Isnin, 17 Disember 2012

BIOGRAFI SYED MOKHTAR ALBUKHARY - Premilla Mohanlall

Tidak banyak kisah mengenai salah seorang yang terkaya di Malaysia ini diketahui ramai. Ini lantaran sifatnya yang begitu merendah diri dan tidak mahukan publisiti. Kerana itulah hamba terus sahaja menyambar buku ini tatkala melihatnya di kedai buku minggu lalu. Buku itu terus hamba baca dengan penuh minat walaupun ketika itu hamba belum lagi menghabisi sebuah buku yang sedang dibaca. Sesungguhnya membaca kandungan buku ini dari muka ke muka amat menerujakan kerana kebanyakan cerita yang disampaikan adalah perkara baru yang belum hamba ketahui. Namun hamba percaya sebenarnya banyak lagi kisah kejayaan atau susah perit yang dihadapi oleh Tan Sri Syed Mokhtar yang tidak dipaparkan atau sengaja tidak diceritakan kepada penulis biografi ini, Premilla Mohanlal, memandangkan sifatnya yang merendah diri tersebut.

Jika diperhatikan, Syed Mokhtar ada sedikit persamaan dengan kebanyakan jutawan dunia yang lain iaitu mereka tidak berpendidikan tinggi. Namun atas usaha mereka yang gigih serta kepintaran semulajadi mereka, mereka membina empayar perniagaan yang besar sehingga mampu memberikan pekerjaan kepada orang lain pula. Sedangkan orang seperti kita yang kononnya bijak, belajar sehingga ke peringkat yang tinggi, tidak mampu untuk mereka kerja untuk diri sendiri dan akhirnya menjadi seorang pemakan gaji. Daripada seorang peniaga lembu, beliau meningkat sedikit demi sedikit kepada pengusaha lori pengangkut, peniaga beras dan akhirnya memiliki beberapa buah syarikat besar seperti MMC, Tradewinds (PERNAS), DRB-HICOM dan lain-lain. Walaupun ada tuduhan mengatakan beliau sebagai kroni orang tertentu, namun jika diteliti beliau hanya mengenali individu tersebut setelah beliau telahpun maju dalam perniagaan dan menjadi jutawan. Bahkan beberapa syarikat yang berjaya dimiliki beliaupun diserahkan ketika syarikat tersebut berada dalam keadaan tenat dan tidak menjana keuntungan. Namun berkat usaha beliau syarikat tersebut perlahan-lahan bangkit menjana keuntungan. Ketika zaman Pak Lah berkuasa, beberapa projek yang telah dianugerahkan kerajaan kepada beliau telah ditarik balik. Namun sebagai seorang yang telah biasa mengalami kepayahan, beliau tidak mengalah bahkan mencari ruang niaga di sebelah timur tengah. Benarlah rezeki itu ada di mana-mana. Tanpa sifat putus asa beliau telahpun dekenali di dunia sebelah sana dan orang di sana jikalau ingin berniaga di sini akan mencari beliau.

Satu perkara yang beliau pegang adalah perniagaan dan kebajikan perlu seiring. Tiada siapa boleh menafikan hal tersebut dan beliau melakukannya tanpa perlu kepada publisiti. Hamba melihat ini sebagai keberkatan pendidikan ibu beliau yang telah menggalakkan anaknya melakukan kebajikan semenjak awal lagi. Ia menjadi pengajaran kepada diri hamba sendiri bahkan kita semua agar memperuntukkan sedikit apa yang kita ada untuk kesejahteraan orang lain. Mungkin berkat daripada kesungguhan dicampur dengan doa orang yang pernah dibantu beliau maka rezeki yang ada tidak pernah putus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

NONI - Abdullah Hussain

  Buku ini agak buruk keadaannya. Ia adalah sebuah buku lupus daripada perpustakaan. Hamba belinya daripada seorang penjual buku terpakai di...