Isnin, 6 Januari 2014

SAAT IZRAIL CABUT NYAWAKU – Produksi Terbaik Mastika



Kematian adalah satu perkara yangt benar dan tiada siapa yang boleh menolak kehadirannya. Ia datang tanpa dijemput tanpa seorangpun yang mengetahui masa dan keadaan akhirnya. Perkara itulah yang sepatutnya kita runsingkan kerana perjalanan ke sana memerlukan bekalan yang mencukupi. Dan bekalan inilah yang ramai orang gagal untuk menyediakan dengan sebaik dan secukupnya.

Buku ini menghimpunkan beberapa kisah keadaan manusia ketika berhadapan dengan kematian. Sebahagiannya pernah diterbitkan di dalam Mastika dan terdapat juga beberapa buah cerita baharu. Tidak kira bagaimanapun bentuk cerita yang dikisahkan di dalam buku ini, semuanya wajar untuk kita renungkan bersama dan dijadikan iktibar. Berbahagialah mereka yang mengambil iktibar dan seterusnya menggandakan usaha untuk menyediakan bekalan ke sana.

Antara banyak cerita yang dipaparkan, hamba amat teruja serta insaf dengan kisah akhir hayat seorang pelakon Melayu lama yang bernama Tony Kassim. Sebelum membaca kisah beliau di Mastika inipun hamba pernah terbaca beritanya di akhbar. Laporan akhbar tersebut membuatkan hamba juga inginkan kematian yang ‘cantik’ sebegitu – beliau kembali kepada Allah sedang dalam keadaan sujud, yaani ketika sedang solat mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. Kisah beliau di dalam buku ini diperincikan sedikit dengan amalan Allahyarham serta kecintaannya kepada masjid. Hamba lihat hati Allahyarham memang sudah begitu terikat kuat dengan masjid. Beliau solat berjamaah, membersihkan persekitaran, membuka kunci masjid pada pagi hari dan sebagainya sehinggakan jikalau orang ingin mencari beliau maka boleh sahaja ke masjid. Allahyarham ketika itu sudah tidak lagi mahu mengingati memori silam sebagai seorang anak wayang. Apa yang telah berlaku itu cukuplah di situ sahaja. Ya Allah janganlah matikanlah hamba melainkan dalam dua perkara, pertama ketika hamba sedang berjihad fi sabilillah atau ketika hamba sedang khusyu’ beribadat dengan ikhlas kepada-Mu. Matikanlah hamba dalam keadaan husnul khatimah dan bukannya suul khatimah. Allahumma amiiin.

Terdapat juga beberapa kisah lain yang cukup cantik seperti seorang Imam yang kembali kepada Allah sebaik sahaja selesai mengangkat takbir dan tangannya kiam, individu yang seolah tahu akan masa kematiannya dan banyak lagi. Semuanya hamba yakin terhasil daripada amalan yang baik yang dikerjakan semasa hayat masih dikandung badan.

Namun kisah kematian yang dalam keadaan suul khatimah adalah perkara yang menjadi iktibar terbesar buat diri kita agar tidak melakukan sesuatu yang boleh mencelakakan diri kita kelak. Seperti yang biasa kita baca atau tonton di filem, mereka yang bersahabat dengan syaitan, mengamalkan sihir akan sukar ketika berhadapan dengan maut. Ada yang telahpun mati tetapi jasadnya masih ‘hidup’ kerana dihuni oleh makhluk lain. Semua mereka ini ketika hayatnya inginkan kesenangan hidup dunia, mahu dilindungi daripada sebarang petaka, namun mencari serta memohonnya kepada selain daripada Allah. Oleh yang sedemikian, kita yang masih lagi bernyawa ini hendaknya menghentikanlah segala perbuatan syirik ini sekiranya ada dilakukan dan bersegeralah bertaubat kepada-Nya.


Buku seperti ini kebiasaannya akan cepat kehabisan di pasaran, maka bersegeralah mendapatkannya. Niatkanlah bacaan untuk mencari ilmu serta mengambil iktibar dan bukannya membaca sekadar hiburan diri sahaja. Insya Allah akan mendapat manfaatnya nanti.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...