Selasa, 6 Ogos 2013

SALAM AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN




Hari Raya Aidul Fitri berkemungkinan disambut dalam dua hari lagi. Perjalanan pulang ke kampung halaman mungkin agak lancar memandangkan orang ramai telah bercuti awal danboleh merancang perjalanan dengan sebaiknya. Walau bagaimanapun agak mendukacitakan juga kerana masih berlaku beberapa kemalangan jalan raya dalam keghairahan untuk pulang berhari raya. Sama-samalah kita berdoa agar perjalanan kita nanti selamat sejahtera adanya serta mendapat lindungan dan keberkatan Allah.

Hamba ketika ini masih lagi di rumah walaupun telah beberapa hari bercuti. Alhamdulillah tahun ini hamba dapat cuti yamg panjang walaupun boss berat nak meluluskannya. Inilah kali pertama hamba mengambil cuti raya agak panjang berbanding sebelum ini. Bukanlah hamba nak beraya saka tapi sebenarnya nak berehat sakan. Sebenarnya berulang alik ke pejabat yang jauhnya lebih kurang 55km dengan perjalanan yang mengambil masa 1 ke 2 jam bergantung kepada kesesakan ini amatlah memenatkan. Tambahan pula sudah lebih 13 tahun hamba travel begini. Nak minta tukar berdekatan tempat tinggal dikatakan hamba ini bukan anak negeri Selangor. Bila memohon, ke Putrajaya juga dihantarnya. Bila naik pangkat pun ke Putrajaya juga. Bukan tak boleh hamba pindahkan keluarga hamba ke Putrajaya, tapi kesianlah isteri hamba terpaksa berhenti kerja memandangkan beliau bertugas dengan syarikat swasta.

Insya Allah hamba akan beraya di Negeri Sembilan dahulu pada tahun ini. Agak menyeronokkan beraya di kampung sendiri. Lemang, rendang dan ketupat pasti ada di meja rumah yang dikunjungi. Kalau di belah isteri hamba benda tu bukannya tak ada tapi kebanyakan tuan rumah simpan untuk makan anak beranak. Balik-balik air gas balik balik air gas. Betullah kalau dikatakan tujuan raya ini bukanlah untuk memenuhkan tembolok, tapi adanya perkara yang disebutkan tadi akan menceriakan lagi hari raya. Tambahan pula di negeri hamba rasa rendang itu ada yang berlainan mengikut daerah. Pilah punyo lain, Ghombau punyo pun lain.

Kalau berjalan ke Kuala Pilah aka Pilahpheldia pada raya pertama, akan kelihatan masih ada lagi orang yang berjual lemang. Tak beraya ke mereka ni. Apakah berjualan lemang itu lebih penting dari berziarah pada raya pertama ni. Memang benar bahawa ketika raya pertama ini masih ada lagi orang yang mencari lemang. Tapi....entahlah, kok dikomen lobih-lobih maghah pulak woghieh woghieh penjual lomang nanti.

Apapun 10 jari hamba hulurkan memohon maaf atas segala salah dan silap sepanjang penulisan hamba di blog ini. Hamba menulis mengikut pandangan hamba yang ikhlas. Tidak ada niat hamba untuk menyakitkan hati sesiapa. Yang elok itu ambillah, yang tidak itu tinggalkanlah.

Doa hamba semoga hari raya ini menguatkan lagi ukhuwah sesama kita dan memperkukuhkan lagi keimanan kita kepada Allah Yang Maha Esa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...