Selasa, 31 Disember 2013

BABAI PUTRAJAYA



Seorang sahabat yang menelefon ke pejabat pagi tadi memaklumkan kesukarannya mencari nama hamba di dalam direktori yang terdapat dalam laman web jabatan. Bahkan menurut beliau nama hamba telah tiada lagi dan digantikan dengan nama seorang pegawai lain. Sebetulnya ini hari akhir hamba di kementerian sebelum berpindah ke sebuah jabatan di Shah Alam. Tak sangka cepat pula nama di dalam direktori ditukar.

Alhamdulillah, setelah lebih 13 tahun berulang jauh ke tempat kerja hamba akhirnya berpeluang bertugas di tempat yang agak dekat sedikit dengan kediaman. Walaupun 23km masih boleh dianggap jauh, namun bagi hamba ia adalah jauh lebih baik daripada jarak sekarang ini. Bukan itu sahaja sekarang ini hamba terpaksa membayar sebanyak RM12 bagi penggunaan tol. Itu belum termasuk minyak lagi. Jadi sempena pesta kenaikan kadar tol dan bermulanya hamba membuat potongan ansuran pinjaman perumahan, perpindahan ini memberikan kelegaan dan membolehkan hamba menyusun semula kewangan hamba.

Hamba ambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih buat pimpinan tertinggi bahagian dan kementerian yang membenarkan hamba bertukar. Hamba pada mulanya tidak menyangka e-mel ringkas yang dihantar kepada Setiausaha Bahagian bagi memohon pertukaran mendapat respon yang positif. Terima kasih buat beliau, immediate boss hamba, rakan-rakan sejawat, anak-anak buah di Unit Skim, Saraan & Hubungan Pekerja, rakan-rakan Bahagian, rakan-rakan Kementerian, rakan-rakan di Kementerian dan Jabatan lain serta pimpinan Kesatuan/Persatuan yang kerap berurusan dengan hamba.

Tidak lupa buat teman sejogging, teman makan nasi Arab, teman yang sering mendengar luahan perasaan, teman yang belanja makan dan lain-lain yang sewaktu dengannya sewaktu hamba bertugas di Putrajaya ini. Hamba ambil juga kesempatan menyusun 10 jari bagi memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan. Tentunya ada kesilapan hamba yang menyinggung perasaan tanpa disedari sewaktu menjalankan tugasan atau dalam pergaulan. Kalau hamba ada berhutang dan terlupa, bolehlah dituntut daripada hamba.

Terima kasih, mohon maaf. Moga 2014 yang bermula esok memberikan satu sinar yang gemilang. Amin, kepada-Mu hamba berserah Ya Rabb!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...