Rabu, 3 Jun 2015

URBAN - Azrin Fauzi



Urban merupakan e-book yang kedua hamba baca selepas Hikayat Raja Babi. Sebelum daripada kedua buah bukun ini e-book yang pernah hamba baca hanyalah berbentuk majalah ataupun tulisan-tulisan pendek. Nampak gaya hamba tidak serasi dengan buku elektronik. Hamba masih suka kepada bahan yang bercetak, yang boleh dibelek sepuas hati, dikelepet bucunya buat tanda bacaan serta dihentak kemeja bagi membunuh lalat yang hinggap. Hamba tidak boleh menghentam lalat dengan tablet hamba, bodoh dikata orang nanti.

Kumpulan cerpen Urban ini terlebihj dahulu dicetak sebanyak 3000 naskhah untuk tujuan pasaran sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini dan tidak akan diulang cetak. Namun penerbitnya memberikan secara percuma edisi e-book ini untuk mengelakkan harga pasaran gelap yang melampau. Semua cerpen yang terkandung di dalamnya dinspirasikan daripada 16 bandar di Malaysia. Tapi bagi hamba walaupun tidak dinyatakan apa jua nama bandar hatta menggunakan bandar di planet zargus sekalipun, semua cerpen di dalam antologi ini boleh berdiri sendiri tanpa dikaitkan dengan sebarang bandar.

Bagi hamba penulisan Azrin mungkin merupakan gaya yang diminati oleh generasi muda pada hari ini. Ia agak berlainan dengan cara penulisan penulis dahulu. Bahasanya mudah siap dengan mencarut sekali. Hamba tak tahu kenapa perlu ada carutan di dalam penulisan. Nak kata ia akan menjadikan sesuatu cerita itu bertambah sedap atau bermutu, tidak juga pada hamba. Kalau hamba sendiri menulis sesuatu yang ada carutan, hamba akan berasa malu apabila nanti ianya dibaca pula oleh anak hamba. Lebih malang lagi sekiranya ada yang akan menggunakan frasa carutan berkenaan di dalam perbualan harian mereka.

Para pembaca akan menemui beberapa nama ataupun perkataan yang berulang pada cerpen yang berbeza. Yang paling ketara adalah perkataan 'Subuh Tak Berembon'. Mungkin pengarang syok dengan perkataan ataupun tajuk tersebut yang dinisbahkan pada sebuah buku.

Hamba boleh katakan bahawa hamba menggemari hampir kesemua cerpen yang ada. Topik yang dibawa tidaklah terlalu berat sehingga memaksa pembaca letih untuk berfikir. Mungkin hamba paling minat dengan cerpen bertajuk  Whodunnit (I): Putrajaya. Ia berkisarkan mengenai satu pembunuhan misteri di mana mayat seorang wanita ditemui secara berpotong-potong, diisi dalam sebuah tas berjenama. Semuanya gara-gara cemburu buta dan tidak menyiasat dengan teliti akan sesuatu perkara. namun pengakhirannya cukup menarik dengan memberikan satu kejutan. Cuma kisah ini mengingatkan hamba kepada sebuah kisah jenaka berbahasa inggeris di internet. Walaupun jalan ceritanya berbeza tetapi maksud yang disampaikan adalah sama.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...