Khamis, 25 April 2013

BERLATIH MENULIS HURUF X

 


Tak berapa hari sahaja lagi rakyat negara ini akan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemilih. Setelah berteka-teki selama beberapa tahun dan purnama mengenai tarikh pembubaran parlimen akhirnya ia berlaku jua pada hari genap empat tahun pemerintahan  Menteri Perdana baru-baru ini. Lantas tarikh penamaan calon dan pembuangan undi ditentukan dan penamaan calon telahpun selesai beberapa hari yang lalu. Maka berkibaranlah bendera-bendera parti di tepi-tepi jalan sehingga ada yang mengganggu pemandangan penguna jalanraya. Bendera-bendera ini pula telahpun mula meriah di pandangan sebelum tarikh berkempen lagi. Hamba tidak pasti akan keberkesanan kempen menggunakan bendera lambang parti ini kerana hamba yakin di hati pengundi telahpun tertancap simbol apa yang ingin mereka pangkah. Ia berbeza dengan poster wajah calon yang hamba nampak akan kepentingannya bagi pengundi untuk kenal wajah bakal wakil mereka. Dapatlah pengundi menilai calon-calon yang mungkin mereka kenal dan seterusnya menetapkan pilihan mereka.
 
 
Rasanya negara kita antara yang meriah apabila berlakunya pilihanraya. Hamba pernah berada di Maghribi dan Jepun semasa musim pilihanraya, namun suasananya agak tenang dan kekadang terasa seperti tiada apa-apa yang berlaku. Mata tidak semak dengan bendera-bendera parti, hanya poster-poster calon yang ditampal pada tempat yang dikhaskan. Tapi kalau kita rasa tak meriah, nak jugak bendera naik di sana sini, apo yang den buleh buek, duit ekau banyak, lambak an yo lah!
 
Hamba tidak cenderung kepada mana-mana pihak. Jadi hamba rasa bebas untuk mengkritik sesiapapun. Berbanding mereka yang telah ada kecenderungan, sokongan atau keahlian kepada parti tertentu, mereka akan bercakap segala perkara yang baik sahaja tentang parti pilihan mereka. Pihak lain adalah sebaliknya, teruk dan tidak sebaik mereka. Kalau ada yang cela mengenai parti mereka, jalan akan dicari untuk memutihkannya. Kebaikan pihak lain walaupun jelas umpama matahari di siang hari, akan cuba ditidakkan by all means. Inilah perkara tidak sihat yang hamba nampak dalam suasana bersiasah di negara kita. Ketaksuban melampau yang mengakibatkan perpecahan walaupun dalam kalangan ahli keluarga yang terhampir. Orang kita ramai yang masih belum terbuka. Bab politik tidak hanya habis pada forumnya tetapi akan berlarutan pada perkara yang bukan tempatnya juga hatta di dalam jamban sekalipun.
 
Hamba tertarik pada satu post di fesbuk yang menyatakan bahawa kita semua ini bersatu tetapi ahli politiklah yang memecahkan kita. Parti politiklah yang menjadikan kita berpuak-puak. Ada benarnya juga kata-kata ini jika direnungkan dengan hati yang tenang dan terbuka. Tak seronoklah hamba kalau kita berpecah disebabkan oleh politik ni. Nampak bodoh sangat. Cuba kita imbau kembali perpecahan yang mula berlaku pada zaman Sahabat dulu. Perselisihan tentang siapa yang sepatutnya menjadi khalifah antara penyokong Sayyidina Ali dan sahabat yang lain membawa kepada munculnya beberapa kumpulan seperti Syiah dan Khawarij. Daripada asalnya kumpulan ini hanya berbicara mengenai perkara siasah ia akhirnya berlarutan kepada perkara aqidah dan akhirnya menjadi mazhab. Bibit-bibit itu telah mula ada dalam suasana politik di negara kita dan ia makin menakutkan dari hari ke hari.
 
Cuba tengok fesbuk anda. Pasti ada seorang dua kawan yang menulis sesuatu tentang politik, mengepos gambar atau video yang berkaitan. Posting itu pula akan diikuti oleh komen orang lain yang kadang-kadang ditulis dengan tak ada rupa perangai orang Islam lansung. Ada juga yang tulis pada postingnya kalau tak suka tulisan saya boleh ban atau unfriend saya. Geleng kepala hamba. Asalnya mereka berfesbuk untuk bersahabat atau menjalin semula hubungan dengan sahabat yang lama terpisah. Tapi disebabkan politik punya hal sanggup pulak nak putus sahabat.
 
Jadi pemimpin ini bukannya satu tugas yang enteng. Tapi dalam suasana negara kita orang berlumba-lumba nak jadi pemimpin. Tak takut lansung pada tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Rabbul Jalil nanti. Hamba akan gelak dalam hati kalau terjumpa tulisan 'calon pilihan rakyat' pada mana-mana poster. Huh bilo maso lah kito pilih ekau, ekau yang pandai-pandai offer diri.
 
Ingatlah saudara semua, apapun pihak yang anda sokong, ia bukan lesen untuk anda mencarut dan memfitnah pihak yang lain. Tunjukkanlah kehebatan parti anda dengan perkara baik dan hebat yang parti anda lakukan. Hamba dan ramai lagi tak perlu dengan cerita yang diada adakan apatah lagi celaan, fitnah dan carutan. Tak usah sibuk dengan parti orang lain. Tak usah berjanji bulan dan bintang kerana hamba tahu pihak manapun yang bertanding ketika ini hanya bercakap untuk menarik serta meraih undi. Biarkan prestasi anda yang bercakap tanpa perlu mulut anda menuturkannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...