Sabtu, 29 Disember 2012

MEMALI KENANGAN SEORANG POLIS - Tunku Muszaffar Shah Tunku Ibrahim

Hamba tak berfikir lama untuk merembat buku ini sebaik sahaja melihatnya di sebuah kedai buku beberapa hari yang lalu. Peristiwa berdarah Memali merupakan antara satu titik hitam dalam lipatan sejarah negara. Ketika peristiwa itu hamba masih kecil lagi dan berada dalam darjah empat. Namun hamba masih ingat klip video peristiwa tersebut kerapkali disiarkan di televisyen ketika itu. 

Setelah berlakunya peristiwa itu, kerajaan telah mengeluarkan satu kertas putih memberikan penjelasan mengenai kejadian tersebut (kertas tersebut disiarkan semula di dalam buku ini). Namun di pihak yang satu lagi mereka tentunya tiada medan untuk bersuara. maka ketika itu peristiwa tersebut dari pandangan mereka hanya boleh didapati melalui salinan-salinan  fotostat yang diedarkan oleh mereka yang tidak dikenali. Akhirnya setelah dunia semakin maju dengan teknologi internet, kisah Memali boleh dijumpai dipelbagai laman web dan blog. Selain itu ada juga beberapa buku turut dihasilkan terutamanya yang ditulis oleh CN Al Afghani.

Namun buku ini cukup berbeza. Berbeza kerana inilah pertama kali peristiwa ini ditulis dari pandangan seorang pegawai polis yang terlibat secara lansung dalam peristiwa tersebut. Dengan kata-kata yang tertulis di hadapan buku tersebut "Saya cuma dapat menceritakan apa yang saya nampak dan dengar dan rasakan...." ia membayangkan kepada kita bahawa penulis cuba menyampaikan apa yang sebenarnya berlaku tanpa sebarang tokok tambah.

Penulis buku ini, Tunku Muszaffar Shah bin Tunku Ibrahim, merupakan OCPD Baling ketika kejadian itu. Beliau juga merupakan adinda kepada Tunku Abdul Aziz, mantan Timbalan Pengerusi Transparency International juga mantan senator yang mewakili DAP. Hamba membaca dengan teliti buku tulisan beliau dan berpuas hati bahawa beliau cuma menyampaikan apa yang berlaku pada pandangan mata beliau, tanpa sebarang kecenderungan untuk memihak kepada sesiapa. Bahkan beliau cukup terhutang budi bahkan nyawa kepada seorang kanan Ustaz Ibrahim Libya iaitu Yusuf Husin yang menyelamatkan beliau setelah dikepung sekumpulan orang yang berada dalam keadaan marah dengan sebahagiannya membawa senjata. Dan satu hari semasa beliau berbual dengan kekandanya tentang peristiwa itu di bangunan parlimen, maka nama itu terpacul semula. Ditakdirkan Allah, rupanya Yusuf Husin ketika itu juga merupakan seorang senator di Dewan Negara dan duduk bersebelahan dengan Tunku Aziz. Sedikit tulisan Senator Yusuf mengenai peristiwa tersebut juga ada dimasukkan di dalam buku ini.

Membaca semula kertas putih tersebut, hati hamba kadangkala berkata ada sesuatu yang boleh hamba katakan tidak masuk akal tercatat di situ. Sebagai pelajar agama hamba tidak yakin seorang tokoh agama akan membuatkan tangkal kebal untuk pengikutnya. Bahkan membaca buku ini dari kacamata seorang polis juga membuatkan hamba nampak adanya yang tidak kena mengenai laporan kertas putih tersebut. Walau apa sekalipun, hamba berpandangan bahawa peristiwa berdarah ini tidak sepatutnya berlaku dan boleh diselesaikan dengan jalan yang paling baik. Ini kerana pihak yang ingin diberkas adalah seorang tokoh agama, pendakwah dan bukannya seorang penjenayah apatah lagi pengganas. Sikap tidak sabar serta strategi yang silap akhirnya membawa kepada pertumpahan darah yang nyata merugikan kedua belah pihak bak kata pepatah yang menang jadi arang , yang kalah jadi abu. Melalui buku ini para pembaca boleh menilai sendiri strategi dan tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

Sudah lebih 27 tahun peristiwa berdarah Memali berlalu. Mungkin sudah tiba masanya ada pihak yang patut memohon maaf dan mengakui kesalahannya!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TRAGEDI LIMAU PAHIT

  Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan...