Jumaat, 18 Januari 2013

BILA KANAK-KANAK TAHUN LIMA LARI BERSAMA KEKASIHNYA...

Apabila hamba membaca laporan akhbar mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia dalam lingkungan 11 tahun lari bersama teman lelakinya yang berusia 17 tahun, hamba jadi terkesima seketika. Dalam umur secotet itu beliau telah mula menconteng arang ke muka kedua ibu bapanya. Di katakan juga bahawa remaja 17 tahun itu juga sebelum ini pernah menghantar cincin pertunangan bagi meneruskan hubungan. Hamba rasa kalau anda semua ada anak berusia 11 tahun pun tentunya tidak akan menerima peminangan tersebut. Perjalanan anak berumur sedemikian masih panjang, UPSR pun belum lepas, apatah lagi dengan peperiksan besar yang lain.

Namun yang dapat kita fahami adalah dalam keadaan jiwa sedang kemaruk dengan cinta, tindakan kadang-kadang menjadi terlalu bodoh. Persekitaran yang ada hari ini telah mengajar anak-anak muda yang mentah ini untuk menjadi tidak waras dalam pemikiran. Majalah hiburan yang melambak di pasaran, cerita, novel, filem dan drama percintaan yang kadangkala melanggar tatasusila dan budaya menjadi kitab rujukan buat golongan seperti mereka ini. Hamba sendiri turut risau kerana hamba juga mempunyai anak-anak yang sedang meningkat remaja. Bahan-bahan seperti ini dijual berleluasa dan mudah didapati. TV pula bersekongkol menayangkan perkara yang kadangkala meruntuhkan jiwa.

Cubalah kalau artis kesayangan anak muda ini dikutuk dan sebagainya, maka mereka akan tampil menjadi pembela yang memperjuangkan sesuatu yang tak bermakna atau seseorang yang tiada kena mengena  dengan mereka. Lantaran itu, kata nasihat ibu bapa yang melahir dan membesarkan mereka menjadi sesuatu yang tidak berharga dan diabaikan.

Suka hamba memberi amaran kepada anak muda seperti ini, jika syurga yang mereka cari, carilah keredhaan ibu bapa terlebih dahulu. Namun jika syurga dunia yang lebih dirindui, maka beringatlah bahawa dikau sedang melakar jalan ke neraka!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...