Selasa, 29 Januari 2013

JALAN HANG JEBAT a.k.a. JONKER STREET, MELAKA




Andai disebut Jalan Hang Jebat di Melaka, mungkin akan ada yang tercangak-cangak kerana tidak mengetahui dengan tempat di mana kedudukan tempat tersebut. Namun jikalau disebut Jonker Street pastinya ramai di antara yang tercangak tadi akan mengetahui di mana lokasinya. Hakikatnya kedua-duanya merujuk kepada tempat yang sama. Namun entah dimana silapnya jalan yang diberikan mengikut nama pahlawan silam Melaka itu ditenggelami oleh nama yang berbau penjajah tersebut. Ini tidak menghairankan kerana di mana-mana promosi termasuk oleh kerajaan negeri sendiri nama Jonker Street lebih banyak digunakan berbanding Jalan Hang Jebat. Maka sekiranya anak cucu cicit si Jonker itu ada lalu di kawasan tersebut maka bolehlah mereka berbangga kerana nama atuk mereka masih lagi diingati oleh masyarakat yang pernah mereka jajah.
Melihat kepada peta lama Melaka serta lukisan yang dipamerkan di Bangunan Stadhuys, hamba berkeyakinan bahawa kawasan tersebut pada masa silamnya merupakan satu perkampungan orang Melayu. Ini diperkuatkan dengan tinggalan masjid serta dua buah makam pahlawan Melayu iaitu Hang Kasturi yang memang ada di kawasan tersebut serta makam Hang Jebat yang terletak berhampiran. Hari ini Melayu di kawasan tersebut hanya tinggal nama sahaja.

Kawasan di sepanjang jalan tersebut dibarisi bangunan rumah kedai yang dibina sebelum perang menjadikannya satu kawasan bangunan bersejarah yang menjadi tarikan pelancong. Jalannya yang sempit menyebabkan kenderaan yang melalui terpaksa bergerak perlahan kerana ia turut sesak dengan manusia. Ketika ini jalan tersebut hanya ditutup pada waktu malam bagi membolehkan para pelancong dan pelawat bebas berjalan kaki di kawasan tersebut. Sewajarnya pada waktu siang jalan tersebut ditutup juga kepada kenderaan kecuali beca dan basikal bagi membolehkan pengunjung berjalan dengan selesa.
Kawasan ini akan lebih meriah apabila tiba malam hujung minggu. Kadang-kadang dek terlampau ramainya manusia hamba berasa tidak berapa selesa untuk berjalan melihat atau mencari barang-barang cenderamata. Risau juga sekiranya ada pencopet yang mengambil kesempatan di atas kebanjiran manusia di situ. Melihat wajah-wajah manusia yang memenuhi jalannya, kadang-kadang hamba merasakan bahawa hamba berada di Hong Kong berbanding dengan tanah air sendiri. Begitu juga apabila melihat dekorasi bangunan, tulisan papan perniagaannya serta separuh bahan dagangannya, kadang-kadang hamba berasa jauh dari tanah kelahiran hamba.
Di jalan ini ada terdapat beberapa premis hiburan yang menjual minuman keras. Pada malam hujung minggu mereka ini ada yang akan meletakkan kerusi meja di kaki lima serta lorong bersebelahan kedai mereka. Kadangkala ada yang mendirikan pentas hiburan bagi menghiburkan pengunjung premis mereka. Sesungguhnya hamba amat merasa janggal apabila melihat suasana manusia yang bebas meminum minuman keras sebegini. Apatah lagi ia berada di negeri yang menjuarai Dunia Melayu Dunia Islam. Sekali sekala pengunjung yang mabuk ini akan menyanyi dan menari bersama penghibur di atas pentas. Justeru kepada pengunjung yang datang bersama dengan anak-anak, suka hamba melabel kawasan ini sebagai 18SX bahkan mungkin lebih buruk daripada itu. Perlu diingat seperti yang hamba sebut di awal tadi, di lorong ini ada makam Hang Kasturi. Apakah manis suasana sebegini berlaku berhampiran dengan tanah perkuburan. Mungkin sebab Hang Kasturi bukan datuk nenek kita atau tiada pertalian juga ikatan dengan kita maka kita tidak kisah dengan manusia yang berhibur atau mencari dunia di sekitarnya. Nyata perkuburan yang ada di situ tidak mengingatkan mereka yang melaluinya dengan kematian bahkan tidak dihiraukan sama sekali.
Jikalau hendak menarik pelancong, hiburan serta anasir memabukkan ini mereka boleh perolehi di tempat mereka. Jikalau ditampilkan sesuatu yang berasal daripada mereka jelaslah penjajahan di bumi bertuah ini masih belum berakhir lagi. Laungan merdeka setiap genap haulnya serasa tidak lebih daripada satu teriakan biasa…….

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...