya apabila penulis cuba melakarkan dilema yang dihadapi oleh Hitam, bagaimana beliau sebolehnya mengelak untuk mengamalkan lagi perkara yang telah ditinggalkannya.

Dalam melayari usaha berkenaan penulis memperkenalkan kita dengan watak-watak tambahan yang mempunyai karekter yang menarik seperti dua orang pembantu Hitam yang dinamakan ACDC, kartel dadah Mexico, rakan seperguruan yang mempunyai lain-lain kepakaran, tok guru yang boleh bertukar menjadi harimau serta lintah yang dinamakan Timothy Dalton sempena nama salah seorang hero James Bond. 

Permintaan Mariam untuk Hitam menghantar lintah kepada bekas suaminya, Bahaman membuatkan Hitam terpaksa menggunakan akalnya bagi mengelakkan hal sedemikian berlaku. Percubaannya untuk memalsukan keadaan Bahaman terkena ilmu hitam dengan menggunakan khidmat jurusolek yang pada mulanya nampak berjaya akhirnya membawa kepada pelbagai lagi peristiwa yang hamba boleh katakan amat menarik untuk dibaca. walaupun Hitam seorang bomoh tradisional, penulis memberikan gambaran yang lebih segar. Hitam seorang yang membaca, ada koleksi buku di rumahnya, berpengetahuan dalam filem- khasnya filem-filem seram, turut bergaya dalam pemakaiannya dan hitam selalu berbicara dengan menggunakan istilah omputeh!! Pembantunya AC dan DC memang rock dan selamba, patuh dan taat tanpa soal tapi tak nampak bodoh. bayangkanlah dalam episod terakhir menghadapi kartel dadah Mexico Hitam dan sahabat seperguruannya, Boni membuat serangan menggunakan ilmu hitam dengan lagu Shoot To Thrill oleh AC/DC!

Biasanya pemilik hantu raya akan mewariskan belaannya kepada pewaris yang baru ataupun kisah yang biasa kita dengar pembela akan merebus kekacang, menanamnya di satu tempat dan meminta hantu raya itu menunggu kekacang berkenaan sehingga tumbuh. Itu kisah yang biasa kita dengar dan Saat Omar memberikan idea yang lebih segar iaitu dengan 'menghantar' hantu raya Hitam ke Maldives! Bagaimana itu berlaku - ia satu lagi garapan menarik oleh penulis ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...