Ahad, 14 April 2024

TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais


 

Hamba cukup suka dengan cover  buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai adalah makanan orang Melayu yang merupakan pulut yang diperap dengan ragi beberapa hari sehingga menjadi. Hamba amat suka dengan tapai. Satu ketika dahulu ketika Uwan hamba masih sihat, beliau pastinya akan membuat tapai seperiuk besar untuk dijamu pada hari raya. Beliau tahu hamba amat meminati tapai. Uwan hamba akan memerap tapai ini di dalam periuk tersebut yang disimpan di bawah katil! Jangan tanya kenapa. Yang pastinya orang dahulu kalaumembuat tapai akan ada pantang larang yang dijaganya. Wajah tak boleh masam kalau tidak tapai juga akan menjadi masam. Wanita datang bulan juga tidak boleh membuat tapai kalau tidak tapaiunya jadi merah. Walau apapun ini cuma pantang laranmg orang dulu yang berkemungkinan besar tidak diikuti orang hari ini. Tapai boleh sahaja dibungkus dengan daun pisang. Uwan hamba selalunya menggunakan daun pokok koko.

Hamba membeli buku ini bukanlah kerana kecenderungan hamba di dalam politik kiri seperti penulisnya. Hamba membelinya kerana tulisan Hishamuddin memang sedap untuk dibaca. Tulisan beliau amat menghiburkan tidak kiralah beliau menulis dalam topik apapun. Contohnya di dalam Tapai, beliau menumpukan bicaranya tentang soal makanan. Para penulis boleh menjadikan tulisan beliau sebagai contoh dan rujukan untuk menarik minat pembaca terhadap sesuatu perkara walaupun topik berkenaan amat membosankan.

Tapai adalah himpunan tulisan Hishamuddin yang pernah tersiar di dalam Off The Edge. Tulisan bahasa Inggeris beliau akan diselangselikan dengan beberapa perkataan Melayu juga Peranchis. Pengalaman beliau yang lama berada di perantauan dan di beberapa buah negara serta benua, merasai makanan mereka, menjadikan penulisan beliau ini amat menarik sekali.

Hishamuddin tidak hanya berkisah mengenai makanan tempatan bahkan makanan yang pernah dirasainya di luar negara. Jelas bahawa beliau amat meminati ulam-ulaman, satu ciri anak kampung dari Jelebu yang dibawanya hingga kini. Namun hamba pasti apabila pembaca membaca keseluruhan kisah, pastinya akan ada tanda tanya di kepala terutamanya jika anda seorang Muslim.

Mungkin anda akan terfikir tentang status halal makanan beliau terutamanya apabila beliau membuat review beberapa restoran Cina yang menyediakan makanan berasaskan itik (Hishamudiin jelas amat meminati hidangan itik). Beliau juga di banyak tempat di dalam buku ini menunjukkan minat beliau terhadap minuman keras seperti red wine. Beliau bahkan berkisah pengalaman beliau ke sebuah warung sate dan membawa red wine dan gelas plastik secara sorok-sorok untuk dinikmati bersama sate.

Beliau juga suka hadir ke beberapa pameran lukisan, bukan untuk menikmati lukisan tetapi lebih kepada hidangan minuman yang disediakan. Dalam hal ini hamba terut terkejut apabila beliau menghadiri pameran di sebuah galeri milik seorang arkitek Melayu terkenal yang turut menghidangkan minuman sedemikian dalam satu pamerannya. Itulah hamba ini mungkin kampung sangat dalam hal ini. Tapi tanpa disedari orang Melayu kita yang kononnya millenia ini di depan media nampak mulia tetapi dibelakang lain ulahnya.

Jadi, tulisan Hishamuddin ini hamba ambil sekadar untuk pengetahuan dalam tulisan dan sama sekali tidak akan cuba mengikuti perilaku sedemikian. Cuma tulisan di dalam tapai ini adalah tulisan hampir 20 tahun yang lalu. 20  tahun mungkin telah banyak yang berubah..........?



.

Sabtu, 30 Mac 2024

HIKAYAT JUHA MENJADI TABIB

 


HIKAYAT JUHA MENJADI TABIB - UJANG 15 DIS 1996

lawak Arab yang diolah semula mengikut selera tempatan.....

Sabtu, 23 Mac 2024

TRAGEDI LIMAU PAHIT


 

Tragedi Limau Pahit adalah tulisan pertama hamba yang tersiar dalam majalah Ujang keluaran 1 November 1996. Zaman ini hamba menulis tangan memandangkan hamba tiada komputer, bahkan hamba tidak tahu menggunakan komputer lagi ketika itu!!



.

Selasa, 12 Mac 2024

PODCAST - Naim Tamdjis


 

Kalau diperhatikan tahun ini agak kurang bahan bacaan yang dapat hamba baca dan buat ulasannya di blog ini. Sejak bertukar tempat kerja pada pertengahan tahun lalu, kerja hamba bertambah sibuk dan masa untuk membaca semakin sempit. Apabila ada masa pula badan berasa amat letih yang tidak akan memberikan hamba kenikmatan untuk membaca. Jadi di awal Ramadhan ini hamba dapat peluang untuk mengambil cuti, dan ini kali pertama hamba ambil cuti di tahun 2024, maka sempat hamba capai buku tulisan Naim Tamdjis ini yang berada di pejabat untuk hamba baca ia di rumah.

Sengaja hamba pilih bacaan ringan ini bagi meringankan kepala yang sedia stress dengan kerja di pejabat. Buku ini adalah swaterbit naim sendiri dan bagi setiap pembelian RM5 akan disumbangkan ke tabung Pelstin.

Kali ini kisah seram yang dibawa oleh Naim berlegar kepada dua orang podcaster, Adli dan Zahari (apabila dicantumkan kedua nama ini ia mirip kepada nama seorang ahli politik tanah air) yang memilih persembahan seram setelah apa yang mereka bawa di dalam podcast mereka sebelum ini mula menunjukkan penurunan tontonan.

Ternyata perancangan mereka menjadi lebih-lebih lagi apabila siaran lansung podcast mereka dilakukan di lokasi yang menyeramkan. Mereka telah berjaya menjemput beberapa orang tetamu untuk berkongsi kisah seram mereka di beberapa lokasi yang berkait. Kadangkala semasa siaran lansung berjalan, berlaku beberapa kejadian yang menyeramkan.

Antara kisah seram yang dirakamkan oleh Asdli dan Zahari ialah kisah pengalam seran seorang doktor yang mendapat saka daripada pesakitnya, kisah seorang hiker yang disembunyikan oleh jin kafir, kisah seram di sebuah mall tinggal, kisah seram di sebuah tapak pesta hiburan dan kisah seram seorang tua di sebuah pekan tinggal.

Pada pandangan hamba kisah seram di tapak sebuah pesta hiburan sepatutnya menjadi kisah terakhir dan menjadi klimaks kepada buku ini. Ini memandnagkan kisah tersebut adalah lebih mencabar berbanding kisah terakhir. Kisah terakhir bersama Tok Selapit di pekan Seri Tunjung yang banyak bercerita tentang kisah seram di zaman Jepun agak setara keseramannya dengan kisah-kisah yang berlaku sebelumnya.

Manakala kisah di tapak pesta hiburan ini ia adalah lebih mendebarkan menadangkan Adli dan Zahari sendiri terlibat secara lansung di dalam permainan misteri di lokasi berkenaan setelah diperdaya oleh seorang apek yang terlibat dalam dark web

Terdapat beberapa kesilapan kecil yang boleh diperbetulkan di masa akan datang. Antaranya :-

Ms. 16 - ""Creppy siot" - sepatutnya creepy.

Ms 40 - "Membaca surah al-Afkar lebih afdal....." - tiada nama surah al-Afkar di dalam Al-Quran.

Ms. 49 - Seorang pegawai polis berpngkat koperal memanggil pegawai bawahannya sebagai prebet. Didalam polis tidak ada pangkat prebet. Di bawah koperal hanya ada konstabel dan lans koperal sahaja.

Ms 253 - "Bismillah! Muhajidin! Taqaddam!" - perkataan yang betul dan tepat adalah 'Mujahidin"


Selain itu terdapat juga beberapa kesalahan ejaan di beberapa tempat yang boleh diperbetulkan dan hamba tidak bercadang untuk mencatatnya di sini.


.

Isnin, 11 Mac 2024

NYAWA DI-HUJONG PEDANG - Ahmad Murad


Melihat ada seseorang mahu menjual buku ini di laman sosial FB dan harganya pula agak mampu milik, hamba tidak berlengah memesannya dengan penjual. Tajuk buku lama ini selalu hamba temui di laman internet tetapi tentunya buku ini tiada lagi di mana-mana kedai buku ataupun perpustakaan. Justeru hamba merasa beruntung kerana dapat memilikinya.

Versi di tangan hamba adalah cetakan yang ke tujuh tahun 1967. Cerita Nyawa Di-Hujong Pedang ini telah memenangi tempat pertama dalam peraduan mengarang cerita-cerita yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan, Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1946. Novel ini pada mulanya dicetak oleh Jabatan Penerangan di dalam tulisan Rumi sebelum dicetak dengan tulisan Jawi. Apabila kesemua cetakan oleh Jabatan Penerangan ini telah habis di pasaran dan masih ada lagi permintaan terhadapnya, maka penulis telah mencetaknya semula. Dan versi cetakan yang inilah yang ada pada hamba. Memandangkan hamba memperolehi buku cetakan yang ke tujuh, jelas menunjukkan buku ini merupakan sebuah buku yang amat laris pada zamannya!

Pengarang mendedikasikan buku ini buat sahabat beliau Encik Yazid bin Ahmad yang telah menjadi korban Jepun kerana mempertahankan tanah air. Mungkin kerana itu hero bagi buku ini dinamakan dengan nama beliau. Bezanya hero buku ini kekal bernyawa sehingga ke akhir kisah.

Kisah yang dipaparkan di dalam buku ini adalah ringkas dan mudah difahami. Membacanya seperti kita mengikuti kisah-kisah yang ditayangkan di dalam filem Melayu lama.  Ia adalah kisah seorang pemuda bernama Yazid yang sedang bercinta dengan Juriah. Percintaan mereka yang berlaku secara terang-terangan tidak disenangi segelintir orang kampung kerana dilihat seperti meniru budaya asing. Ya, zaman itu tentunya pergaulan remaja amat dipelihara demi menjaga nama agama dan keluarga. Namun hari ini percintaan seperti Yazid dan Juriah adalah biasa bahkan ada yang melampau lagi.

Mereka sedang merancang untuk berkahwin. Dalam pada itu seorang pemuda bernama Said yang bekerja sebagai informer Jepun tidak senang dengan mereka. Walaupun Yazid adalah teman dan rakan sepermainan said sejak kecil, beliau tidak rela Juriah menjadi milik Yazid.

Said tekad untuk memisahkan mereka. Pada hari berlansungnya perkahwinan Yazid dan Juriah, Yazid telah ditangkap dan dibawa serta ditahan di rumah MP (Military Police). Ini gara-gara fitnah Said yang mendakwa Yazid menyokong kumpulan yang menentang Jepun.

Sepanjang tahanan, Yazid telah disiksa oleh Sarjan Yoshimura yang amat ganas sekali siksaannya. Beberapa tahanan  lain turut disiksa. Mereka akan disiksa sehingga lembik dan kemudiannya dibiarkan untuk sembuh selamam beberapa hari sebelum disiksa semula.

Hanya apabila Jepun menyerah kalahlah baru Yazid dibebaskan. Dalam pada itu Said telah ditangkap oleh kumpulan yang menetang Jepun dan dibawa ke hutan. Said kemudiannya dibunuh. Yoshimura pula dibicarakan di mahkamah tentera British dan akhirnya dijatuhkan hukuman mati.

Naskhah milik hamba ini masih menggunakan gaya ejaan bahasa Melayu lama. Namun tiada istilah lama yang susah untuk difahami. Naskhah hamba ini juga penuh dengan catatan pensel oleh pemiliknya yang dahulu. Antaranya catatan tentang perkataan yang seerti ataupun maksud kepada peribahasa yang dituliskan.


KOMRAD ASI (REJIMEN 10) DALAM DENYUT NIHILISME SEJARAH - Aziz Suriani

 


Jika tidak kerana buku ini hamba tentunya tidak begitu mengetahui tentang kewujudan sebuah pasukan komunis India atau lebih dikenali dengan nama Rejimen Ke - 5. Hayat pasukan ini juga tidaklah lama. Ditubuhkan dalam tahun 1953, ia telah dibubarkan dalam tahun 1957, Hanya empat tahun sahaja nyawa pasukan ini.

Di sinilah kita dihidangkan dengan watak Asi. Dalam sejarah negara nama ini tidak pernah hamba dengar sebelum ini. Namun dalam sejarah komunis, nama ini ini mungkin cuba diangkat kembali sebagai perwira.

Dia cuma seorang budak lelaki yang berumur 10 tahun ketika ayahnya ditangkap oleh British kerana bersekongkol dengan komunis. Asi juga dikatakan turut menjadi buruan British kerana pernah bertindak sebagai penghantar surat mereka. Maka sejak berumur 10 tahun itu sehinggalah berlansungnya Perjanjian damai Hatyai 1989, anak lelaki ini telah menjadi komunis sepanjang umurnya! Semenjak menjadi buruan, budak 10 tahun ini telah masuk ke hutan dan bergerak bersama komunis.

Beliau pernah berada di dalam pasukan India, rejimen Ke -5 di bawah pimpinan Kaatu Perumal. Sehinggalah kemudian beliau berada di bawah Rejimen Ke -10 setelah pasukan berkenaan bubar.

Walaupun buku ini seperti mahu menceritakan tentang Asi dan perjuangan komunis daripada sudut pandangan mata beliau, hamba boleh katakan bahawa kisah Asi ini sedikit sahaja. Sudahlah sedikit, perkara yang sama asyik diulang-ulang oleh penulis sama ada dalam bab yang sama atau bab yang berlainan. Kisah yang berlansung sepanjang riwayat Asi diiringkan bersama dengan peristiwa-peristiwa sejarah yang berlansung ketika itu. 

Walaupun membawa tema sejarah, membaca buku ini kita boleh merasa bahawa penulisnya adalah pro ke haluan kiri. Membacanya seolah-olah mahu menonjolkan bahawa komunis itu adalah wira. Kata mereka kerana komunislah British memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Bahkan Perjanjian Damai Hatyai itupun seolah-olah inisiatif mereka!

Hamba tidak menyukai penjajah British. Tetapi hamba juga tidak menyukai komunis. Komunis lebih banyak membunuh bangsa hamba. Komunis tidak usah berbangga kerana mempunyai Rejimen Ke -!0 yang dikenali dengan komunis Melayu. Jika benar mereka berjuang kerana mahu membebaskan Tanah Melayu daripada penjajah, mereka sepatutnya sudah keluar hutan apabila negara kita merdeka. Namun kerana mereka mahu komunis mereka diiktiraf, dan ia ditolak oleh pemerintah semasa, mereka jadikan itu alasan untuk terus berjuang dari hutan.

Kita dapati sebaik Perjanjian Damai Hatyai dimeterai, telah ada banyak buku puak-puak ini diterbitkan. Hamba mengalu-alukan penerbitan buku ini sebagai sebahagian daripada ilmu sejarah. Namun hamba menolak segala unsur-unsur yang mahu menjadikan mereka ini wira tanah air.

Mereka tetap pembunuh. Noktah.


Sabtu, 2 Mac 2024

SUKUN - AKU DAH MANDI


 

Jika sebelum ini kartunis Sukun tampil dengan karya solonya SUKUN JANGAN TAK MANDI, kali ini beliau muncul pula dengan komik solo terbaharunya - Sukun Aku Dah Mandi. (Syukurlah brader Sukun kini dah mandi ho ho ho). Sukun menjelaskan bahawa caption Aku Dah Mandi itu sebenarnya datangnya daripada gurauan arwah kartunis Petai yang mahu menjadikan itu sebagai tajuk komik beliau setelah Sukun muncul dengan Jangan Tak Mandi. Justeru tajuk yang digunakan ini adalah satu tribute Sukun buat kartunis Petai.

Dari segi konsep, komik solo kali ini tidak jauh bezanya dengan komik beliau yang pertama. Penuh dengan karya-karya comel dan lucu dengan penumpuan penuh terhadap beliau sendiri. Maksud hamba adalah karya-karya beliau di dalam naskhah ini adalah menggunakan diri beliau sendiri sebagai watak utama.

Sukun turut menyampaikan penghargaan peribadi beliau kepada beberapa kartunis dengan mengundang mereka di dalam komik ini seperti mana di dalam Jangan Tak Mandi. Beliau bahkan melahirkan penghargaan kepada beberapa individu termasuk gerai dan rstoran yang pernah memberikan ruang untuk beliau mempromosikan komik di premis-premis menjual makanan ini. Jelas pada hamba betapa kerasnya hidup sebagai seorang kartunis sekarang yang gigih berjuang untuk menyara keluarga. Hamba tabik kepada pihak-pihak yang memberikan ruang untuk para kartunis menjual hasil titik peluh mereka.

Oh ya pembelian hamba kali ini adalah dengan cara kombo. Selain komik ini hamba turut menerima sehelai t'shirt, lanyard, kad lanyard, sticker dan sekeping kad keahlian! Ya, brader Sukun bagi kad keahlian bebeh!

Sempat hamba tanya brader Sukun kalau hamba boleh menyumbang tulisan dalam komik beliau yang akan datang. Beliau memberikan respon yang positif, kalau ada rezeki adalah tulisan hamba nanti. Ya lah hamba pun macam brader Sukun juga, di zaman orang tak suka membaca ini amat susah untuk mencari tapak menulis.


TAPAI, TRAVELS & GUILTY PLEASURES OF A FERMENTED MALAYSIAN - Hishamuddin Rais

  Hamba cukup suka dengan cover   buku ini. Ia adalah susunan bahan makanan, rempah dan sayuran yang membentuk wajah Hishamuddin Rais. Tapai...