Isnin, 4 Februari 2013

HADIAH BUAT DIRI SENDIRI




Sewaktu hamba melintasi sebuah gerai menjual beg dalam kunjungan hamba ke Serikin, Sarawak baru-baru ini, mata hamba menangkap sebuah beg yang tergantung di hadapan gerai berkenaan. Ia kelihatan seperti beg sandang National Geographic. Walau bagaimanapun hamba tidak berhenti untuk melihatnya. Hamba bercadang untuk melihatnya nanti apabila berpatah balik untuk pulang.

Sambil itu di gerai-gerai lain yang menjual beg hamba cuba melihat sekiranya ada beg seperti yang hamba lihat tadi. Sempat hamba membeli beberapa barangan untuk keluarga di rumah. Memandangkan beg pakaian hamba telah penuh maka hamba perlu membeli satu beg baru untuk mengisi barangan yang dibeli. Akhirnya hamba sampai ke gerai yang hamba temui pada awal tadi.

Rupanya beg yang hamba lihat tadi bukanlah sebuah beg sandang biasa. Ia adalah beg kamera berjenama Aosimanni aka ASMN (nama pun tak glemer lansung) yang dijual dengan harga RM220. Memandangkan hamba berhajat untuk membeli beg sandang biasa saja, maka hamba pergi untuk melihat pilihan yang lain. Akhirnya hamba dapat sebuah beg dengan harga RM55 daripada harga asal RM70. Ketika itu hati hamba bagai diusik untuk memiliki beg kamera tadi. Ini kerana beg tersebut nampak besar berbanding beg yang sedang hamba gunakan ketika ini. Akhirnya setelah tawar menawar, maka si penjual dengan berat hatinya menjual kepada hamba dengan harga RM150. Ini kerana hamba mengatakan hamba telahpun membeli sebuah beg sandang maka sepatutnya hamba boleh mendapat diskaun yang baik untuk beg kamera tersebut. Apabila dibuat congakan semula mengikut harga asal, seolah-olah hamba membeli beg kamera yang berharga RM220 dan mendapat sebuah beg sandang bernilai RM55 percuma dengan bonus RM15 lagi!!

Setelah pulang ke semenanjung, beg itu hamba biarkan tidak berusik lebih seminggu. Selepas tempoh itu barulah hamba teragak untuk membeleknya. Bila hamba buat carian di internet ternyata memang ada beg National Geographic yang serupa dengan beg yang hamba beli itu. Ia serupa dengan model NG 5162. Yang berbeza hanyalah warnanya serta tiada nama National Geographic yang tercatat. Manakala yang lain-lain seperti rupabentuk, poket, poncho pelindung hujan, tempat letak lap top adalah sama seperti yang asal. Hamba juga bertemu dengan satu video dari Youtube yang memaparkan review mengenai sebuah beg yang menyerupai model NG 5162.

Walaupun ia bukan beg NG 5162, namun hamba berpuas hati dengan kualiti jahitan beg tersebut. Model berkenaan kalau di web Shashinki pun harganya dalam RM438. Tak apalah, tak ada nama NatGeo ditepek pada beg berkenaan pun tak apa. Sekurang-kurangnya senapang hamba kini ada rumah baru.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...