Selasa, 30 Jun 2015

SEJARAH PERISIKAN DI MALAYSIA - Azharudin Mohamed Dali



Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) mempunyai banyak buku-buku yang hebat dan penuh ilmiah. Walau bagaimanapun amat malang apabila kebanyak buku terbitan DBP tidak diketahui oleh khalayak tidak seperti buku-buku terbitan lain-lain produksi. Boleh kita lihat ruangan ulasan buku di dalam akhbar yang biasanya lebih banyak memaparkan ulasan novel-novel cinta yang tentunya bukan kepunyaan DBP. Contoh terbaik adalah buku ini - satu tajuk yang jarang sekali dibicarakan - penuh dengan pengisian ilmiah yang dibuat berdasarkan kajian yang mendalam. 

Walaupun menggunakan tajuk sejarah persikan di Malaysia, ruang lingkup kajian buku ini hanyalah kepada sejarah sebelum merdeka atau lebih spesifik lagi pada zaman Jepun dan zaman sebelum Chin Peng menjadi Setiausaha PKM. Tiada kisah mengenai perisikan yang berlaku selepas merdeka yang pastinya mempunyai lebih banyak perkara yang menarik lagi. Tetapi harus diakui untuk membuat kajian pada period yang disebutkan tadi tentulah lebih sukar kerana rujukannya yang terhad. Tambahan pula kekurangan kajian ini adalah tiada rujukan dari sumber cawangan khas polis ataupun risikan angkatan tentera sendiri. Berkemungkinan sumber daripada kedua pihak berkenaan masih lagi bertaraf sulit dan belum boleh didedahkan kepada orang awam.

Agak menarik untuk membaca tentang usaha-usaha yang telah dijalankan oleh pihak Jepun sebelum mereka berjaya menguasai Tanah Melayu. Usaha tersebut bukannya dijalankan beberapa tahun sebelum mereka menyerang Malaya bahkan telah berlansung berpuluh tahun sebelum itu. Rupanya sebelum tahun 1900an lagi orang Jepun sudah mula membentuk komuniti mereka di Tanah Melayu. Mereka datang sebagai pelancong, usahawan, pekebun, nelayan dan sebagainya bahkan membuka dengan banyak rumah-rumah pelacuran. Bayangkanlah pada tahun 1905 sahaja di Singapura mereka mempunyai sebanyak 109 rumah pelacuran dengan 633 orang pelacur!! Di Malay Street sahaja sudah ada 32 buah rumah pelacuran, seolah-olah bilangannya lebih banyak daripada rumah kedai. Semua mereka mempunyai matlamat yang sama iaitu melakukan perisikan bagi menyediakan maklumat untuk tentera Jepun sebelum mereka menyerang Malaya. Mereka bercampur gaul dengan masyarakat tempatan dan menguasai bahasa Melayu dengan baik sehinggakan ada diantara mereka yang dikenali dengan nama tempatan sepertiAyah Kawa dan Tok Kelepet! Kerana maklumat perisikan yang mantap inilah Jepun berjaya menawan Malaya dalam tempoh yang sekejap sahaja. Siapa sangka mereka akan menggunakan basikal sebagai alat perhubungan menawan setiap negeri.

Turut disebutkan beberapa nama perisik yang ada diantaranya bukan sahaja menjadi ejen kepada satu pihak bahkan sehingga tiga. Antaranya adalah Lee Meng serta Lai Teck (Setiausaha Agung PKM sebelum Chin Peng). Ada juga cerita tentang seorang perisik Melayu bernama Abdul Majid Zainuddin. Di hujung buku ada juga catatan tentang konfrontasi  serta kisah-kisah yang menarik di sebaliknya.

Banyak fakta yang ada di dalam buku ini adalah yang baru pertama kali hamba jumpa menjadikan membacanya amat menyeronokkan kerana mengetahui perkara-perkara baru. Hamba berharap agar akan lahir lagi kajian-kajian mantap seperti yang dilakukan oleh penulis buku ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...